Transformasi Universiti Awam

IMG_0620

 

1. Kerajaan dan masyarakat mencadangkan transformasi menyeluruh bagi memastikan negara berada pada kedudukan terbaik dan bersedia mengharungi cabaran masa depan. Universiti Awam (UA) juga tidak ketinggalan menerima tekanan untuk bertransformasi.

2. Berhadapan dengan perubahan bukannya mudah, organisasi perlu mempunyai asas yang kukuh dan matlamat yang jelas. Disokong dengan iltizam diri dan politik tinggi.

3. Pada masa ini tiga alasan utama UA perlu bertransformasi ialah untuk  mengurangkan keberbergantungan dana awam, mendekati keperluan membangun masyarakat dan meningkatkan ranking dunia.

4. Usaha menggalakkan UA menjana pendapatan sendiri sehingga mencapai 30% menjelang 2020 sememangnya berasas dan perlu dijadikan agenda penting.

5. Pendapatan ini boleh digunakan untuk meningkatkan autonomi kewangan dan memberikan kebebasan universiti mengurus keperluan perjawatan, program penyelidikan dan perkhidmatan, lazimnya sukar dibiaya oleh kerajaan.

6. Begitupun, prasyarat penting menjana pendapatan sendiri ialah keperluan berpaksikan kepada urusan teras universiti iaitu pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan akademik.

7. Sementara program pengajaran dan pembelajaran tradisi masih kekal dan dibiaya oleh dana awam, universiti boleh memperkenalkan program berinovasi bagi meningkatkan kemahiran aras tinggi, peluang perniagaan baharu dan kemahiran profesional.

8. Program begini boleh bersifat kursus bersijil, program diploma, berijazah sarjana muda dan sarjana. Dalam konteks ini, fakulti dan pusat pengajian perlu bertransformasi bagi menyediakan kemudahan prasarana dan kepakaran yang bersesuaian dengan peranan baharu muncul ini.

9. Program penyelidikan universiti juga perlu bertransformasi melampaui batas penyelidikan fundamental iaitu usaha mencari kebenaran. Ini sememangnya telah menjadi budaya akademik para sarjana dan ilmuwan.

10. Sementera kepentingan penyelidikan ufuk ilmu masih penting bagi menjana idea baharu dan penerbitan berimpak tinggi, strategi memperluaskan wawasannya ke arah penyelidikan gunaan dan pembangunan perlu ditingkatkan.

11. Penyelidikan individu untuk memperkasa kepakaran (kesarjanaan) kini perlu dilihat sebagai tugas asas, sementara pembinaan pasukan penyelidik yang terorganisasi dalam bentuk kumpulan, pusat dan institut perlu diperkasa.

12. UA di Malaysia tersepit antara tuntutan tradisi keilmuwan dan kehendak iltizam politik semasa. Dalam situasi terbaharu, kerajaan menyarankan semua universiti memperkasa gagasan Universiti 4.0 yang berperanan menyokong keperluan Revolusi Industri (IR) 4.0.

13. Semua jentera dan fungsi universiti, khususnya penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan diminta untuk menyokong gagasan IR4.0 ini. Jika diteliti secara mendalam, universiti sebenarnya ialah ‘kilang IR4.0’ dengan sifatnya ‘penyelidikan ufuk ilmu dan institusi mendahului zaman’.

14. Kebanyakan universiti, ahli akademik dan para sarjananya sentiasa dirujuk oleh peneraju industri dalam membangun inovasi teknologi baharu.

15. Begitupun, universiti juga adalah sebuah gedung ilmu tempat kepelbagaian diraikan dan kepentingan tempatan diutamakan. Universiti bertanggungjawab membangun pelbagai ilmu, daripada ilmu Sains Sosial, Sains Tulen dan Teknologi, serta semua bidang ikhtisas yang diperlukan oleh negara.

16. Dalam konteks ini pembangunan insan dan pemikiran dalam pelbagai bidang dan kemahiran aras tinggi menuntut urusan pembangunan insan terimbang diutamakan dan permodenan diraikan.

