Tanah Tumpah Darah Ku

IMG_4013
Bersama Dato’ Ayub (Exco Alam Sekitar) dan Razali (Pengusaha Restoran) di Segamat

 

1. Saya dilahirkan di Jementah pada 12 September 1952. Di atas loteng rumah kedai di tengah pekan yang bentuknya sebaris dengan jalan utama Muar ke Segamat.

2. Ayah saya peniaga di sebuah kedai runcit, mungkin satu-satunya kedai bumiputra daripada kalangan peniaga berbangsa Cina ketika itu. Pekan kecil menjadi pembekal barang makanan dan keperluan kehidupan dua buah ladang getah iaitu Ladang Welch  dan Nagapah.

3. Di sekitar pekan kecil Jementah terdapat beberapa buah kampung Melayu, antaranya kampung Paya Jakas, Kubu Dedap, Permatang Panjang dan Sungai Siput. Berhampiran pekan Jementah pula terdapat sebuah Kampung Baharu di mana komuniti Cina ditempatkan ketika zaman komunis.

4. Ketika berusia lima tahun, saya masih ingat ramai pelajar sekolah berdiri di sepanjang jalan sambil mengibarkan bendera dan berteriak Merdeka.  Ketika itu YAB Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama melalui pekan kami. Saya tidak faham apa maksud merdeka ketika itu, tetapi menyedari ini tentunya satu peristiwa besar negara.

5. Saya bersama enam orang adik beradik dibesarkan di pekan ini dan belajar di Sekolah Kebangsaan Jementah. Kami berjalan kaki ke sekolah hampir satu kilometer setiap hari, mungkin inilah agaknya yang membina kekuatan fizikal kami.

6. Sebaik tamat sekolah rendah, saya telah dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Dalam. Perjalanan dari Jementah ke sekolah di Segamat mengambil masa lebih sejam dengan menaiki dua buah bas.

7. Selepas beberapa bulan ke sekolah dengan menaiki bas, saya membuat keputusan untuk tinggal di asrama. Sejak berusia 12 tahun, bermulalah zaman duduk di asrama dan meninggalkan kampung halaman.

8. Selepas tingkatan tiga, saya terpaksa bertukar sekolah, dari Segamat untuk ke Sekolah Dato’ Sri Amar DiRaja, Muar bagi mengikuti hasrat belajar dalam aliran Sains. Di Muar, saya bernasib baik, Pak Salleh seorang penarik beca, mengambil saya sebagai anak angkat dan tinggal bersama keluarganya.

9. Dari Muar, saya meneruskan pelajaran Tingkatan Enam di Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Seterusnya ke UKM untuk ijazah Sarjanamuda Sains (Geologi) dan ke University Strathclyde, Glasgow untuk ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan.

10. Sekembalinya dari Scotland pada tahun 1979, saya dilantik sebagai ahli akademik di UKM hinggalah ke hari ini. Pengalaman membesar dan bermain di Jementah dan Segamat hanya sejenak, sehingga berusia 15 tahun dan juga ketika pulang ke kampung semasa cuti sekolah.

11. Walaupun telah lama meninggalkan Jementah dan Segamat, saya masih mengikuti perkembangan daerah ini. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain.

12. Pada asalnya daerah Segamat terkenal dengan pusat pembalakan dan ladang pertanian, khususnya ladang getah dan kelapa sawit. Komuniti kampung pula kebanyakan bekerja sebagai pekebun kecil.

13. Begitupun, saya merasakan Segamat masih dibelenggu dengan beberapa isu asas, terutamanya fenomena banjir dan keterpinggiran daripada arus pembangunan.

14. Berhampiran bandar Segamat adalah tempat pertemuan cabang Sungai Segamat dan sekitar 10 kilometer ke arah Jementah pula tempat pertemuan Sungai Segamat dan Sungai Muar. Kawasan yang luas ini sering dilanda banjir dan penduduk tempatan masih dibelenggu fenomena banjir.

15. Semasa kecil kami sering tidak dapat ke Segamat kerana keadaan banjir di jalan Batu Enam ditenggelami air bah. Kami di UKM sempat membuat kajian dan membukukan peristiwa Banjir Besar Johor 2006-2007 bagi mencari punca kejadian dan impaknya kepada masyarakat.

16. Ternayata walaupun sudah ada sistem tebatan banjir, ia terus berlaku dan terakhir ialah pada awal 2018 di mana seramai 51 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

17. Banjir di Segamat adalah fenomena alam kerana keadaan topografinya menggalakkan berlakunya banjir. Segamat berada di kawasan dataran rendah, beberapa cabang sungai dari kawasan perbukitan di sekitarnya bertemu di lembah Segamat, dari situ air mula mengalir secara perlahan sepanjang Sungai Muar.

18. Keadaan begini menyebabkan setiap kali musim tengkujuh air akan melimpah di kawasan tebing sungai dan berlaku fenomena banjir. Keadaan diburukkan lagi dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian. Perlodakan meningkat, dasar sungai semakin cetek dan banjir lebih mudah berjadi.

19. Dalam dokumen Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017 – 2021 yang baru sahaja diluluskan oleh kerajaan Johor, kami ada cadangkan supaya diwujudkan sebuah agensi penyelaras untuk Pembangunan Lembangan Sungai Muar.

20. Antara matlamat utama dasar ini ialah melihat secara bersepadu lembangan Sungai Muar dari hulunya di Negeri Sembilan hingga muaranya di pekan Muar. Pembangunan bersepadu membolehkan rancangan pembangunan dilaksanakan secara berkesan.

21. Isu seperti banjir, tanah terbiar dan keterpinggiran pembangunan dikupas, dan peluang pembaikan alam sekitar, industri, pertanian moden dan pelancongan diterokai. Seluruh komuniti lembangan Sungai Muar boleh dimajukan selaras dengan agenda transformasi berpaksikan Maufakat Johor.

22. Beberapa minggu lepas saya pulang ke kampung, menghadiri majlis perkawinan dua orang anak perempuan Othman di Permatang Panjang. Othman ialah adik kandung saya, satu-satunya yang masih menetap di Jementah.

23. Nampak sedikit perubahan di kampung tersebut, rumah semakin besar dan jalan semakin lebar, selain itu tidak banyak usaha baharu bagi menjana kekayaan daerah. Kebanyakan rumah kampung yang semakin besar, agaknya disebabkan bantuan anak-anak yang bekerja di bandar.

24. Begitupun, peluang pembangunan dan ekonomi pekan dan kampung di Jementah masih belum begitu terserlah.

25. Saya pasti kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato Seri Khaled Nordin merancang pelbagai program dan projek untuk bangsa Johor. Untuk berjaya, setiap individu, keluarga dan komuniti perlu berusaha kuat, mencari peluang dan meningkatkan kemahiran bagi menjayakan kemajuan ekonomi daerah Segamat yang kita cintai ini.

 

IBK 30 Mac 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s