Perjuangan Belum Selesai

WhatsApp_Image_2018-05-10_at_9.58.57_PM.jpeg.transformed
Dr Mahathir angkat sumpah PM ke-7

 

1. Tahniah rakyat Malaysia, syabas Tun Mahathir Mohamad, dan tahniah kepada warga negara yang membuang undi untuk perubahan. Apa yang berlaku, terutamanya sejak lapan pagi, 9 Mei hingga hampir lima pagi, 10 Mei 2018 amat luar biasa dan mengkagumkan.

2. Satu lagi sejarah terpenting negara selepas kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tercipta. Walaupun tuntutan untuk perubahan telah bermula sejak sekian lama, proses terakhir berlaku dalam masa kurang 24 jam dan seakan menjelang peristiwa kemerdekaan kedua buat negara tercinta ini.

3. Saya kagum dengan kehebatan Tun Mahathir, seorang negarawan tersohor yang pernah menjadi Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Malaysia selama lebih 22 tahun.

4. Pada usia 93 tahun, beliau berupaya membawa parti pembangkang untuk bersatu, dan berjaya mempangaruhi sebahagian besar rakyat Malaysia untuk bersama bagi mengharungi perubahan.

5. Lebih penting lagi, kemampuan fikiran dan fizikal beliau amat luar biasa – menjelajah seluruh negara dan memberikan penjelasan kepada rakyat dengan pemikiran dan penyampaian yang sangat bernas.

6. Sebagai seorang ahli akademik, saya melihat pilihan raya umum sebagai satu tuntutan perlembagaan sebuah negara demokrasi berparlimen dan berdaulat. Setiap lima tahun, rakyat diberikan peluang memilih wakil untuk memerentah kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

7. PRU14 ini paling istimewa dan mendebarkan. Walaupun berlangsung dengan lancar, sebetulnya ia penuh dengan drama dan peristiwa mencemaskan. Kami hanya merasa ketenangan pada saat DYMM Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Tun Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7 pada 10 Mei, sekitar jam 10 malam.

8. Banyak pengajaran daripada PRU14 ini boleh dihujahkan dan diambil perhatian untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

9. Pertamanya, apakah perpaduan pelbagai kaum di negara ini tidak wujud? Pilihan raya kali ini membuktikan, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan kelompok terbesar terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India telah membuktikan rakyat mampu bersatu bagi mencapai sebuah matlamat murni.

10. Parti berasaskan Melayu, Cina dan campuran telah bersatu hati dan meninggalkan perbezaan silam, berjuang untuk mencapai satu tujuan – Malaysia yang  berjaya dan dihormati.

11. Kedua, ‘tunai bukan raja’, sebaliknya kebaikan mengatasi keburukan. Rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan kaum dan agama menyatakan dengan jelas, kami menolak pemimpin yang rasuah, salah guna kuasa, politik wang dan menipu.

12. Saya mentafsirkan, sebahagian besar rakyat Malaysia bukan menolak UMNO dan beberapa pemimpinnya yang jujur dan ikhlas. Mereka menolak dan membenci pemimpin tertinggi dan rakan-rakannya yang kurang amanah dan mengabaikan kepentingan rakyat.

13. Bak kata perpatah, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Suatu yang malangnya, jika parti dan kepimpinan tertinggi ditolak, maka semua ahlinya gugur bergelimpangan.

14. Ketiga, orang muda tidak menolak orang tua. Jika tidak, masakan mereka gilakan Tun Mahathir yang telah berusia 93 tahun dan mendesak supaya beliau segera dilantik menjadi Perdana Menteri.

15. Rakyat Malaysia membuat rekod baharu apabila melantik Perdana Menteri tertua di dunia. Sebetulnya, dalam beberapa hal, khususnya yang berkaitan dengan ‘pemikiran dan intelektual’, kehebatan seseorang warga tidak mempunyai batas usia.

16. Dalam konteks kepimpinan politik, perniagaan dan akademia – ilmu, kematangan, pengalaman/ kesarjanaan dan kewibawaan adalah cirian yang menentukan keupayaan dan kecemerlangan, bukan usia.

17. Keempat, kuasa di tangan rakyat. Walaupun setiap warga negara mempunyai satu undi untuk memilih wakil rakyat dan dilaksanakan setiap lima tahun, inilah kuasa sebenar demokrasi sesebuah negara.

18. Apabila pemimpin dan pasukan yang dilantik berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang, rakyat akan berasa aman, selesa dan gembira – mereka tidak mahu memikirkan soal mencari wakil rakyat baharu.

19. Tetapi apabila janji tidak ditepati, rakyat diminta menyembah pemimpin, dan pemimpin mengambil kesempatan mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, rakyat akan mula memberontak. Apabila kebencian sudah tidak dapat dibendung, ‘tunai tidak akan lagi menjadi raja’.

20. Kelima, rakyat Malaysia sudah matang dalam politik. Satu masa dahulu, kita sering membahagikan warga Malaysia dalam beberapa kelompok. Penduduk bandar dan desa, warga muda dan tua, golongan terpelajar dan orang kampung, Melayu dan Cina, dan sebagainya.

21. Walaupun ada perbezaan yang ketara antara mereka khususnya latar belakang budaya dan agama, pendedahan kepada kemudahan dan kemewahan, dan matlamat dalam hidup – mereka adalah rakyat Malaysia yang tahu haknya, sentiasa mengharapkan kebaikan (perpaduan, kestabilan dan peluang) dan sentiasa berbangga dengan negaranya.

22. Kemajuan komunikasi dan sosial media kini, telah mendekatkan antara satu sama lain, dan mereka boleh menilai antara kebaikan dan kebatilan.

23. Saya menyeru kepada semua warga Malaysia, marilah kita bersama mengambil ikhtibar dengan setiap detik dan peristiwa yang berlaku sehingga tercapainya ‘kemerdekaan kedua’ ini.

24. Kita pelajari daripada kesilapan lepas, kita bina iltizam baharu untuk bersatu, hormat menghormati, dan bersama membina negara Malaysia yang sangat istimewa ini.

25. Jadilah warga negeri, warga negara dan warga dunia yang suka berbakti dan menjadi kebanggaan negara serta anak cucu kita. Marilah kita bersatu hati, bersama dengan pemimpin yang telah kita pilih, membina masa depan yang lestari.

26. Satu ketika dahulu, saya dan ramai rakan lain sangat tertekan apabila berada di luar negara. Ramai yang bertanya isu negatif mengenai kepimpinan negara. Ketika itu, rasanya seperti tidak mahu mengaku kami berasal dari Malaysia.

27. Selepas PRU14 ini, selepas  beban yang dipikul oleh seluruh rakyat Malaysia selama ini telah berjaya digugurkan, rakyat boleh nyatakan dengan pasti – kami rakyat Malaysia dan kami cintakan Malaysia.

 

IBK 12 Mei 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s