Mersing Geopark: Menerajui Kelestarian Komuniti

img_9984
Penilai melawat SMK Sri Mersing, sekolah angkat geopark

1. Daerah Mersing, Johor baharu sahaja selesai menjalankan penilaian sebagai Geopark Kebangsaan. Misi penilaian ini ialah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan Warisan Geologi Malaysia dengan kerjasama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bagi menjayakan agenda pembangunan lestari wilayah.

2. Wawasan geopark memberi penekanan kepada pembangunan holistik suatu wilayah terpilih berasaskan pemuliharaan warisan, pendidikan awam, pembangunan ekonomi komuniti setempat dan pelancongan berteras ilmu.

3. Pada tahun 2015, mesyuarat Kabinet telah bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan ahlinya terdiri daripada pegawai kanan agensi berkepentingan serta wakil kerajaan negeri.

4. Jawatankuasa induk ini disokong oleh sebuah Jawatankuasa Pelaksana Pembangunan Geopark dengan ahli terdiri daripada pakar bidang dan pegawai pelaksana. Mandat kami ialah membangun geopark kebangsaan di setiap negeri, dan memilih beberapa daripadanya untuk diangkat menjadi UNESCO Global Geopark.

5. Pada tahun 2017, kami telah berjaya mewujudkan dua geopark kebangsaan iaitu Jerai, Kedah dan Lembah Kinta, Perak. Ini adalah permulaan terbaik usaha ke arah menambah UNESCO Global Geopark.

6. Misi penilaian berlangsung selama tiga hari iaitu pada 22 – 24 Disember 2018. Dr Dana Badang, pegawai geologi JMG-Serawak dan Azmil Munir, Pengurus Langkawi UNESCO Global Geopark telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab ini.

7. Mereka mewakili Jawatankuasa Pelaksana dan mempunyai kepakaran dalam aspek geowarisan dan pengurusan geopark. Geopark bukan sekadar warisan geologi, tatapi bagaimana warisan ini dimanfaatkan oleh pihak berkepentingan.

8. Tugas utama misi penilaian ialah untuk memastikan Daerah Mersing telah bersedia menjadi geopark kebangsaan dan mencadangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam masa empat tahun akan datang.

9. Hari pertama, penilai dibawa ke beberapa geotapak utama iaitu di Tanjung Kempit, Tanjung Penyabung dan Pulau Mawar. Ketiga-tiga geotapak ini menyimpan rekod sejarah perkembangan Bumi penting sejak berusia 330 juta tahun lampau.

10.  Di Tanjung Penyabung umpamanya, pada zaman tersebut berlaku letusan volkano yang dasyat. Batuan yang membentuk Tanjung Penyabung mewakili peristiwa letusan volkano purba iaitu aliran lava, debu volkano, serpihan batuan yang tercampak ke udara ketika letusan dikenali piroklas dan bom volkano.

11. Apa yang berlaku di Anak Krakatoa, Indonesia sekarang, berlaku di Mersing 300 juta tahun lampau. Bumi Malaysia tempat pertama peristiwa letusan volkano berlaku, ketika itu bumi Indonesia masih belum wujud lagi.

12. Pada hari kedua, penilai dibawa ke Pulau Sibu, Tanjung Leman, Kg Bahagia dan Kg Mersing Kanan. Pulau Sibu ialah pulau pelancongan dan suaka Dugong. Pulau ini juga keseluruhannya terbentuk daripada batuan letusan volkano.
13. Jika dibangunkan geotrail, ramai pengunjung dapat menikmati keindahan alam sambil mempelajari sejarah letusan volkano yang terawal di Asia Tenggara dan keunikan kepelbagaian biologi marin.

14. Lawatan ke Kg Bahagia dan Kg Mersing Kanan juga telah membuka mata kami mengenai kekayaan budaya dan seni masyarakat Mersing. Kampung ini telah dihuni oleh nelayan pantai sejak turun temurun dan membina tradisi mereka tersendiri.

15. Di Kg Bahagia mereka masih mengamalkan Tarian Zapin dan Ghazal Pulau, sementara di Kg Mersing Kanan, Tok Guru Generasi Ke-5 Pak Mat Samurai membuka gelanggang bagi mengekalkan Seni Buah Pukul Mersing.

16. Kebanyakan warisan seni bangsa Melayu telah hampir pupus, tetapi di Mersing komunitinya masih berusaha untuk mempertahan dan meraikannya. Apa ertinya suatu bangsa jika kehilangan budayanya.

17. Semasa misi penilaian Mersing sebagai calon geopark kebangsaan, kami kagum memerhatikan semua pihak berkepentingan kelihatan teruja dan pemimpinnya turut bersama sepanjang tiga hari penilaian.

18. Penolong Pegawai Daerah iaitu Tuan Mohamed Afiq Zubir, YDP Mersing, Tuan Norazmi Amir Hamzah dan beberapa pegawai kanan agensi kerajaan serta komuniti tempat turut bersama ketika penilaian dijalankan.

19. Lebih menarik lagi, apabila wakil rakyat kawasan Endau, YB Alwiyah Talib apabila dimaklumkan pada saat terakhir, juga turut bergegas mengiring kami bagi menjayakan misi penilaian ini.

20. Saya hanya melihat fenomena sebegini ketika membuat penilaian geopark di negara Jepun. Masyarakat tempatan di sana amat prihatin dan taksub bagi menjayakan wawasan geopark.

21. Gagasan geopark baharu sahaja diperkenalkan di peringkat global. Geopark bukan kawasan pemuliharaan tetapi kawasan pembangunan lestari.

22. Ia memberikan perhatian kepada tiga komponen utama iaitu pembangunan geotapak, memupuk semangat cintakan wilayah sendiri, dan pembangunan sosio ekonomi melalui geopelancongan.

23. Geotapak ialah warisan landskap yang belum dikenali awam dan masih terabai. Keistimewaan tempatan dapat memupuk nilai kebersamaan dan perpaduan komuniti suatu wilayah.

24. Geopelancongan ialah aktiviti keusahawanan berasaskan ilmu berpotensi membungun sumber ekonomi masyarakat.

25. Jika calon Mersing geopark berjaya menjadi geopark kebangsaan, ia bakal menjanjikan suatu destinasi pelancongan terkemuka negara dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
IBK 10 Jan 2018

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s