17. Tidak semua ini berkait terus dengan IR4.0, sebaliknya lebih bersifat mebangunkan insan masa hadapan yang mempunyai sistem nilai murni yang kukuh, kebijaksanaan dan berwawasan, serta mempunyai kemahiran mencipta masa depan yang gemilang.

18. Sementara universiti perlu peka dengan kehendak semasa dan aktif bertransformasi di peringkat kebangsaan dan global, memperkukuh bakat ilmuwan dan tanggungjawab asas perlu mendapat perhatian utama.

19. Dalam konteks peranan teras iaitu penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan akademik, universiti perlu memberikan fokus kepada kekuatan, keupayaan atau mandat penubuhannya.

20. Sebagai contoh, sementara UM dan UKM bersifat universiti komprehensif, USM, UTM dan UPM telah diberikan mandat untuk membangunkan ilmu dan teknologi dalam bidang nic masing-masing iaitu sains, teknologi dan pertanian.

21. Transformasi terpenting bagi sesebuah universiti ialah iltizam ke arah kecemerlangan. Kecemerlangan bukan sekadar memenuhi KPI atau mencapai piawaian, ia bersifat lebih baik daripada terbaik, atau kualiti paling tinggi (unggul).

22. Bagaimana boleh jika kualiti universiti hanya bersifat biasa-biasa, sedangkan institusi ini menghasilkan bakal pemimpin politik, pemimpin teknokrat dan korporat masa hadapan.

23. Banyak universiti terkemuka dunia menyatakan dengan jelas, nilai teras utamanya ialah ‘mengejar kecemerlangan’. Keseluruhan ekosistem universiti perlu dibudayakan berteraskan kecemerlangan, dan aktivitinya dinilai berasaskan sumbangan (hasilan) yang cemerlang.

24. Universiti diwujudkan untuk memenuhi kehendak pelbagai pelanggan – ilmuwan global,  mahasiswa, dan masyarakat awam.

25. Ilmuwan global ialah pelanggan tidak ketara terpenting bagi menentukan kecemerlangan sesebuah universiti. Dalam konteks keilmuwan, mereka dikenali sebagai rakan kesepakaran (pakar dalam bidang sama) dan keserakanan (bukan dalam bidang kesepakaran).

26. Hasilan penyelidikan fundamental dan penerbitan ilmiah yang menjadi kayu ukuran pencapaian akademik universiti pada masa ini hanya dapat dinilai dan dibandingkan oleh golongan ini.

27. Pelajar atau mahasiswa pula adalah pelanggan terpenting universiti. Mereka adalah tetamu sementara, boleh berada dalam kampus antara tiga hingga sembilan tahun bergantung kepada program pengajian yang diceburi.

28. Di sinilah mereka berguru, menimba ilmu dan membina perwatakan sebagai siswazah. Kualiti program dan kecemerlangan penyampaian adalah matlamat utama, dan akhirnya graduan yang dihasilkan mampu menjadi pemimpin perbagai sektor pembangunan negara.

29. Masyarakat awam, terutamanya agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat juga adalah pelanggan istimewa universiti.

30. Agensi kerajaan mengharapkan penasihatan dasar dan pendekatan terbaharu untuk membuat keputusan bermaklum, pihak swasta mengharapkan teknologi baharu bagi mengekalkan kelebihan bersaing, sementara komuniti pula sentiasa dahagakan kepemimpinan intelek untuk menunjukkan jalan yang benar.

31. Ringkasnya, transformasi universiti perlu bersandarkan wawasan keilmuwan, bercirikan kecemerlangan dan pemimpin mendahulu zaman. Bukan sekadar memenuhi KPI atau MyRA, tetapi impak sebenar kepada pembangunan industri, kesejahteraan masyarakat dan perubahan minda pemimpin politik dan masyarakat.

 

IBK 25 Februari 2018

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s