Warisan Alam dalam Peradaban Manusia

DSCN0793
Langkawi: Alam Sekitar Bukan Sekadar Hutan dan Batuan

 

1. Nilai warisan berkait rapat dengan hubungan peribadi antara individu atau masyarakat dengan suatu objek warisan. Sebagai contoh seorang bapa dengan satu-satunya anak perempuan, petani dengan tanah bendang warisan turun temurun, penduduk kampung dengan sungai yang mengalir di tengah kampungnya, dan warga bandar dengan bukit tertinggi di pinggir kawasan perumahannya.

2. Apa ertinya Gunung Kinabalu bagi penduduk Alor Setar, atau Gua Mulu bagi penduduk Kuala Terengganu. Mereka tidak mempunyai hubungan terus dengan kawasan tersebut. Walhal, kedua-dua landskap geologi ini bertaraf Tapak Warisan Dunia.

3. Tidak dapat dinafikan, individu, komuniti dan penduduk sesebuah negara telah didedahkan dengan konsep warisan berdasarkan sejarah, budaya, tradisi dan peradaban suatu bangsa bagi sebuah negara berdaulat.

4. Bangunan lama atau objek berkait rapat dengan sejarah pertempatan, kemerdekaan atau peristiwa penting dalam sejarah pembangunan bangsa ialah objek warisan. Umumnya, warisan budaya dan kesenian telah bertapak di hati masyarakat bertamadun,  mendapat tempat dalam program pemuliharaan dan sebahagiannya telah menjadi ikon kebanggaan bangsa.

5. Masyarakat masih kurang terdedah dengan konsep warisan alam atau alam sekitar, tetapi telah biasa dengan istilah hutan rimba, semak samun, ladang getah atau kelapa sawit, bukit, gunung, sungai atau jelapang padi.

6. Ada yang berguna kepada mereka, ada kawasan tidak berguna kerana tidak mendatangkan hasil ketara. Sesetengah sumber asli, air umpamanya, dianggap boleh dibekalkan oleh alam tanpa kehabisan.

7. Alam yang digeruni ialah apabila sesuatu yang boleh membunuh atau memudaratkan harta benda. Letusan gunung berapi atau banjir besar. Alam sekitar adalah suatu yang abstrak, sukar difahami, oleh itu tiada kaitan dengan keperluan manusia, lantas bukan tanggungjawab kita untuk menjaganya.

8. Sehingga kini, apabila masyarakat menyatakan keprihatinan atau diminta untuk menjaga alam sekitar, mereka akan menganggap kerajaanlah yang perlu memulihara hutan daripada dibalak dan diterokai.

9. Kempen jangan membuang sampah sarap ke sungai untuk menghindar pencemaran tidak memberi kesan kepada mereka. Konsep perkhidmatan alam sekitar, warisan tabii dan kepalbagaian biologi umpamanya, bagi masyarakat umum ialah suatu idea sangat asing dan hanya menjadi hak para ilmuwan atau sebagai bahan penyelidikan sahaja.

10. Atas fahaman begini, mereka tidak merasa bertanggungjawab untuk memilihara alam sekitar. Sumber dan warisan penting ini terus dinodai, sungai masih terus dicemari dan bukit bukau diratakan tanpa rasa bersalah.

11. Hakikatnya, alam sekitar ialah sebuah ekosistem fizikal di mana manusia menjadi pemain utamanya. Unit alam sekitar terkecil ialah individu manusia itu sendiri, atau sebuah keluarga dan rumahnya, sebuah kampung, daerah, negeri, negara dan planet Bumi.

12. Daripada perspektif yang lain, mungkin unit terkecilnya ialah sebatang pokok atau seekor haiwan, kawasan hutan, lembangan sungai, landskap pergunungan, daratan dan lautan.

