Tindakan Pembangunan Lestari

IMG_7772
Adamello-Brenta UNESCO Global Geopark, Italy

1. Persidangan dwi-tahunan Global Geopark UNESCO berlangsung pada 8-14 September di Adamello-Brenta Geopark, Madonna Di Campiglio, Italy. Lebih 850 peserta mewakili 65 negara hadir untuk berkongsi amalan terbaik dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain.

2. Kini warga dunia memiliki 140 Geopark Global sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004. Setiap kali menghadiri persidangan ini, kami terasa seakan sebuah keluarga besar – saling kenal mengenali, bertanya khabar dan berjaring untuk berkongsi pencapaian.

3. Di wajah setiap pemain geopark global terserlah kepuasan dan kegembiraan menjayakan program geopark sambil mengharungi cabaran melaksana wawasan pembangunan lestari.

4. Saya terpaksa pulang awal kerana perlu menghadiri Pacific Asia Travel Association (PATA) Travel Mart 2018 pada 14 September berlangsung di Langkawi UNESCO Global Geopark, satu-satunya global geopark di Malaysia.

5. Saya dijemput untuk menyampaikan ucapan bertajuk ‘UNESCO Global Geoparks and Creative Tourism’. Ucapan ini bertujuan memperkenalkan wawasan geopark global dan bagaimana ia telah membantu membangun produk pelancongan-ilmu yang dikenali sebagai geolepancongan.

6. Pada 15 September pula, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) memperkenalkan produk terbaharu geopelancongan kami iaitu BioGeotrail Kubang Badak kepada YTM Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Temenggong Kedah.

7. Tunku Puteri berkenan merasmikan produk ini sambil membuat lawatan lapangan. BioGeotrail Kubang Badak ini hanya boleh dinikmati menggunakan bot dan berjalan kaki. Kami membangunkan BioGeotrail bagi membolehkan komuniti nelayan di Kubang Badak mengurus sendiri produk geopelancongan baharu, memperolehi faedah ekonomi sambil menjaga integriti warisan alam.

8. BioGeotrail Kubang Badak mempunyai keistimewaan tersendiri. Kawasan ini kaya dengan fauna dan flora hutan Bakau, terletak pada sekitaran  pasang-surut sungai dan keindahan landskap geologi, serta memiliki sejarah penempatan komuniti Siam yang mencorakkan budaya di daerah utara Langkawi.

9. Dengan memilih tapak lawatan dan gabungan daya tarikan masing-masing kami berjaya memperkenalkan konsep geopelancongan berasaskan cerita geologi, biologi dan sejarah penempatan secara terintegrasi.

10. Pada 16-20 September pula, Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan rakan kongsi PPL-UKM dan LADA telah menganjurkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) iaitu Bengkel Perancangan dan Pembangunan Geopark 2018.

11. Program tahunan ketiga dijalankan di Langkawi UNESCO Global Geopark ini bertujuan mendedahkan wawasan geopark global sebagai alat pembangunan lestari wilayah.

12. Seramai 15 peserta terlibat dalam bengkel ini dan mereka mewakili negara Kiribati, Mongolia, Kazakhstan, Mali, Mauritius, Samoa, Lao PDR, Thailand dan Malaysia.

13. Semua peristiwa di atas adalah program berkaitan pembangunan geopark. Ramai yang masih bertanya, apa itu geopark? Apa faedahnya kepada masyarakat dan negara, dan kenapa kita perlu terlibat dengan program begini?

14. Geopark ialah wawasan berkaitan tindakan pembangunan lestari. Ketika mula diperkenalkan pada awal tahun 2000-an, sarjana Malaysia turut mempeloporinya bersama rakan dari Eropah dan China.

15. Pada tahun 2015, geopark menjadi program rasmi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO), dan dikenali sebagai UNESCO Global Geopark.

16. Geopark global terus berkembang, sehingga tahun 2018, sebanyak 140 geopark global di 38 buah negara telah diiktiraf UNESCO. Di Asia Tenggara pula, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia sudah memiliki geopark global masing-masing.

17. Geopark global mempunyai beberapa cirian asas. Pertama, ia mewakili wilayah yang memiliki warisan geologi bertaraf antarabangsa. Pembangunan geopark menggalakan pemuliharaan warisan ini secara terintegrasi dengan warisan tabii dan budaya yang terdapat di wilayah yang sama.

18. Kedua, tumpuan perlu diberikan kepada pengurusan holistik dengan memberikan tumpuan kepada memperkasa pendidikan awam dan kelestarian alam.

19. Dalam konteks ini semua pihak berkepentingan diminta mewujudkan organisasi sokongan bersifat pengurusan bersama (co-management) bagi memenuhi hasrat kesepakatan bersama.

20. Ketiga, memperkenalkan produk geopelancongan yang mampu memberikan peluang baharu kepada komuniti setempat terlibat aktif sambil meningkatkan pendapatan mereka.

21. Geopelancongan yang memberikan tumpuan kepada aktiviti rekreasi dan pendidikan berkaitan warisan alam dan budaya adalah produk berinovasi, mesra alam, mesra masyarakat setempat, dan kini berkembang pesat menjadi alat pembangunan luar bandar serta berupaya meningkatkan kesejahteraan kehidupan masyarakat.

22. Di beberapa negara besar seperti China, Jepun dan Korea, geopark telah menjadi satu fenomena dan alat pembangunan luar bandar terpenting.

23. Di China umpamanya, mereka telah memiliki 36 geopark global dan hampir 200 geopark kebangsaan. Kerajaan Pusat menjadikan geopark sebagai alat pembangunan luar bandar, sama seperti kita membuka tanah FELDA ketika awal pembangunan negara.

24. Di Jepun, mereka telah memiliki 9 geopark global dan 35 geopark kebangsaan mewakili kawasan seluas lebih 20% daripada keseluruhan negara mereka.

25. Dato Bandar di Korea, sama seperti Jepun berlumba-lumba untuk mewujudkan geopark masing-masing kerana percaya geopark ialah alat terbaik untuk membawa kebersamaan komuniti setempat sambil meningkatkan pendapatan semua pihak berkepentingan.

26. Malaysia masih memiliki sebuah geopark global iaitu Langkawi UNESCO Global Geopark. Walaupun menerajui wawasan ini dan sentiasa memberikan khidmat kepada masyarakat antarabangsa, kita mulai ditinggalkan oleh Indonesia, Vietnam dan Thailand.

27. Saya syorkan kerajaan negeri memberikan perhatian kepada pembangunan geopark di negara masing-masing.

28. Geopark adalah cara terbaik untuk memulihara warisan, meningkatkan pendapatan komuniti dan membina nilai kebersamaan. Geopark ialah satu tindakan pembangunan lestari.
IBK/ 1 Oktober 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s