Kelestarian Alam Sekitar Malaysia

IMG_6346
Bersama Tun Mahathir berbincang mengenai kelestarian alam sekitar Langkawi

1. Kami amat terharu apabila mendengar ucapan YAB Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 28 November 2018. Beliau menyentuh hampir semua isu besar yang sedang mengancam kesejahteraan dunia, khususnya kegawatan ekonomi, sosial dan politik.

2. Begitupun, beliau tidak lupa menyentuh isu alam sekitar dan kelestarian. Beliau menjelaskan adalah tidak adil bagi kebanyakan negara maju menuduh Malaysia tidak menghormati alam sekitar dan memulihara kepelbagaian biologi hanya kerana kita mempelopori industri Kelapa Sawit secara besar-besaran.

3. Beliau menjelaskan, ‘Di Malaysia, kami amat mengambil berat perihal alam sekitar. Sekitar 48% daripada negara kami adalah hutan dara. Mampukah penentang kami membuat dakwaan sama mengenai negara mereka?’

4. Kenyataan ini membawa maksud, sementara kebanyakan negara maju sudahpun memusnahkan hutan mereka untuk laluan pertanian, industri dan pertempatan puluhan dekad yang lalu, apakah negara yang sedang membangun seperti Malaysia tidak dibenarkan membuka sebahagian daripada hutan bagi tujuan yang sama?

5. Saya melihat kenyataan Tun Mahadir mengenai ‘alam sekitar dan kelapa sawit’ adalah intipati kepada wawasan Pembangunan Lestari negara. Guna tanah untuk pertanian komoditi, dahulunya getah dan kini kelapa sawit perlu diberikan tempat kepada maksud ‘kelestarian alam sekitar’.

6. Apa maknanya pemuliharaan hutan yang luas untuk integriti alam sekitar, jika negara dan masyarakat tidak boleh memanfaatkan tanah (sumber asli) untuk kesejahteraan komuniti?

7. Sebagai pelaksana dasar, kita perlu mentafsirkan kenyataan ini secara terintegrasi dan menterjemahkan kepada dasar dan pelan tindakan perlaksanaan. Daripada perspektif kelestarian, saya melihat ada tiga komponen utama yang perlu diberikan perhatian bagi melaksanakan wawasan baharu ini.

8. Pertama, industri kelapa sawit sebagai industri strategik menghasilkan pendapatan utama negara. Ada dua isu yang perlu diberikan pertimbangan dasar iaitu kelestarian industri kelapa sawit dan sumber komoditi alternatif yang lebih produktif dan mesra alam sekitar.

9. Tun Mahathir telah memberikan komitmen yang jelas mengenai kelestarian industri kelapa sawit. Beliau menegaskan, ‘menjelang Disember 2019, Piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) akan menjadi mandatori, dan kami akan memastikan setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia akan diperakui lestari menjelang 2020’.

10. Begitupun, pada masa yang sama, saya yakin kerajaan akan memberikan perhatian yang tinggi kepada memperluas kepelbagaian komoditi yang bersifat lebih lestari, produktif dan menguntungkan.

11. Anjakan paradigma daripada komoditi berasaskan sumber asli dan buruh, kepada produk berteknologi tinggi dan mesra alam seharusnya dijadikan wawasan masa hadapan negara.

12. Komponen kedua ialah isu ‘kesesuaian guna tanah’. Negara perlu memberikan perhatian yang tinggi kepada kesesuaian landskap dan kesuburan tanah untuk industri pertanian, sama ada pertanian komoditi atau keselamatan makanan.

13. Pembangunan perlu bersandarkan kepada ‘perancangan guna tanah, bukannya dikawal oleh peluang dan permintaan semata-mata. Hanya kawasan yang guna tanahnya sesuai dibenarkan untuk membangun komoditi kelapa sawit atau pertanian komoditi lain.

14. Jika tidak, ia bakal menimbulkan pelbagai masalah berkaitan dengan produktiviti, pencemaran, kepupusan warisan alam, menjejas perkhidmatan ekosistem dan konfliks dengan masyarakat setempat.

15. Komponen ketiga yang tidak kurang pentingnya juga ialah hubungan antara kepentingan pembangunan wilayah dan komitmen memulihara Hutan Simpan Kekal (HSK). Pada masa ini negara masih memiliki sekitar 48% HSK dan sebahagian besarnya berada di kawasan pergunungan.

16. Ini adalah jumlah yang sangat luas berbanding dengan kebanyakan negara maju. Kita sedia maklum, pewujudan konsep HSK sejak zaman sebelum merdeka dahulu berhasrat mengekalkan guna tanah hutan sambil membenarkan pengeluaran kayu balak sebagai bahan komoditi. Lebih daripada separuh HSK ialah hutan pengeluaran atau kelas hutan yang boleh dibalak.

17. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan, masyarakat antarabangsa masih meragui pendekatan kita dalam menangani isu ancaman terhadap integriti kepelbagaian biologi.

18. Hal ini disebabkan dasar pemuliharaan hutan berasaskan konsep HSK ditafsirkan kurang telus dan belum menjamin kelestarian ekosistem hutan tropika. Isu pemuliharaan warisan tabii, perkhidmatan ekosistem dan penggunaan lestari sumber hutan perlu dilihat daripada perspektif baharu.

19. Saya berpendapat konsep pemuliharaan berasaskan taman negara atau kawasan terpelihara, pengurusan perkhidmatan ekosistem dan pertanian perhutanan perlu diperkenalkan dan dijadikan dasar pembangunan negara.

20. Rakyat dan masyarakat antarabangsa ingin melihat walaupun kita mempunyai jumlah keluasan hutan yang lebih kecil daripada sekarang, tetapi ia dilindungi dengan perundangan jelas.

21. Pendekatan mewarta ekosistem istimewa sebagai landskap berpandangan indah, kawasan terpelihara, santuari hidupan liar atau taman negara sebagai khazanah negara perlu mendapat perhatian serius.

22. Pada masa yang sama hutan bagi tujuan menyediakan perkhidmatan ekosistem, khususnya sebagai kawasan bekalan air dan udara bersih, serta zon penampan bencana dan pencemaran diurus dengan rapi untuk kesejahteraan masyarakat. Ringkasnya, pengurusan HSK juga perlu menjalani proses transformasi.

23. Tun Mahathir telah menyatakan komitmen jelas kerajaan mengenai usaha ke arah menghormati warisan tabii dan kelestarian alam sekitar, terpulang kepada keberanian pelaksana dasar dan iltizam politik kerajaan negeri untuk merealisasikannya.
IBK/ 7 Oktober 2018

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s