Wilayah Iskandar Malaysia Johor

IMG_5862
Johor Bahru pusat bandar di Wilayah Iskandar Makaysia

1. Mesyuarat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor memutuskan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia diperluaskan meliputi daerah Kota Tinggi, Pontian dan Kluang adalah langkah bijaksana.

2. Kini wilayah Iskandar Malaysia (IM) meliputi lima daerah, termasuk Johor Baharu dan Kulai berkeluasan 4,747 kilometer persegi.

3. Idea awal pembangunan wilayah IM ialah membina sebuah metropolis bertaraf antarabangsa dan dibangunkan secara lestari. Dengan perkembangan baharu, saya yakin objektifnya akan diperluaskan menjadi Pembangunan Lestari Wilayah (PLW) yang sebenar dan menjadi contoh pembangunan wilayah masa hadapan.

4. Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) diwujudkan pada tahun 2006 ialah tindakan berinovasi bagi mengatasi isu asas dalam menjayakan pembangunan lestari.

5. Langkah ini berhasrat menyediakan mekanisme pengurusan bersama peringkat tertinggi antara kerajaan Persekutuan dan Johor. Usaha pembangunan wilayah, terutamanya di peringkat negeri kurang berjaya kerana sistem governans negara memperuntukkan kuasa hal-ehwal pembangunan tanah dan sumber asli terletak pada kerajaan negeri. Walhal sumber kepakaran, teknologi dan kewangan berada pada kepemimpinan Persekutuan.

7. Pendekatan pengurusan bersama antara kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan wilayah Iskandar Malaysia dibangunkan secara berkesan berpaksikan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan keupayaan masyarakat setempat, dan prihatin alam sekitar.

8. IRDA diwujudkan dengan wawasan yang jelas iaitu mewujudkan sebuah wilayah perbandaran sebagai pilihan pertama untuk pelabur, pekarja, tempat bermastautin dan beriadah. Ini diikuti dengan misi untuk membangunan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan lestari.

9. Perancangan, tindakan strategi dan usaha menarik pelabur terbukti sangat berjaya. Ia bukan sekadar wilayah pelabur asing, tetapi penting sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan pertempatan bagi masyarakat Malaysia keseluruhannya.

10. Dengan perluasan kawasan, wawasan ini perlu dikembangkan merangkumi sebuah wilayah yang lengkap mengandungi komponen bandar, kawasan pertanian dan pembangunan luar bandar.

11. PLW bukan sekadar membangun sebuah metropolis secara lestari, tetapi melibatkan konsep pembangunan terimbang dan holistik. Ia perlu memberikan perhatian seksama antara pembangunan bandar, pertempatan, industri, pertanian, budaya dan warisan, dan khidmat alam sekitar.

12. Ia adalah tempat untuk kehidupan yang selesa, peluang pekerjaan yang luas, kawasan pertanian, pusat ilmu dan budaya dan landskap berpandangan indah.

13. Ada ruang untuk pelabur menjana ekonomi mega, pada masa yang sama terbuka peluang bagi komuniti setempat menjana ekonomi negara. Semua pihak mampu memiliki rumah kediaman, daripada kediaman mewah hingga kehidupan di pekan dan kampung, dan dengan kemudahan awam yang sama.

14. Pembangunan bandar dan pertempatan kini berbeza daripada perancangan Iskandar Malaysia asal. Hasrat membangun pusat bandar bertaraf antarabangsa masih boleh diteruskan, begitupun perluasan kawasan kini merangkumi kehadiran bandar dan pekan yang menyokong pertumbuhan daerah, serta kampung dan desa mewakili landskap luar bandar.

15. Dalam hal ini konsep perbandaran, pertempatan dan perindustrian perlu diteliti semula bagi membolehkan pertumbuhan berlaku secara terimbang dan jaringan antara metropolis antarabangsa, bandar daerah dan kampung dipertimbangkan dengan teliti.

16. Perkembangan yang menarik ialah dengan perluasan kawasan, wilayah Iskandar Malaysia akan memberikan tumpuan kepada inisiatif pertanian moden. Isu ini telah dimulakan di peringkat kebangsaan sejak beberapa dekad lalu tetapi kurang berjaya.

17. Ada beberapa isu asas yang masih perlu diselesaikan, antaranya ialah keterbatasan petani berskala kecil, sokongan pertanian keselamatan makanan, dan mewujudkan kitaran lengkap industri berasas pertanian.

18. Dengan memecah ruyung, wilayah Iskandar Malaysia mampu memajukan pertanian moden dan mengubah set minda masyarakat iaitu ‘petani bukan lagi golongan miskin’ seperti terbukti di negara maju.

19. Kebanyakan metropolis dunia, berkembang pesat, bersifat moden tetapi masih mengekalkan warisan, tradisi dan budaya setempat. Bandar menjadi pusat kesenian dan kebudayaan berkualiti global.

20. Wilayah Iskandar Malaysia perlu memberikan perhatian tinggi kepada perkara ini. Imej bandar dan rekabentuk prasarana perlu memberikan tumpuan kepada identiti Johor dan budaya kebangsaan.

21. Bangunan bersejarah, terutama bangunan sebelum merdeka sebagai khazanah perlu dibaik pulih dan dikekalkan. Warga dunia ingin menikmati perkhidmatan metropolis Iskandar Malaysia mewakili Malaysia, bukannya sekadar sebuah lokasi di planet Bumi.

22. Bandar lestari memberikan perhatian kepada penggunaan bijaksana sumber asli dan memulihara perkhidmatan alam sekitar. Sumber tidak boleh diperbaharui seperti tanah, pasir, agregat, batu dimensi, sumber mineral dan landskap perlu mempunyai kawalan pembangunan.

23. Prioriti adalah sumber kegunaan tempatan bukan bahan komoditi untuk diperdagang. Jika tidak diberikan perhatian, wilayah bakal kepupusan sumber penting ini dan pembangunan boleh terbantut.

24. Pada masa yang sama, sumber perkhidmatan alam sekitar perlu diurus dengan bijaksana. Ini dapat dilakukan dengan mengimbangi kepentingan pemuliharaan dan penggunaan secara tanpa musnah. Keunikan habitat, kepelbagaian fauna dan flora, landskap berpandangan indah dan tapak warisan asli dan rekreasi perlu dikekalkan untuk kepentingan awam.

25. Perluasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia bakal membuka paradigma baharu dalam melaksanakan pembangunan lestari wilayah berasaskan pengurusan bersama.

26. Kerjasama dan kepercayaan antara IRDA dan lima daerah pembangunan berkaitan menjadi penentu kejayaan dan kelestarian perlaksanaan.

IBK 20 Mac 19.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s