Sistem Pendidikan Negara

IMG_3079
Pendidikan Awam, Lesvos UNESCO Global Geopark, Greece

1. Ramai yang tidak sedar perbezaan ketara antara bidang ilmu dan kemahiran diperlukan untuk sektor pekerjaan.

2. Jika ilmu ialah pengetahuan yang dibangunkan melalui kaedah saintifik untuk menjelaskan fenomena dan interaksi manusia dengan alam, kemahiran untuk pekerjaan ialah gabungan maklumat, teknologi dan kebolehan untuk menghasilkan produk atau keupayaan menyelesaikan masalah kehidupan.

3. Di peringkat sekolah, sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga (tahun sembilan), semua pelajar perlu didedahkan dengan ilmu asas, terutamanya daripada perspektif makna ilmu, kaedah membangun ilmu dan faedah atau kepentingannya.

4. Pada peringkat pendidikan asas semua pelajar sepatutnya diberikan pendedahan yang pengetahuan yang sama.

4. Saya melihat kita boleh membahagikan kelompok ilmu kepada tiga bentuk: ilmu sains, ilmu komunikasi, dan ilmu etika.

5. Ilmu sains walaupun bersifat terintegrasi, lazimnya dibezakan antara sains tulen dan sains kemanusiaan. Dalam ilmu sains tulen, pembangunan ilmu boleh dibagikan kepada lima bidang iaitu matematik, fizik, kimia, biologi dan geologi; sementara sains kemanusiaan pula ialah sejarah, geografi dan ekonomi.

6. Ilmu yang berkaitan dengan komunikasi, terutamanya berkaitan dengan bahasa dan persuratan, sementara ilmu berkaitan etika banyak berkait dengan kepercayaan agama, pembangunan budi pekerti dan kenegaraan.

7. Semua ilmu di atas diperlukan oleh sebuah bangsa berdaulat dan perlu dididik sejak awal persekolahan bagi membina jati diri dan identiti kemasyarakatan.

8. Peringkat awal pendidikan ia boleh dilaksanakan melalui pendedahan semua ilmu secara holistik dan kepentingan kepada kehidupan serta pembinaan sahsiah.

9. Dalam konteks ini, ilmu hubungan antara manusia didedahkan melalui Sains Kemasyarakatan, ilmu mengenai fenomena alam melalui Sains Tulen dan Matematik, komunikasi melalui Bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris) dan ekita melalui ilmu agama dan kewarganegaraan.

10. Kurikulum sekolah rendah dan menengah bawah perlu digubal untuk memenuhi keperluan ini. Setiap warga hanya didedahkan kepada enam atau tujuh mata pelajaraan sahaja.

11. Sekolah dan universiti jangan terperangkap dengan keperluan pekerjaan sehingga mengabaikan peranan mendidik jati diri bangsa.

12. Tentunya ilmu asas untuk pekerjaan boleh disampaikan sekiranya pelajar telah menjurus dalam beberapa bidang profesional seperti kejuruteraan, perubatan atau pengurusan.

13. Sekolah tidak boleh memenuhi kehendak pekerjaan kerana keperluan mereka sentiasa berubah mengikut zaman dan perkembangan teknologi. Sebetulnya, keperluan pekerjaan boleh dipenuhi di peringkat akhir pendidikan universiti atau pembelajaraan sambil bekerja.

14. Pada peringkat sekolah menengah atas (tahun sepuluh hingga tiga belas), pendidikan boleh dijuruskan kepada sains tulen dan sains kemasyarakatan bagi memenuhi perkembangan ilmu dan pendidikan yang yang terfokus.

15. Dalam bidang sains tulen umpamanya, selain daripada lima bidang asas, pelajar boleh diperkenalkan kepada beberapa ilmu sains gunaan dan teknologi yang bersifat multi-bidang seperti sains kesihatan, kejuruteraan, alam sekitar dan komputer.

16. Pemilihan kepada aliran pula perlu dilaksanakan melalui minat, kelayakan, kecenderungan dan bimbingan secara berkesan.

17. Di peringkat universiti, kita perlu membezakan antara universiti komprehensif, universiti terfokus dan universiti kolej.

18. Bagi universiti komprehensif, tumpuan perlu diberikan kepada pendidikan berasaskan bidang ilmu. Tumpuan kepada pelajar cemerlang yang mampu menjana dan mengembangkan ilmu yang mereka minati, terutamanya bidang ilmu fundamental yang menjadi tunjang pembangunan tamadun dan teknologi.

19. Universiti terfokus boleh menjurus kepada beberapa bidang ilmu yang menjurus kepada sektor pembangunan seperti pertanian, perlombongan, industri pembuatan atau maritim.

20. Sementara universiti kolej bolehlah memberikan tumpuan kepada pelbagai bidang ikhtisas seperti perubatan, kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan perguruan umpamanya.

21. Pendidikan adalah asas dalam pembangunan warga berilmu, membina bangsa bertamadun dan bermaruah, bangsa yang sepakat dan bersatu padu, serta sumber manusia berkemahiran dan beretika.

22. Sistem pendidikan tidak boleh berkompromi dengan kehendak ahli politik beragenda sempit, atau agensi perniagaan yang mencari kesempatan.

23. Negara perlu menerima hakikat kelemahan sistem pendidikan sedia ada menyukarkan hasrat mencapai wawasan murni mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu, berjati diri kebangsaan dan insan cemerlang.

24. Masanya telah tiba, pemimpin dan warga perlu berani dan berjiwa besar, meneliti dan melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan yang sama untuk semua warga dan berjaya mengangkat martabat sebuah bangsa yang merdeka.

25. Pendidikan kebangsaan perlu berteraskan pembangunan insan berilmu dan warga yang sanggup berkorban untuk negara, bukan sekadar membangunan pelbagai kemahiran bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja.

IBK 19 Jun 2019

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s