Etika Akademik di Menara Gading

Pelajar Siswazah Chinese University of Geosciences Biejing bersama penulis di Qilian Mountain

1. Peribahasa Menara Gading yang membawa maksud Institusi Pengajian Tinggi atau keadaan hidup yang tersisih daripada kehidupan sehari-hari telah menimbulkan persepsi awam negatif terhadap universiti. Ahli akademik dianggap sebagai ‘mereka yang pandai memberikan pandangan, tetapi tidak berpijak di bumi nyata.’

2. Hari ini, ramai pemimpin politik, pegawai awam dan swasta, serta masyarakat terpelajar mempersoalkan apakah universiti masih relevan? Apakah yang dipelajari di universiti itu boleh dimanfaatkan dalam pekerjaan atau kehidupan harian?

3. Ramai yang tidak menyedari maksud sebenar Menara Gading. Ia mempunyai dua maksud asas iaitu ‘tempat paling tinggi anda boleh mendapatkan ilmu terkini’, dan ‘tempat di mana para sarjana menerokai ilmu baharu’.

4. Terdapat perbezaan yang besar antara maklumat dan ilmu yang kurang difahami oleh masyarakat awam. Maklumat atau fakta lazimnya ialah ilmu yang telah dibuktikan kebenarannya, dan boleh digunakan untuk kehidupan seharian.

5. Ilmu pula ialah idea atau teori yang masih dalam perdebatan dan penelitian para sarjana, ia terus menerus berkembang untuk membekalkan maklumat dan produk inovasi baharu.

6. Dalam konteks ini, secara ringkas universiti ialah tempat para sarjana (akademik) membangun ilmu dan teknologi baharu, sementara pelajar didedahkan dalam sekitaran ‘pemikiran mendahului zaman’ dan pembelajaran pada sampul ilmu (envelope of knowledge).

7. Universiti bukan soal menyelesaikan masalah seharian, tetapi sebuah institusi kesarjanaan bagi membina insan yang berfikiran kritis dan beretika iaitu sentiasa memerah otak untuk membina pendekatan penyelesaian, mendekati ilmu baharu, membangun perwatakan berasaskan ‘ketelusan dan kebenaran’, dan pemimpin masa depan bangsa dan negaranya.

8. Terakhir ini, kita mendengar keluhan mengenai ‘ahli akademik mencuri ilmu dari pelajarnya’ untuk menghasilkan penerbitan jurnal. Tuduhan ini amat berat bagi sesebuah universiti dan perlu mendapat perhatian serius.

9. Terdapat dua senario yang mendorong kepada wujudnya fenomena terkutu kini. Pertama, wujudnya ahli akademik di universiti yang bukan sarjana. Mereka mungkin sekadar pekerja awam yang memiliki ijazah PhD, tetapi kurang berupaya untuk menyelidik atau menulis.

10. Kedua, tekanan akibat terlalu mengejar KPI dan ranking menyebabkan ahli akademik terdesak menerbitkan hasil ilmiah melampaui keupayaan sebenarnya.

11. Dalam keadaan begini, mereka terpaksa ‘gunakan pelajar siswazah’, menyelidik dan menulis kertas ilmiah tanpa memberikan pengiktirafan sumbangan secukupnya.

12. Sekitaran universiti yang cemerlang mempunyai sistem ‘semak dan imbang’ tersendiri. Pada asasnya, semua universiti terikat kepada budaya akademik yang memberikan perhatian kepada dua komponen kesarjanaan iaitu Nilai Teras dan Etika Akademik.

13. Ini adalah peraturan kendiri yang lebih berat daripada undang-undang bertulis. Kewibawaan, Intigriti dan Profesionalisme (WIP) ahli akademik terikat kepada dua perkara ini.

14. Nilai Teras bermaksud pegangan asas bagi setiap ahli akademik. Antaranya ialah sentiasa mencari kebenaran; mengutamakan kecemerlangan; ilmu untuk dikongsi; meraikan kepelbagaian; dan berpegang kepada etika akademik.

15. Peraturan kendiri ini menuntut setiap ahli akademik untuk terus menyelidik bagi mencari kebenaran, berkongsi ilmu dengan pelajar dan keserakanan, serta mengamalkan tuntutan integriti pada tahap tertinggi.

16. Etika Akademik pula melampaui batas konsep integriti yang diwar-warkan bagi penjawat awam iaitu berkisar kepada melakukan kerja dengan baik dan menghindar rasuah.

17. Etika akademik ialah amalan murni dalam menghasilkan dapatan penyelidikan dan tulisan ilmiah. Daripada perkara paling asas, membuat rujukan selengkap dan setepat mungkin untuk menghindar kepada kesilapan menyatakan ‘ini adalah sumbangan asli saya’, hingga menulis atau mengiktiraf sumber rujukan kerja sarjana lain dalam setiap tulisan.

18. Dalam konteks bekerja dalam sebuah pasukan umpamanya, sumbangan dan pengiktirafan setiap penyelidik dinyatakan dengan jelas dan tidak mengambil kesempatan. Plagiat adalah kesalahan paling serius daripada kalangan ahli akademik.

19. Saya terpanggil untuk membuat catatan ini kerana perlu mengulas beberapa perakuan daripada pelajar antarabangsa seperti yang dilaporkan oleh Tan Sri Rafidah dan kenyataan balas YM Menteri Pendidikan mengenai fenomena ahli akademik ‘mencuri’ hasil penyelidikan pelajar.

20. Situasi ini ada benarnya, tetapi perlu dilihat dengan lebih teliti. Hubungan ahli akademik (penyelia) dan pejajar pascasiswazah ialah satu pasukan penyelidikan dari perspektif ‘guru dan murid’ atau ‘mentor dan mentii’ yang perlu membina sikap percaya mempercayai dan hormat menghormati.

21. Sumbangan ilmu dan kepakaran berbeza antara akademik dan pelajar, dan hasil penulisan mesti menggambarkan sumbangan kedua-dua pihak dalam konteks etika akademik.

22. Menentukan batas kesalahan adalah amat sukar, lazimnya hanya dapat ditentukan oleh rakan kesepakaran atau ahli akademik itu sendiri.

23. Jelasnya, kemerosotan etika akademik daripada kalangan ahli akademik di universiti tempatan amat membimbangkan dan perlu perhatian pemimpin utama setiap universiti. Negara tidak akan dihormati jika perkara asas begini tidak dapat diatasi.

IBK 24 Julai 2019.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s