Politik dan Alam Sekitar

FullSizeRender
Kubang Badak, Langkawi: Warisan alam sumber geowarisan utama negara

1. Dalam PRU14, rakyat telah memilih untuk berubah. Sejak Perdana Menteri Ke-7, Tun Mahathir Mohamad dilantik pada 10 Mei 2018, pelbagai perubahan diumumkan. Nampaknya tumpuan awal diberikan kepada memperkemaskan urusan governans dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

2. Sehingga kini, Tun Mahathir telah memaklumkan calon Timbalan Perdana Menteri dan tiga menteri kanan iaitu Kementerian Kewangan, Pertahanan dan Dalam Negeri. Tujuh lagi calon menteri akan dinamakan sedikit masa lagi, sementara sekitar 15 kementerian lain masih belum mempunyai nama atau calon menterinya.

3. Dalam barisan kerajaan lepas, negara memiliki kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar iaitu komponen yang memberikan perhatian kepada hal-ehwal pengurusan sumber asli dan kesihatan alam sekitar.

4. Walaupun pada peringkat awal pentadbiran kerajaan baharu, tumpuan perlu diberikan kepada prioriti asas iaitu isu ekonomi, ketenteraman dan keselamatan awam, saya yakin dalam gelombang kedua perubahan, isu kelestarian Sumber Asli dan Alam Sekitar pasti diberikan perhatian.

5. Saya masih ingat, ketika pertama kali kerajaan menggabungkan beberapa jabatan utama iaitu Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Laut dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara disatukan menjadi kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

6.  Saya sempat memberikan pandangan dalam Berita Harian mengenai langkah bijak dan berpandangan ke hadapan atas tindakan ini. Hal ini disebabkan, sebelum itu semua jabatan di atas ditempatkan dalam beberapa kementerian sehingga pendekatan menyelesaikan masalah sangat bersifat sektoral.

7. Hari ini dan masa depan negara banyak bergantung kepada bagaimana kerajaan dapat mengimbangi keperluan tiga komponen utama pembangunan iaitu kekayaan negara (ekonomi), kesejahteraan masyarakat (perpaduan dan keamanan) dan alam sekitar (sumber asli  serta keselamatan air dan udara bersih).

8. Dalam konteks governans, ia dikenali sebagai Pembangunan Lestari iaitu pendekatan pembangunan bersifat holistik yang memberikan perhatian kepada mengimbangi tiga komponen penting ini.

9. Oleh itu, memperkukuh dan memperkemas fungsi kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu dijadikan prioriti kerajaan baharu yang mesra rakyat.

10. Beberapa isu penting mengenai pengurusan sumber asli dan alam sekitar yang masih perlu diberikan perhatian dan dijadikan asas dalam membentuk atau mengemaskini kementerian harus dikenalpasti terlebih dahulu.

11. Berdasarkan perhatian terkini, antara isu kritikal ialah keberkesanan penerokaan dan penggunaan sumber bumi; kelestarian sumber laut; pemeliharaan dan pemuliharaan warisan tabii; dan isu keselamatan air bersih.

12. Sumber bumi, khususnya sumber untuk pembinaan, bahan industri dan komoditi masih perlu perancangan dan penyelidikan yang berterusan. Negara masih membeli ratusan juta ringgit bahan binaan dan industri dari luar, walhal bahan ini boleh diperolehi dalam negara.

13. Isu asas ialah kita masih kurang penyelidikan berkaitan penerokaan dan pembangunan produk sehingga pemaju dan pemain industri masih bergantung kepada bekalan luar negara.

14. Pada masa yang sama, negara masih banyak menjual sumber bumi dalam bentuk bahan mentah, sedangkan kita boleh menjana keuntungan yang tinggi jika bahan mentah ini diproses atau dijadikan produk berinovasi.

15. Malaysia sebetulnya adalah negara maritim, dan dua per tiga wilayah kita berada di lautan. Kawasan lautan yang membentuk Pentas Sunda dengan kedalaman antara 50 – 100m masih kurang diterokai.

16. Di bawah dasar laut adalah batu-batan yang mengandungi pelbagai sumber asli. Minyak dan gas bumi yang sedang diterokai juga berasal dari bahagian ini. Warisan marin semakin terganggu dan sumber makanan laut pula semakin berkurangan.

17. Dalam konteks ini, dasar, strategi dan pendekatan pengurusan wilayah kelautan perlu dibangun dan diberi keutamaan tinggi untuk masa depan negara.

18. Pendekatan negara untuk memulihara warisan tabii, khususnya kepelbagaian biologi, geowarisan dan landskap berpandangan indah juga masih perlu penambahbaikan. Kaedah semasa ialah dengan memulihara berasaskan perundangan Hutan Simpan Kekal atau Taman Negara/ Negeri.

19. Kita sedia maklum, lebih 90% daripada Hutan Simpan Kekal ialah hutan pengeluaran iaitu hutan yang dibenarkan untuk dibalak. Dalam konteks pemeliharaan, pemuliharaan dan kemerosotan kualiti alam sekitar pendekatan semasa sering dipersoalkan.

20. Masanya telah tiba bagi negara melangkah kehadapan, melihat peruntukan baharu yang dapat membezakan sumber asli daripada perspektif warisan alam, hutan rekreasi/ tadahan perkhidmatan, dan hutan pertanian/ pengeluaran.

21. Malaysia adalah negara di kawasan tropika lembab dengan curahan hujan yang banyak. Begitupun, kita sering berhadapan dengan isu keselamatan air, sama ada daripada aspek kuantiti dan kualiti air.

22. Sebahagian besar air permukaan telah mengalami pencemaran dan negara berbelanja besar untuk memproses air.

23. Sumber air tanah, khususnya air dalam akuifer batuan, di bawah permukaan bumi – sama ada di daratan dan di lautan masih banyak dan belum diterokai lagi. Air tanah bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi berupaya membekalkan air bersih dengan selamat dan mudah untuk kawasan pendalaman.

24. Saya bangkitkan beberapa isu utama pengurusan sumber asli dan alam sekitar kerana kerajaan baharu mempunyai peluang untuk membuat perubahan. Jika selama ini, pendekatan pengurusan tertumpu kepada perancangan dan pemantauan di peringkat Persekutuan dan perlaksanaan di peringkat negeri, kita boleh berubah ke arah lebih berkesan dengan memperkenalkan perkongsian menang-menang antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

25. Untuk memastikan keberkesanan tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengecilkan komponen perancangan dan pemantauan, sambil memperkasa aktiviti penyelidikan dan pembangunan sumber asli.

26. Negara sudah hampir berjaya dalam pembangunan ekonomi, sedang berkerja keras untuk pembangunan sosial, tetapi masih belum memberikan perhatian serius dalam pembangunan alam sekitar. Walhal, alam sekitar adalah blok binaan terpenting bagi memastikan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

IBK 1 Jun 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s