Bahasa Melayu Ilmu Tinggi

IMG_8675
Nasihat Sultan Perak kepada Bangsa Melayu

1. Selepas lebih 60 tahun merdeka dengan perlembagaan menegaskan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan dan ia perlu digunapakai untuk semua acara rasmi negara, kita masih perlu menganjurkan Bulan bahasa Kebangsaan.

2. Sepanjang sebulan, semua institusi kerajaan digalakkan menggunakan bahasa Kebangsaan dalam semua komunikasi dalamannya.

3. Saya tidak berhajat untuk mengulas mengapa negara masih berhadapan dengan situasi mempromosi penggunaan bahasa Kebangsaan di tanah air sendiri, sebaliknya ingin berkongsi pandangan mengenai peri pentingnya institusi universiti awam (UA) negara menerajui pembangunan Bahasa Melayu Ilmu Tinggi.

4. Apa itu Bahasa Melayu Ilmu Tinggi? Saya takrifkan Bahasa Melayu Ilmu Tinggi (BMIT) sebagai bahasa minda yang digunakan oleh para sarjana  di Institusi Pengajian Tinggi untuk meneroka ilmu baharu dan mengembangkan ilmu bersama rakan keserakanan dan kesepakaran.

5. BMIT melampaui usaha menterjemah istilah, tetapi memaknakan dapatan penyelidikan dengan kenyataan jelas dan istilah baharu. Hasilannya terjelma dlm kertas jurnal dan prosiding (berwasit); monograf dan laporan penyelidikan; buku teks pengajian tinggi; tesis Sarjanamuda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Setiap hari hasil penyelidikan terhasil melalui istilah watan dengan makna tersendiri.

6. BMIT berbeza dengan Bahasa Melayu Ilmu iaitu bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi atau menyampaikan ilmu kepada pelajar dan masyarakat awam. Pembangunan bahasa Ilmu hanya melibatkan pembinaan dan penyeragaman istilah bagi membolehkan maksud disampaikan dengan mudah dan tidak mengelirukan.

7. Aktiviti penyelidikan fundamental bukan sekadar membangun ilmu, tetapi bersamanya membangun bahasa minda iaitu bahasa yang mengembangkan sesebuah tamadun.

8. Oleh itu, ahli akademik perlu berani memperkenalkan istilah baharu yang berkait dengan ilmu, pemikiran dan budaya bangsanya. Inilah tanggungjawab moral setiap ahli akademik di UA tempatan.

9. Seperti negara China, Jepun, Korea dan sebahagian daripada negara di Eropah, ahli akademiknya menjalankan penyelidikan dan menulis hasil penyelidikan secara terperinci dalam bahasa masing-masing. Penyelidikan pelajar Sarjana dan PhD juga digalakkan ditulis dalam bahasa ibunda.

10. Mereka berkomunakasi ilmu sesama pakar melalui persidangan dan penerbitan juga dalam bahasa ibunda. Dalam keadaan begini, ilmu baharu tersimpan dalam bahasa ibunda mereka dan tidak mudah dicapai oleh bangsa lain.

11. Begitupun, apabila berkomunikasi dan berkongsi cebisan ilmu dalam gelanggang antarabangsa baharulah mereka menggunakan bahasa global, khususnya bahasa Inggeris.

12. Sarjana dan ilmuwan telah diamanahkan oleh nenek moyang kita untuk membangun bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan.

13. Kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia adalah bagi menyahut hasrat murni ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 1970, usaha yang gigih telah dilaksanakan oleh pemimpin dan sarjana terdahulu sehingga kita boleh berbangga dengan pencapaian yang amat mengkagumkan.

14. Bahasa Melayu bukan sahaja telah diangkat menjadi bahasa Ilmu, tetapi ribuan kertas jurnal berwasit, tesis penyelidikan Sarjana dan PhD telah berjaya ditulis dalam bahasa ibunda. Malang sekali, sejak globalisasi melanda dunia, UKM dan hampir semua UA tempatan turut terimpak, dan usaha memertabatkan bahasa Melayu kelihatan terpinggir.

15. Memperkasa BMIT tidak bererti kita melangkah ke belakang, tetapi sebaliknya kita bergerak dua langkah ke hadapan.

16. Pertama, ilmuwan kita perlu mengenali dan berada di ufuk ilmu melalui menguasai pelbagai bahasa ilmu dunia bagi membolehkan mereka dihormati di peringkat global.

17. Berikutnya mereka perlu berani membudayakan ilmu dalam bahasa Melayu sambil memperluaskan penggunaan untuk kemajuan masyarakat tempatan.

18. Rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di luar bandar hanya boleh berbahasa Melayu, dan tentunya kita tidak bercadang meminggirkan mereka daripada arus pembangunan berasaskan ilmu.

19. Sempena bulan bahasa Kebangsaan, marilah kita membaharui tekad dan menunjukkan kecintaan kepada negara dengan menjunjung tanggungjawab seorang sarjana tulen.

20. Gunakan bahasa Melayu apabila kita berkomunikasi dengan sarjana warga Malaysia, dan menulislah dalam bahasa Inggeris dalam jurnal berimpak tinggi bagi berkongsi ilmu dengan kesepakaran global.
IBK 5 November 2018

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s