Jati Diri Malaysia

IMG_7620
Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 Malaysia

1. Jati diri Malaysia sewajarnya berpaksikan penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu dan bangsa Melayu. Ia juga seharusnya teradun secara harmoni dengan warga lain Tanah Melayu semasa mencapai kemerdekaan dan penduduk Sabah dan Serawak ketika kita menjadi Malaysia.

2. Kenyataannya, selepas lebih 60 tahun kita bebas daripada penjajahan Inggeris, mimpi ini masih belum dapat dicapai. Kita bukan sahaja tidak mampu untuk bersatu dalam kepelbagaian, malah semakin hari semakin renggang dan kurang mengenali antara satu sama lain.

3. Anehnya, ini bukan budaya timur yang sering digembar-gembur iaitu komuniti yang ramah, ceria, saling membantu, hormat menghormati, bertoleransi tinggi dan bersedia berkongsi.

4. Kenyataan sarjana Syed Ali Tawfik Al-Attas mengenai universiti di Malaysia sejak sekitar 10 tahun terakhir ini telah bercanggah daripada urusan teras iaitu mendidik dan mengembangkan pemikiran masyarakat supaya lebih bersifat holistik dan bertamadun perlu diberikan perhatian serius.

5. Pandangan beliau, ‘universiti yang taksub dengan urusan sains, teknologi dan industri’, sebaliknya mengabaikan kepentingan pendidikan adab, etika dan jati diri hanya akan membawa masyarakat ke lembah kehancuran.

6. Jika universiti sebagai benting terakhir membina dan mencambah ketamadunan bangsa telah diruntuhkan, tiada lagi tempat untuk bangsa Malaysia berlindung.

7. Negara yang maju dan berperadaban sentiasa menghormati, menyanjung dan memulihara beberapa perkara asas yang menjadi teras budaya dan jati diri bangsa.

8. Antaranya ialah kesarjanaan, bahasa dan warisan, nilai murni bangsa, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian negara.

9. Universiti tempatan boleh menjadi pemimpin dan penggerak semua wawasan penting ini.

10. Dalam konteks kesarjanaan, universiti tempatan perlu menghormati kepelbagaian ilmu. Selain memberikan penekanan kepada program pengajian yang relevan kepada sektor pembangunan dan industri negara, pendidikan membangun minda, budaya, sejarah, etika dan perwatakan bangsa perlu diberikan perhatian tinggi.

11. Pendidikan tinggi tidak sekadar menyediakan sumber tenaga mahir, sebaliknya bertanggungjawab membina insan syumul yang berpegang kepada jati diri bangsa dan berupaya menjadi warga global yang dihormati.

12. Pembangunan kesarjanaan juga melibatkan penyelidikan berterusan. Universiti dan ahli akademik tempatan perlu berpegang kepada falsafah ‘berfikiran global, bertindak lokal’. Sambil mengikuti perkembangan ilmu di peringkat global, kita perlu menyelidik berasaskan situasi dan isu tempatan.

13. Menyelesaikan persoalan lokal seperti landskap dan iklim tropika, masyarakat, budaya, tradisi, kepercayaan dan sumber tempatan membolehkan sarjana kita berada di ufuk ilmu, dan tidak sekadar mengikuti dari belakang penyelidik barat.

14. Kesarjanaan berasaskan ilmu watan membolehkan kita memimpin cebisan persoalan global yang masih terbiar dan kurang difahami.

15. Bahasa dan warisan adalah sebahagian daripada makna negara bangsa bertamadun. Bahasa Melayu bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi jiwa, perwatakan dan keunikan sebuah bangsa merdeka.

16. Ada perbezaan ketara antara menghormati dan menyintai bahasa kebangsaan dengan keupayaan berkomunikasi dalam bahasa global.

17. Belajar bahasa asing adalah tuntutan warga global kini, menggunakan bahasa Melayu adalah tanggungjawab asas dan jati diri bangsa yang cintakan tanah air sendiri.

18.Untuk membolehkan peradaban bangsa terus diperkasa, pengajian bahasa dan warisan perlu diberikan keutamaan dalam ekosistem pengajian tinggi tempatan.

19. Malaysia adalah negara berbilang kaum dangan majoritinya berbangsa Melayu. Kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan puluhan suku kaum lain juga adalah warga negara dan telah menetap di negara ini turun temurun.

20. Di samping perlu mengukuhkan budaya dan tamadun kebangsaan, kita perlu menghormati kepelbagaian dan kebebasan suku kaum lain mengamalkan budaya dan tradisi ibundanya.

21. Begitupun, hasrat untuk menbina citra dan jati diri negara bangsa adalah asas bermasyarakat dan perlu diberikan keutamaan.

22. Pendidikan formal bersifat kebangsaan adalah untuk semua, sementara kebebasan mengamal budaya kaum masing-masing adalah hak mereka.

23. Inilah bentuk kesedaran dan keluwesan yang perlu wujud dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

24. Pada peringkat awal pembangunan negara, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada keperluan asas masyarakat.

25. Begitupun, selepas lebih 60 tahun merdeka, tumpuan perlu diberikan kepada falsafah kesejahteraan komuniti. Masyarakat banyak mesti didahulukan berbanding kelompok kecil.

26.Strategi pembangunan ekonomi perlu memberikan perhatian kepada merapatkan jurang antara kaya dan miskin, dan antara kemudahan luar bandar dan bandar.

27. Konsep perkhidmatan dalam sektor pendidikan, perumahan dan kecukupan makanan asas diutamakan. Hari ini, semuanya telah diperniaga untuk meraih kekayaan sehingga wujud kelompok miskin bandar yang berleluasa.

28. Kesejahteraan komuniti hanya boleh dicapai jika tempat tinggal selesa dan selamat, negara membangun demi kepentingan rakyat, dan kemudahan kehidupan seluruh warga terjamin.

29. Terakhir ini seluruh warga dunia sedang berhadapan dengan krisis alam sekitar, kepupusan sumber asli dan impak perubahan iklim. Oleh itu, tindak tanduk negara tidak boleh lagi mengikut amalan biasa-biasa.

30. Kita perlu bertekad untuk mengubah cara berfikir dan bertindak berasaskan pendekatan terintegrasi atau syumul. Wawasan kelestarian iaitu pengurusan terimbang antara pemuliharan alam, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarikat perlu diperkasa dalam semua sektor pembangunan.

31. Para sarjana boleh menerajui pendekatan syumul dengan memperkenalkan program pengajian bersifat multi- dan trans-bidang. Sementara kerajaan pula boleh memperkenalkan konsep pengurusan bersama antara pelbagai agensi bagi menyahut cabaran kelestarian.

32. Bagi kerajaan Pakatan Harapan, sempena menyambut hari kemerdekaan, usahlah berhitung janji-janji yang masih belum mampu diselesaikan.

33. Carilah jalan yang tepat bagi membina sebuah negara yang makmur, rakyat yang ceria dan beretika, dan warisan alam dan budaya terpelihara. Binalah jati diri Malaysia.
IBK/ 31Ogos18

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s