Malaysia: Masyarakat terlatih tetapi tidak berilmu

1. Kekecewaan seorang ilmuwan ulung Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid ketika mengulas keadaan Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong di Perak dalam akhbar berbahasa Inggeris beberapa hari lepas perlu diberikan perhatian serius oleh pembuat dan pelaksana dasar di negara tercinta ini. 

2. Beliau menjelaskan tapak arkeologi dan sejarah penting ini, dalam keadaan terbiar dan tidak terjaga, jika tidak dilakukan sesuatu bakal ditarik balik statusnya oleh UNESCO. Beliau lantas menjelaskan, negara kita dalam keadaan malang, masyarakatnya sangat terlatih tetapi tidak terdidik. 

3. Saya amat bersetuju dengan kenyataan beliau, dan dapat melihat implikasinya dalam pelbagai senario sejak beberapa dekad ini. 

4. Mengambil ikhtibar daripada status dan iltizam di negara jiran mengenai warisan budaya dan tabii negara, mereka bergerak maju ke hadapan, kita seolah-olah mengundur ke belakang.

5. Nasib baik, ketika kerajaan Inggeris menjajah kita, banyak artifak dan tapak warisan dijaga dan dihormati sehingga membolehkan ia kekal sehingga kini, sebahagian besar berada di bawah prngurusan Jabatan Museum, Jabatan Warisan, Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar, dan pelbagai agensi pemuliharaan di peringkat negeri. 

6. Kini sumber warisan ini telah digunakan sepenuhnya untuk menarik pelancong datang ke negara kita.

7. Dalam konteks warisan, sama ada warisan sejarah, budaya atau tabii, kita boleh kelaskan situasinya dalam tiga perspektif berikut: pertama, artifak dan tapak yang telah diwarta sebagai warisan negeri, negara atau dunia. 

8. Kedua, artifak atau tapak yang telah dinilai oleh pakar dan dipersetujui oleh agensi warisan, tetapi masih menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk diwartakan.

9. Ketiga, masih banyak yang masih belum dikenali atau dalam proses penelitian oleh pakar atau pembuat warisan.

10. Bagi tapak yang telah diwartakan atau mendapat pengiktirafan Warisan Dunia, tahap penjagaan dan pengurusan banyak bergantung kepada popularitinya sebagai destinasi pelancongan. Semakin ramai pelancong, semakin baik pengurusannya. 

11. Ada tapak yang mulai tergugat integritinya kerana gairah untuk membangun prasarana bagi menampung kedatangan pengunjung. Perhatian bukan kepada nilai warisan, tetapi potensinya untuk meraih keuntungan. 

12. Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong dan banyak lagi tapak warisan lain menerima nasib malang kerana kurang menerima pengunjung dan kos pengurusan tidak dapat ditampung oleh pendapatan daripada aktiviti pelancongan.

13. Banyak tapak warisan bertaraf kebangsaan yang telah dikenalpasti oleh pakar dan mendapat kelulusan Jabatan Warisan Negara masih belum berjaya diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan. 

14. Walaupun keinginan memulihara warisan penting tinggi daripada kalangan masyarakat madani, hambatan paling besar ialah keraguan kerajaan negeri untuk membenarkan pewartaan ini kerana takut kehilangan hak untuk mengurus sumber asli negeri. 

15. Satu penyelesaian jangka panjang diperlukan dan pendekatan menang-menang diketengahkan untuk kepentingan bersama. Pendekatan paling praktikal perlu dipertimbangkan ialah biarkan hak pewartaan dan pengurusan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, sementara Akta Warisan negara digunakan untuk memantau kualiti pengurusan dan menyimpan senarai warisan kebangsaan.

16. Yang lebih membimbingkan ialah masih banyak lagi objek dan tapak warisan bernilai kebangsaan masih belum dikenali, sedang terbiar menunggu kemusnahan.

17. Usaha ke arah mengenalpasti, menciri dan menilai tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan pakar dan sokongan dana. Terdapat beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Institusi Penyelidikan yang berminat soal pemuliharaan warisan, tetapi sokongan kerajaan, badan swasta dan masyarakat amat mendukacitakan. 

18. Kerajaan perlu perkukuhkan lagi dasar warisan negara dengan memberikan perhatian tinggi mengenai keupayaan penyelidikan dan pembangunan, serta mekanisme baharu penyaluran sokongan kewangan.

19. Situasi negara maju, negara sedang membangun dan negara mundur berbeza dalam hal-ehwal pemuliharaan warisan.

20. Di negara maju, kebanyakan objek dan tapak warisan telah musnah akibat peperangan dan pembangunan, saki baki tinggalan sejarah yang berjaya diselamatkan dibaikpulih dan dipulihara sebagai monumen dengan peraturan yang ketat. 

21. Sebahagian daripadanya kini telah menjadi tapak pelancongan penting yang berjaya meraih faedah sosio-ekonomi kepada masyarakat dan negaranya. 

22. Di negara mundur pula, mereka masih bertungkus lumus membangun masyarakat dan ekonomi negara. Prioriti pembangunan masih pada tahap menyediakan keperluan asas dan peluang penjanaan ekonomi.

23. Bagi negara sedang rancak membangun seperti Malaysia, kita perlu lebih berhati-hati dalam menangani konflik mengimbangi antara pembangunan dan pemuliharaan warisan. 

24. Dasar pemuliharan yang jitu dan berstrategi perlu dibangun dan dipertahankan. Jika kita biarkan kuasa dorongan perniagaan mengatasi kepentingan yang lain, kemusnahan warisan akan berleluasa dan besar kemungkinan tidak mampu lagi diselamatkan. 

25. Kegairahan pembangunan atas dasar pertumbuhan ekonomi negara atau GDP nampaknya telah menunjukkan impak negatif terhadap kesejahteraan masyarakat, integriti alam sekitar dan kemusnahan warisan negara.

26. Kembali kepada kekecewaan Datuk Zuraina Majid, mantan Pesuruhjaya Warisan Kebangsaan, kita perlu memberikan perhatian yang serius tentang dasar pendidikan negara yang diamalkan kini.

27. Di samping mendidik untuk meningkatkan kemahiran untuk bersaing di peringkat global, jangan kita sama sekali lupa, pendidikan juga ialah untuk membangun insan syumul, berfikir terbuka, berjatidiri kebangsaan, berakhlak mulia dan menghayati erti nilai warisan bangsa. 

IBK@ 5 Jan 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s