13. Apapun fahaman kita, penghayatan penting ialah alam sekitar memberi perkhidmatan untuk kehidupan, khususnya bagi kehidupan dan kesejahteraan manusia. Manusia bergantung kepada perkhidmatan alam sekitar secara percuma.

14. Perkhidmatan alam sekitar boleh terbahagi kepada beberapa keperluan yang masih kurang dihayati. Pertama, sebagai sumber asas kehidupan: udara bersih, air bersih dan sumber makanan.

15. Oksigen dibekalkan secara percuma oleh udara. Kita menganggap ia sentiasa ada dan bersih sampai bila-bila. Kita hanya merasa cemas apabila berlaku fenomena jerebu atau apabila berhadapan dengan penyakit paru-paru kronik.

16. Dalam keadaan biasa manusia terus memusnahkan hutan pembekal utama oksigen, atau membakar bahan tenaga secara membazir untuk menambah gas karbon diokside ke udara.

17. Sebagai pembekal air bersih. Satu ketika dahulu, kita perlu mengambil air dari sungai, tasik atau perigi. Kini air dibekalkan melalui paip ke rumah-rumah. Air bersih juga percuma, kita hanya membayar perkidmatan untuk menapis dan menyalurkan ke tempat kediaman.

18. Pada masa ini, sebahagian besar sungai mulai tercemar, usaha membersihkan semakin rumit, dan ada kalanya bekalan tidak mencukupi untuk semua penduduk. Manusia mencemar sungai tanpa menyedari sungailah tempat sumber air untuk kehidupan.

19. Kedua, alam sekitar menyediakan tanah yang subur tempat bercucuk tanam. Kepelbagaian bentuk landskap seperti pergunungan, perbukitan dan lembah menyediakan tempat yang sesuai untuk pelbagai keperluan.

20. Kawasan lembah adalah tempat tanah subur diendapkan sesuai untuk pertanian. Sebahagian besar daripada kawasan ini dibangunkan untuk pertempatan dan akibatnya kita kekurangan tanah untuk membekal makanan.

21. Letusan gunung berapi atau banjir sungai sering dilihat sebagai bencana, tetapi pada masa yang sama membekalkan tanah subur secara tabii.

22. Ketiga, alam sekitar pembekal bahan binaan dan tenaga. Tanah liat untuk batu bata, pasir dan kerikil untuk konkrit, hutan untuk kayu dan semua ini adalah bahan asas untuk pembinaan. Arang batu, minyak bumi dan gas pula sebagai bahan bakar pembekal tenaga.

23. Keempat, alam sekitar juga pembekal sumber komoditi dan penjana ekonomi negara. Bijih timah, tembaga, perak dan emas umpamanya, menjadi punca pendapatan utama kepada sesebuah daerah atau negara. Dalam pada itu, kita perlu akur kebanyakan sumber ini terbatas, apabila habis akan pupus buat selama-lamanya.

24. Kelima, alam sekitar sebagai warisan budaya. Tahap tertinggi hubungan insan dan alam sekitar ialah apabila jiwa dan semangat terikat dengan alam sebagai sebahagian daripada warisan peradaban manusia.

25. Kita menghormati alam daripada perspektif sejarah Bumi dalam tamadun manusia, tanah pertanian sebagai peninggalan warisan datuk nenek, gunung dan air terjun daripada perspektif keindahan dan sumber inspirasi, serta keunikan alam sebagai khazanah identiti bangsa.

26. Semua pihak, pemimpin, peniaga, pemaju dan komuniti perlu sedar, kelestarian kehidupan manusia bergantung kepada alam sekitar.

27. Semakin hari bangsa Malaysia semakin menjauhkan diri dengan alam, kita merosakkan sumber asli seperti tiada hari esok, pemimpin menjual warisan alam seperti barangan lelong, dan satu demi satu khazanah alam musnah dan pupus tanpa disedari.   Inikah erti kemajuan, atau sebenarnya kita sedang melangkah ke belakang.

 

IBK: 5 April 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s