Sains Bumi dalam Pendidikan Negara

Alxa Desert UGGp, Inner Mongolia China

Ketika meneliti pakej mata pelajaraan Tingkatan 4 yang didedahkan oleh Berita Harian (27 November 2019) mengenai pengubahsuaian aliran Sains dan Sastera, saya tertarik untuk mengupas kumpulan Mata Pelajaraan Menengah Atas yang menjadi asas pendidikan sekolah negara. Saya sedar konsep pendidikan menengah di negara kita berkembang berasaskan keperluan pembangunan manusia bersifat holistik daripada perspektif kemahiran berkomunikasi dan pendedahan kepada ilmu asas. Tumpuan diberikan kepada kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, serta pendedahan kepada pengetahuan mengenai Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/ Moral. Ini adalah mata pelajaraan teras untuk semua pelajar. Sementara itu, pelajar wajib didedahkan kepada Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan pelbagai mata pelajaraan bersifat elektif (pilihan). Nampaknya terlalu banyak mata pelajaraan elektif yang dipecahkan kepada empat kelompok utama iaitu Bahasa, Pengajian Islam, Sastera Ikhtisas dan Kemanusiaan, dan STEM.

Dalam kelompok STEM sahaja sekurang-kurangnya terdapat 38 mata pelajaraan yang dibahagikan lagi dalam tiga kelompok kecil iaitu Sains Tulen dan Matematik Tambahan, Sains Gunaan dan Teknologi, dan Vokasional. Saya tidak berhasrat untuk mengupas ketepatan dasar dan keberkesanan pendidikan Menengah Atas ini, tetapi mulai faham mengapa penduduk Malaysia kurang memahami hubungan antara alam fizikal dan kesejahteraan masyarakat, khususnya hubungan sumber asli dalam kehidupan harian. Mengapa isu ekosistem asli, bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir, sumber asli untuk pembangunan prasarana, sember tenaga, bahan komoditi sangat kurang dikenali masyarakat? Mereka hampir tidak terdedah langsung dengan ilmu Sains Bumi sepanjang melalui pendidikan negara.

Pada masa ini, dalam elektif STEM mengenai Sains Tulen, takrifan Sains hanya tertumpu kepada mata pelajaraan Fizik, Kimia dan Biologi. Saya berpendapat, pemikiran ini perlu diperkemaskan bagi menyampaikan ilmu secara lebih terintegrasi. Pada prinsipnya asas pemikiran kadah Sains boleh dibagikan kepada tiga bidang Sains Tulen iaitu Fizik, Kimia dan Matematik. Penggunaan kaedah asas ilmu Sains ini perlu ditumpukan kepada pendidikan mengenai sumber hidupan (Biologi) dan bukan-hidupan (Geologi). Tanah, batuan, air dan udara ialah sumber bukan hidupan mewakili lebih daripada 99.9% bahan Bumi. Ilmu seperti Geologi, Sains Planet, Hidrologi, Hidrogeologi, Sains Atmosfera dan Sains Kelautan adalah sebahagian daripada bidang Sains bukan hidupan dikenali sebagai Sains Bumi.

Sains Bumi secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai Sains mengenai fizikal Bumi, ia merangkumi pelbagai bahan yang membentuk Bumi, proses dalaman (pergerakan Kepang Bumi, rejahan magma, letusan volkano, permineralan, pembentukan pergunungan dan gempabumi), dan proses luaran (luluhawa, pergerakan jisim, hakisan dan pembentukan tanah). Seperti bidang Sains Hayat, Sains Bumi menggunakan kaedah Sains Geologi dangan bantuan teori Fizik, Kimia dan Matematik. Sains Bumi mempunyai hubungan rapat dengan pembangunan tamadun dan teknologi serta keperluan untuk kehidupan manusia. Antaranya ialah kerja pengkuarian bahan binaan, perlombongan mineral berekonomi, sumber air, sumber tenaga (arang batu, gas dan petroleum), kesesuaian dan kesuburan tanah untuk pertanian, bencana alam (tanah runtuh, banjir, gempa bumi dan letusan volkano) dan kesesuaian tapak untuk pembangunan.

Sains Bumi mempunyai sub-bidang ilmu tersendiri dan pelbagai. Antaranya ialah Mineralogi (proses pembentukan mineral), Petrologi (proses pembekuan magma dan volkano), Sedimentologi (pembentukan batuan sedimen), Paleontologi (hidupan purba), Geologi Struktur (proses tektonik dan pergerakan dalaman), Geomorfologi (proses prmbentukan landskap), Hidrogeologi (aliran dan simpanan air bawah tanah), Geologi Petroleum (penerokaan sumber petroleum) dan Geologi Kejuruteraan (maklumat geologi untuk kerja awam). Ini hanya sebahagian sahaja dan setiap satu sub-bidang mempunyai pecahan yang lebih khusus. Dalam ilmu Paleontologi umpamanya, ada kelompok ahli geologi yang mengkaji dan menjadi pakar mengenai fosil dinosaur sahaja.

Jika falsafah dan pendekatan yang sama akan diteruskan, saya memohon Kementerian Pendidikan memberikan ruang untuk menambah satu lagi mata pelajaran elektif STEM berkaitan Sains Tulen iaitu Sains Bumi. Usaha ini membolehkan, pelajar (masa depan masyarakat Malaysia) terdedah mengenai bidang Sains secara lebih menyeluruh. Kepentingan ilmu Sains Bumi tidak sahaja melibatkan pendidikan kaedah Sains sumber bukan-hidupan, tetapi penghayatan yang lebih mengenai isu kelestarian, khususnya perkhidmatan alam sekitar, penggunaan sumber asli tidak boleh diperbaharui, bencana alam dan perubahan iklim.

Mengulas mengenai isu semasa berkaitan ‘pemansuhan aliran Sains dan Sastera’ pada peringkat pendidikan Menengah Atas, bukan cara terbaik untuk menghasilkan insan berilmu dan pakar dalam pelbagai bidang untuk pembangunan negara. Pada peringkat Sekolah Rendah dan Menengah Bawah, pelajar amat sesuai didedahkan dengan pendidikan bersifat lebih holistik seperti cara kita mengharungi kehidupan harian. Tetapi pada peringkat Menengah Atas, pelajar perlu dijurus kepada bidang Sains dan Sastera berasaskan minat dan pencapaian bagi membolehkan mereka menerokai sistem Pengajian Tinggi secara lebih berkesan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s