Pembatalkan Moratorium Bauksit Undang Bencana Alam

Foto Utusan/Kosmo (2016) kawasan stok penyimpanan bauksit yang terletak di kawasan Pelabuhan Kuantan dan perkampungan Sungai Pengorak

 

1. Pengumuman Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. Xavier Jayakumar yang memberi lampu hijau perlombongan bauksit suatu yang memeranjatkan dan dibuat tanpa alasan munasabah.

2. Pengalaman sebelum moratorium sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan bagi memastikan bencana alam sekitar di dearah Kuantan beberapa tahun lepas tidak berulang.

3. Saya telah menulis beberapa rencana semasa perlombongan bauksit aktif dijalankan dan menjelaskan mengapa aktiviti mengali bauksit di Kuantan perlu segera diberhentikan. Syukur, penghujahan ketika itu diberikan perhatian sehingga kerajaan mengenakan moratorium pada tahun 2016.

4. Negara bukan tidak boleh melombong bauksit, tetapi daerah Kuantan sudah tidak lagi sesuai untuk aktiviti perlombongan, khususnya bijih bauksit.

5. Tiga perkara asas yang perlu difahami sebelum membuat keputusan menarik balik moratorium ialah jenis longgokan bijih dan kaedah melombong, kesesuaian kawasan perlombongan, dan impak jangka panjang.

6. Pertama, bijih bauksit terbentuk daripada proses luluhawa batuan igneus dan membentuk tanah terluluhawa dengan ketebalan beberapa meter di permukaan bumi. Ia terbentuk di kawasan meluas menutupi batuan dasar.

7. Kaedah perlombongan hanya secara lombong terbuka melibatkan korekan tanah permukaan di kawasan sangat luas. Kaedah begini bakal menghasilkan kerosakan rupabumi kekal, meningkat kadar hakisan, mencemar air dan udara yang amat sukar dikawal.

8. Kedua, sebahagian besar daripada kawasan berbijih bauksit di Kuantan telah dibangunkan sebagai kawasan pertanian, pertempatan dan perindustrian.

9. Guna tanah lombong lazimnya pilihan pertama sebelum dibangunkan sebagai guna tanah lain. Ini kerana ia amat merosak landskap dan mencemar alam sekitar.

10. Selepas proses perlombongan, kawasan terganggu boleh dibaik pulih, dan dibangunkan semula untuk tapak rekreasi, pertanian atau pertempatan.

11. Sebaliknya, jika kawasan tersebut telah dibangunkan untuk pertempatan, aktiviti perlombongan sudah tidak sesuai lagi dijalankan. Bencana alam sekitar pada tahun 2014-2016 ialah kerana pertembungan guna tanah antara kawasan pertempatan dan perlombongan.

12. Ketiga, perlombongan terbuka dengan mengambil lapisan tanah permukaan di kawasan meluas sangat tidak digalakkan, kecuali ia dijalankan di kawasan terpencil jauh daripada petempatan.

13. Lombong terbuka di kawasan terhad mungkin masih boleh dipertimbangkan. Itupun, ia masih perlu dipertimbangkan daripada perspektif pencemaran alam sekitar.

14. Lihat sahaja impak lombong bauksit di Teluk Ramunia, Johor pada tahun 1955. Sehingga sekarang, kawasan perlombongan kelihatan seperti padang jarak padang terkukur, gersang dan tidak sesuai lagi sebagai kawasan pertanian.

15. Tanah paling atas, beberapa sentimeter tebalnya ialah tanah paling subur dan terbentuk ratusan ribu tahun lamanya. Jika tanah ini dikikis untuk melombong bauksit, kawasan tersebut menjadi gersang dan kesuburannya tidak dapat dikembalikan lagi.

16. Janganlah hanya kerana keuntungan yang tidak seberapa, sumber asliĀ terpenting (tanah subur) dimusnahkan untuk selama-lamanya.

17. Seperti yang telah disuarakan oleh ramai pihak berkepentingan, khususnya komuniti di Kuantan, cukuplah pengalaman pahit dialami mereka daripada bencana alam sekitar akibat perlombongan lepas.

18. Membenarkan semula melombong bauksit diteruskan akan menyebabkan pisang berbuah dua kali dan impaknya bakal menjadi lebih besar lagi.

19. Tidak ada keperluan munasabah untuk meneruskan satu kesilapan lalu. Nasihat saya jadilah sebuah kerajaan yang prihatin masyarakat dan hormat alam sekitar.
IBK 21 Feb 2019.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s