Warisan dan Ketamadunan Bangsa

Warisan Landskap Kars Misool, Raja Ampat Geopark

Semasa membuat lawatan ke beberapa negara yang sedang membangunkan agenda geopark di Asia, Eropah dan Afrika, saya perhatikan kebanyakan negara sedang menghadapi pelbagai masalah untuk memelihara dan memulihara warisan penting mereka. Sebahagian besar tapak warisan telah musnah, sama ada di makan zaman atau tapak tersebut telah bertukar menjadi kawasan pembangunan moden. Di setiap negara ini, hanya tinggal segelintir masyarakatnya yang celik warisan dan sedang berusaha keras untuk menyelamatkan sebahagian daripada warisan negara.

Apa sebenarnya warisan atau khazanah bangsa? Warisan adalah tinggalan atau sekitaran lepas yang telah mencorakkan sejarah alam dan kehidupan di muka bumi ini, khususnya sejarah yang berkait rapat dengan ketamadunan bangsa. Sebahagian besar daripadanya adalah ‘cebisan tinggalan’, menjadi bukti peristiwa yang pernah berlaku dalam kehidupan kita. Kebanyakan tapak warisan sukar untuk diukur daripada perspektif ekonomi, tetapi mempunyai nilai yang tinggi daripada perspektif sains (ilmu), keindahan (estatik), budaya dan rekreasi. Tapak atau objek warisan ialah sesuatu yang dipinjamkan kepada kita, dan perlu ditinggalkan kepada generasi akan datang.

Landskap penting dan berpandangan indah umpamanya, menyimpan pelbagai misteri alam yang luar biasa. Batu-batan menyimpan rekod mengenai sejarah pembentukan Bumi dan hidupan, serta proses yang mengukir bentuknya seperti kelihatan sekarang. Tahukan anda, lapisan batuan tertua di Malaysia berada di Langkawi, terbentuk pada sekitaran laut lebih 500 juta tahun lampau (zaman Kambria). Sejak itu, lapisan demi lapisan terbentuk hinggalah ke hari ini. Jika kita perhatikan di sepanjang sungai dan persisir pantai, lumpur, pasir dan kelikir terus diendapkan, dan satu masa nanti, ia juga akan menjadi lapisan batuan.

Dalam lapisan batuan ini terawet pelbagai jenis hidupan kuno (fosil). Di lokasi jumpaannya, para saintis berupaya menjelaskan masa dan sekitaran kehidupan haiwan dan tumbuhan tersebut. Sejak pembentukan bumi Malaysia, haiwan hidup dan pupus silih berganti disebabkan sekitarannya berubah. Hidupan lama akan berkurangan dan akhirnya pupus, sementara spesies hidupan baharu pula muncul. Haiwan paling tua dinamakan Trilobit, berusia 500 juta tahun telah dijumpai di Langkawi sebagai bukti usia pembentukan bumi terawal kita.

Sekitar 150 juta tahun lampau, apabila sebahagian besar bumi Malaysia telah menjadi daratan. Gunung, lurah, sungai, air terjun, persisir pantai terbentuk hasil proses hakisan berterusan. Ketika itu, pelbagai jenis tumbuhan berbunga dan haiwan mulai muncul dan membentuk hutan tropika. Hidupan tua mati, dan yang muda hidup membesar. Bergantung kepada batu-batan dan landskap, pelbagai ekosistem dan habitat hutan terhasil. Masing-masing mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri.

Kehadiran manusia di bumi Malaysia mungkin bermula sejak 75,000 tahun lalu berdasarkan bukti arkeologi di Tapak Warisan Dunia di Lenggong, Perak. Usia tinggalan bahan karbon yang pernah di kaji ialah sekitar 40,000 tahun di Gua Niah dan tinggalan rangka manusia sekitar 11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Perak. Peradapan manusia pada hakikatnya masih muda ada hanya cebisan kecil daripada sejarah bumi dan kehidupan di bumi Malaysia.

Terdapat dua persoalan asas yang sering diutarakan masyarakat apabila berbicara mengenai warisan. Pertama, bagaimana menentukan nilai kepentingan, bertaraf kebangsaan atau global, umpamanya. Kedua, apakah sejarah bumi dan hidupan lain juga sebahagian daripada warisan tamadun manusia? Negara perlu menjalankan penyelidikan mendalam untuk menentukan kepentingan sumber warisan dan nilainya. Malangnya, tumpuan jarang diberikan ke arah ini kerana kononnya tiada kepentingan ekonomi kepada negara. Bagi persoalan kedua, kita perlu melihatnya daripada perspektif warisan terintegrasi. Kehidupan, budaya dan tamadun manusia bergantung kepada kelainan sekitaran dan hubungan erat manusia dan alam. Ini tentunya termasuk warisan kepelbagaian geologi (landskap) dan biologi.

Negara maju tidak sekadar kemajuan dalam ekonomi, prasarana dan teknologi, tetapi masyarakatnya perlu bertamadun dan berbudaya. Ia perlu dijelmakan melalui keupayaan mengenali dan menghayati warisan, dan kesungguhan untuk memelihara dan memulihara bagi generasi akan datang dan komuniti global. Kerajaan yang bertanggungjawab, perlu menyediakan sejumlah peruntukan negara untuk membangun dan memulihara warisan kebangsaan. Bagi memastikan keberkesanan, ia tidak boleh dibiarkan berlangsung melalui pertimbangan perniagaan semata-mata.

Antara program dan aktiviti yang perlu disokong melalui peruntukan kerajaan ialah: a) penyelidikan untuk mengenali nilai warisan kebangsaan (geologi, biologi dan budaya); b) menggalakkan pertumbuhan pelbagai badan bukan kerajaan atau yayasan berkaitan warisan; c) mewujudkan lebih banyak museum dan galeri yang terfokus mengenai pelbagai jenis warisan daerah dan negeri; b) menyegerakan rancangan untuk membangun museum sejarah tabii terintegrasi; e) menganjur pelbagai program pendidikan awam mengenai warisan dan ketamadunan; dan f) membangun produk pelancongan ilmu (geopelancongan, ekopelancongan dan pelancongan sejarah) bagi pelancong dalam dan luar negara.

Sejak negara terdedah dengan arus globalisasi, perancangan pembangunan dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi dan usaha ke arah membina negara bangsa kurang mendapat sambutan, perhatian kepada pembangunan budaya dan warisan kelihatan semakin terpinggir. Semua pihak perlu beriltizam dan berusaha bagi mengembalikan maruah negara melalui penghayatan warisan dan pembinaan tamadun bangsa.

Ibrahim Komoo, Prof Emeritus Dato Dr
Pengerusi, Majlis Warisan Kebangsaan; dan Felo Utama, LESTARI-UKM.
25/11/19: Rabat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s