Memperkasa Pengurusan Akademik Pertengahan UA

IMG_0655
Majlis Konvokesyen Ke-45 Universiti Kebangsaan Malaysia

1. Pengurusan Akademik Universiti Awam (UA) dikawal dan dipengaruhi oleh Akta Badan Berkanun (1980), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)(1971) dan Dasar Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

2. Bagi membolehkan setiap UA menjalankan pentadbiran dengan cekap, Akta AUKU pula diterjemahkan kepada Perlembagaan masing-masing universiti, umpamanya UKM menggunapakai Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (2010). Inilah punca kuasa pengurusan dan pentadbiran UA di Malaysia.

3. Dalam akta, kuasa diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah dan ahli Senat Universiti, dan perlaksanaannya diserahkan kepada Menteri, Pengerusi Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, dibantu secara pentadbiran oleh Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan.

4. Secara jelas, AUKU membezakan peranan Lembaga dan Senat. Jika Lembaga bertanggungjawab dalam hal-ehwal bukan akademik, seperti perjawatan dan kewangan, Senat pula dimandatkan untuk membuat keputusan mengenai hal-ehwal akademik.

5. Saya terpanggil untuk mengupas isu pengurusan tahap pertengahan UA kerana mendapati banyak kekeliruan dan kekaburan pada peringkat ini sehingga timbul keresahan daripada kalangan ahli akademik dan menjejas prestasi mereka.

6. Secara khususnya, tanggungjawab pengurusan akademik berkaitan institusi pelaksana yang diletakkan di bawah Dekan Fakulti, Ketua Pusat Pengajian dan Pengarah Pusat Penyelidikan.

7. Lantikan Dekan, Pengerusi dan Pengarah institusi akademik dibuat secara sementara, setiap lantikan tidak melebihi empat tahun dan boleh digugurkan pada bila-bila masa.

8. Mereka mewakili Naib Canselor untuk melaksanakan urusan berkaitan pengajian (pendidikan) dan penyelidikan.

9. Lazimnya mereka yang dilantik terdiri daripada ahli akademik kanan, terbukti kewibawaan akademik dan diterima oleh rakan kesepakaran. Punca kuasa Dekan, Pengerusi dan Pengarah terletak pada keputusan Senat dan arahan pentadbiran oleh Naib Canselor.

10. Biasanya ahli akademik yang diberikan tanggungjawab melaksanakan peranan ini kurang terdedah dengan kemahiran pengurusan, maka seorang pegawai tadbir (Penolong Pendaftar) diberikan mandat untuk membantunya.

11. Berlainan dengan peranan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, Dekan, Pengerusi dan Pengarah tidak mempunyai kuasa mutlak kerana tidak disebut secara khusus peranannya di dalam perlembagaan.

12. Mereka sebetulnya adalah wakil Naib Canselor untuk tempuh tertentu bagi memastikan semua urusan akademik di peringkat fakulti, pusat pengajian dan penyelidikan berjalan lancar.

13. Mereka pada prinsipnya adalah penyelaras atau ketua bagi pihak ahli akademik di institusinya.

14. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pegawai pelaksana menterjemahkan keputusan Senat, tetapi lebih penting lagi, menjadi perantara dan pemimpin akademik yang menbawa hasrat dan keperluan ahli akademik kepada Senat dan Naib Canselor.

15. Dalam urusan pengajian, Dekan atau Pengerusi, lazimnya diberikan mandat untuk melaksanakan program pengajian. Dalam menjalankan tugas ini, beliau perlu mendapat bantuan dan sokongan daripada ahli akademik (pakar bidang) untuk melaksanakan urusan ini.

16. Oleh itu, entiti fakulti pada prinsipnya ialah pakar bidang (individu ahli akademik), kelompok ilmu (program atau jabatan) dan kesatuan kepelbagaian ilmu (pusat atau fakulti).

17. Dalam menjalankan peranannya, Dekan atau Pengerusi tidak mempunyai pilihan, kecuali mewujudkan mekanisme ketetapan atau persetujuan bersama melalui Mesyuarat Fakulti.

18. Melalui mesyuarat fakulti, semua keputusan Senat boleh disampaikan kepada ahli fakulti, sementara wawasan ahli akademik fakulti, dimantapkan dan dibawa ke Senat untuk diluluskan.

19. Dekan, Pengerusi dan Pengarah pusat pengajian dan penyelidikan di UA, mempunyai dua fungsi utama iaitu menjadi pengurus untuk melaksanakan ketetapan Senat, dan sebagai pemimpin akademik yang membawa obor keilmuwan untuk kepentingan pelajar dan ahli akademik.

20. Oleh itu, kecenderungan melantik ‘ahli akademik muda’ sebagai pengurus akademik bukanlah satu langkah yang bijak.

21. Mereka mungkin bertenaga untuk melaksanakan semua ketetapan Senat, tetapi besar kemungkinan boleh menimbulkan pelbagai masalah daripada perspektif penerimaan kepimpinan akademik, pengurusan sumber pakar (intelek) dan menerajui kesarjanaan sesebuah institusi ilmuwan.

22. Secara tradisi, dunia akademik berurusan dan membuat ketetapan berasaskan ‘budaya keserakanan’ (collegiality). Keputusan akademik perlu direstui oleh ahli akademik kanan, dan dirundingi dengan semua ahli akademik fakulti atau pusat.

23. Oleh itu, perlantikan Dekan, Pengerusi dan Pengarah bukanlah suatu yang mudah dan ditentukan secara kurang bermaklum oleh Naib Canselor. Beberapa kriteria asas yang perlu diberikan perhatian dalam memilih pemimpin akademik.

24. Ahli akademik yang menunjukkan kepimpinan akademik yang jelas dan mementingkan etika akademik dalam semua urusannya.

25. Berwibawa dalam bidang kepakaran akademik dan sering mendapat sanjungan daripada rakan kesepakaran.

26. Diterima oleh ahli akademik di fakulti, pusat pengajian atau pusat penyelidikannya.

27. Pemimpin akademik pada tahap pertengahan merupakan komponen pengurusan terpenting dalam pembangunan UA.

28. Mereka adalah pelaksana iltizam universiti, dan pada masa yang sana, pemimpin ilmu yang menyuburkan budaya akademik, mempertahankan etika akademik dan menjadi mentor ahli akademik muda yang menjadi tunggak kekuatan institusi ilmuwan yang tersanjung ini.
IBK 25 Dis 18.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s