Dasar Pendidikan Universiti Negara

IMG_0254-1
Gunung Keriang, Kedah – Bukit batu kapur yang masih belum dikenali masyarakatnya

1. Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sedang meneliti sistem pendidikan kebangsaan sebelum memberikan nasihat kepada YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia. Mereka berhasrat untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum memutuskan apakah bentuk nasihat yang paling berkesan untuk meminda dasar pendidikan negara.

2. Terdapat tiga bentuk pendidikan yang perlu diberikan perhatian iaitu Pendidikan Sekolah, Pendidikan Kemahiran atau Vokasional, dan Pendidikan Universiti. Walaupun ketiga-tiga bentuk pendidikan mempunyai hubungan rapat, saya berhasrat untuk memberikan pandangan berkaitan dasar dan strategi pendidikan peringkat universiti sahaja.

3. Amalan dan budaya pendidikan universiti negara hanya bermula pada awal tahun 1970-an dan berkembang pesat dalam tempoh kurang 50 tahun. Dalam masa yang singkat ini ia dipengaruhi oleh pendidikan universiti di United Kingdom, dan secara beransur-ansur pengaruh budaya universiti di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Eropah pula meresap masuk ke sistem universiti tempatan.

4. Ini disebabkan ramai ahli akademik universiti awam kita telah dididik di sana dan apabila mengurus universiti mulai mempengaruhi perkembangan sistem pendidikan universiti di negara ini.

5. Dalam sedekad terakhir ini pula, universiti tempatan dihantui oleh budaya ranking dan KPI ala-korperat yang kononnya mewakili maksud pendidikan bertanggungjawab dan cemerlang.

6. Universiti pada prinsipnya mewakili institusi pendidikan tinggi negara, mengamalkan nilai teras akademik, simbol keilmuwan dan kesarjanaan, serta pembekal sumber manusia pakar atau berkemahiran tinggi. Ia menggambarkan kemajuan dan tamadun sesebuah bangsa.

7. Universiti perlu berkembang dengan acuan tersendiri serta menjadi pemimpin ilmu dan teknologi dalam pembangunan negara.

8. Hari ini, kita lihat universiti tempatan lebih bersifat penyedia tenaga kerja mahir sahaja.  Hala tuju pendidikan universiti banyak dipengaruhi oleh mimpi ahli politik kenegerian, kawalan pegawai kanan kerajaan dan tuntutan keterlaluan agensi swasta.

9. Universiti cemerlang dikawal oleh tiga faktor utama iaitu ahli akademik berbudaya cemerlang, pelajar berkualiti dan pemimpin akademik berwibawa.

10. Ahli akademik ialah pemimpin kebijaksanaan daripada kelompok masyarakat yang cintakan ilmu. Setiap ahli akademik mempunyai kepakaran tersendiri, bersifat gairah terhadap ilmu, dan berkemahiran tinggi dalam penyelidikan, penulisan dan memberi syarahan.

11. Mereka mengamalkan etika akademik yang menekankan kepada iltizam mencari kebenaran, menghasilkan sumbangan cemerlang, berkongsi ilmu dan menghormati kepelbagaian pandangan.

12. Oleh itu, dasar terpenting untuk universiti tempatan ialah membangun dan menghargai ahli akademik bertaraf kebangsaan dan global.

13. Setiap seorang pelajar yang menjejaki kaki ke universiti ialah mereka yang berminat dengan ilmu dan sanggup berkorban untuk meneroka ilmu, bukan kerana mengejar sekeping ijazah iaitu lesen mendapat pekerjaan bergaji lumayan.

14. Selain layak berasaskan kelulusan akademik, beberapa syarat tambahan perlu ditentukan oleh universiti berkaitan bergantung kepada aspirasi keilmuan masing-masing.

15. Oleh itu, permohonan untuk ke universiti perlu diurus oleh setiap universiti dan kriteria kemasukan meliputi menyediakan karangan atau ujian khusus dan temuduga bagi menilai sikap dan kesediaan sebagai siswazah seperti dilakukan oleh banyak universiti terkemuka dunia.

16. Faktor terpenting kecemerlangan universiti ialah memiliki pemimpin akademik berwibawa dan berpengalaman, khususnya untuk jawatan Naib Canselor, Dekan Pusat Pengajian dan Pengarah Pusat Penyelidikan.

17. Wibawa bermaksud kepakaran dan kesarjanaan diakui oleh rakan kesepakaran, ahli akademik keserakanan dan pihak berkepentingan, sementara berpengalaman ialah calon pernah menjalankan tanggungjawab pengurusan akademik dan terbukti pencapaiannya.

18. Jelasnya, calon Naib Canselor perlu daripada kalangan Timbalan Naib Canselor, Dekan atau Pengarah yang terbukti pencapaiannya. Pemilihan pula perlu telus dan dibuat oleh sebuah institusi bebas.

19. Selain daripada tiga faktor asas yang berupaya memacu dan membina budaya cemerlang universiti perlu dilihat melihat tiga perspektif keuniversitian.

20. Seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman atau Kementerian Kewangan, institusi universiti ialah institusi berkaitan kerajaan dan masyarakat. Universiti berperanan sebagai gedung dan penjana ilmu baharu, tempat berkumpulnya para sarjana dan bijak pandai negara, dan tempat pendidikan kepakaran (ilmu) dan kemahiran tinggi dilaksanakan.

21. Universiti ialah pusat perkhidmatan berkaitan ilmu, bukan institusi perniagaan. Perkhidmatan ilmu untuk semua warga merupakan kewajiban utama, sementara komponen perniagaan hanya menjadi sisipan dalam perkhidmatan pendidikan ikhtisas dan penjanaan teknologi.

22. Universiti ialah tempat idea baharu diterokai, kepelbagaian ilmu dicari dan dirungkai, pemimpin berwibawa dihasilkan, dan teknologi watan dikembangkan.

23. Usaha ini memerlukan sokongan dan kepercayaan tinggi oleh kerajaan dan masyarskat. Oleh itu, universiti perlu berautonomi dengan sokongan kewangan berterusan. Ringkasnya, universiti ialah pelaburan jangka panjang untuk memajukan negara dan membina ketamadunan bangsa.

24. Jangan jadikan universiti milik persendirian, milik negeri atau satu kelompok bangsa tertentu. Universiti ialah gedung ilmu bersifat universal, peranannya mencari kebenaran, mempertahankan etika, mengejar kecemerlangan dan institusi yang meraikan kepelbagaian. Universiti perlu berkembang dengan berfikiran global dan bertindak lokal.

25. Saya bawa kembali semangat dan aspirasi pewujudkan institusi pengajian tinggi bergelar universiti kerana situasi semasa menunjukkan ia sudah menyimpang jauh daripada wawasan asal.

26. Universiti secara tabii peneraju pembaharuan dan perubahan, tetapi perlu mempertahankan sifat dan nilai terasnya iaitu institusi pencinta ilmu.

27. Kita ingin melihat universiti pendahulu zaman, menyumbang kepada kemajuan negara melalui hasilan ilmu baharu, pemimpin negara berwibawa dengan teknologi canggih, tapi bukan sebagai kilang menghasilkan sumber manusia mahir dan teknologi yang hanya mengikuti zaman.
IBK 27 Feb 2019

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s