Daftar Warisan Kebangsaan

jerai
DYMM Sultan Kedah Pelancaran buku ‘Jerai Geopark – warisan geologi, geoarkeologi dan biologi’

 

1. Pemikiran dan amalan mengenai pemuliharaan dan memelihara warisan kebangsaan telah bertapak dalam jiwa bangsa Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.

2. Kebanyakan artifak bernilai warisan telah tersimpan dalam Muzium Negara dan muzium di setiap negeri. Sementara tapak dan bangunan bersejarah pula sebahagiannya telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan.

3. Untuk sekian lamanya, pemikiran mengenai warisan tertumpu kepada objek atau tapak bernilai sejarah dan budaya sahaja.

4. Pada tahun 2005, apabila Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) dikuatkuasakan, takrifan sumber warisan diperluaskan kepada warisan tabii, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun.

5. Jabatan Warisan Kebangsaan telah diamanahkan untuk melaksanakan peranan ini atas nasihat sebuah Majlis Warisan Kebangsaan.

6. Sejak itu, Jabatan Warisan Kebangsaan telah berusaha menjalankan peranannya sebaik yang mungkin, namun terdapat beberapa cabaran sehingga pencapaian untuk memelihara tapak bernilai warisan kebangsaan amat terbatas.

7. Usaha pemuliharaan dan pemiliharaan tapak warisan kebangsaan sukar dilaksanakan kerana kesedaran awam masih terhad, kekurangan maklumat saintifik bagi membuktikan nilai warisan, dan isu governans antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

8. Kefahanan daripada kalangan masyarakat Malaysia mengenai warisan tabii iaitu warisan geologi dan kepelbagaian biologi masih sangat terbatas.

9. Bagi mereka hutan, gunung ganang, sungai dan air terjun adalah sumber alam, hanya sesuai untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi dan rekreasi.

10. Sebetulnya, ia adalah sebahagian daripada sejarah tamadun manusia dan setengahnya bernilai luar biasa. Landskap tempatan adalah identiti setempat dan seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya komuniti tempatan.

11. Sejarah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Serawak atau Malaysia bermula sejak 550 juta tahun lampau di kawasan Gunung Machinchang, Langkawi.

12. Hidupan terawal penghuni tanah air kita ialah sejenis haiwan bernama trilobit mulai membiak pada usia 500 juta tahun, diikuti dengan kepelbagaian tumbuhan berbunga sekitar 145 juta tahun.

13. Gunung Kinabalu di Sabah hanya mula terbentuk kurang daripada 10 juta tahun lepas. Semua rekod saintifik mengenai sejarah bumi tersimpan dalam batuan dan tapak jumpaannya, ia pastinya bernilai warisan kebangsaan.

14. Sejarah kehadiran manusia di Malaysia ditafsirnya bermula sejak 200,000 tahun. Wujud penempatan manusia tertua berusia 40,000 tahun di Gua Niah, Serawak dan jumpaan manusia purba ‘Perak Man’ berusia 11,000 tahun di Kota Tampan, Perak.

15. Ketamadunan bangsa Melayu pula dijumpai di Sungai Batu, Kedah sejak 600 tahun sebelum masihi, sementara sejarah Kesultanan Melayu bermula di Kedah pada abad ke-12 dan di Melaka pada abad ke-14.

16. Sejarah geologi, arkeologi dan sejarah manusia moden adalah kesinambungan evolusi geologi dan hidupan, sering disebut sebagai warisan tabii. Ia sebetulnya juga sebahagian daripada warisan ketamadunan atau budaya bangsa Malaysia.

17. Isu kesedaran masyarakat dan pengumpulan maklumat saintifik boleh digerakkan jika kita mempunyai program yang terfokus.

18. Dana promosi dan penyelidikan perlu diberikan pertimbangan tinggi, khususnya oleh kerajaan Persekutuan, institusi swasta dan agensi bertanggungjawab negeri.

19. Begitupun, isu governans berkaitan hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri masih perlu ditangani dengan berhemah. Kefahaman maksud warisan kebangsaan, hak pengikhtirafan dan isu kepunyaan serta tanggungjawab pengurusan perlu dirundingi dengan bijaksana untuk kepentingan bersama.

20. Memandangkan di Malaysia, tanah dan sumber asli adalah bidang kuasa kerajaan negeri, tanggungjawab mewarta, membangun dan mengurus warisan kebangsaan perlu diserahkan kepada mereka berpandukan mekanisme governans negeri.

21. Jabatan Warisan Kebangsaan pula boleh memainkan peranan aktif dalam mengerak, mengenalpasti senarai calon, membantu menyediakan dokumen pewartaan dan menyimpan Daftar Warisan Kebangsaan.

22. Sementara tuan punya warisan dan proses pewartaan warisan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, hak pengisytiharan masih di bawah kerajaan Persekutuan berasaskan Akta 645.

23. Kerjasama begini membolehkan isu hak dan tanggungjawab pengurusan sumber kekal di bawah kerajaan negeri, sementara penentuan nilai dan kawalan kualiti masih di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

24. Tapak Warisan Kebangsaan boleh berada di atas tanah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri atau persendirian. Ini bukan isu yang boleh menghalang warga menghormati dan meraikan warisan.

25. Jika suatu objek atau tapak itu telah dipastikan bernilai warisan bertaraf kebangsaan atau antarabangsa, ia tetap Warisan Kebangsaan.

26. Soalnya, bagaimana kerajaan Persekutuan dan negeri berupaya bekerjasama bagi memastikan suatu warisan kebangsaan itu dipulihara, dipelihara dan dimanfaatkan untuk kebanggaan dan kesejahteraan bangsa?

27. Saya selaku Pengerusi, Majlis Warisan Kebangsaan dan seluruh masyarakat awam, pastinya kami inginkan semua Warisan Kebangsaan terpulihara dan dihargai. Iltizam ini melambangkan sebuah bangsa maju dan bertamadun.
IBK 26 Nov 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s