PPSMI: Antara Agenda Kebangsaan dan Global

Dato Sri Amar Diraja, Muar – sekolah aliran Melayu

Demografi Malaysia terhasil daripada dasar penjajahan apabila penduduk majoriti, khususnya Melayu dan Bumiputra tinggal di luar bandar, sementara kaum lain tinggal di bandar. Sejak merdeka, kita telah membangunkan prasarana bandar dengan serba canggih, sementara keadaan di luar bandar masih pada tahap memenuhi keperluan asas. Kedudukan kemudahan pendidikan juga mengikut tren pembangunan yang sama, akibatnya, peluang pendidikan sempurna, terutamanya bagi keluarga yang miskin di luar bandar masih sangat terbatas.

Mujurlah ada usaha membina sekolah berasrama penuh, meliputi bidang S&T. Intervensi ini sekurang-kurangnya dapat menampung sebahagian kecil pelajar dari luar bandar menikmati pendidikan berkualiti.
Banyak telah diperkatakan mengenai cara terbaik mendidik anak bangsa berasaskan bahasa kebangsaan. Jika mahu menyerlahkan bakat, pelajar perlu dididik dengan ‘bahasa minda’ yang bebas berfikir, mentafsir ilmu dan menyelesaikan persoalan kemanusiaan. Ceria dan bebas daripada kekangan berbahasa. Pembangunan minda adalah keperluan asas dalam mengasah bakat, khususnya ‘pemikiran berasaskan ilmu’.

Budaya, sekitaran asli dan kepercayaan membentuk cara pelajar berfikir dan berhujah secara logik. Inilah yang membezakan antara satu bangsa dengan bangsa lain, dan kelainan inilah yang memberikan kelebihan bersaing serta memperkasa jati diri sebuah bangsa. Selepas lebih 60 tahun merdeka, saya yakin inilah yang sedang diperjuangkan oleh bangsa majoriti negara ini. Kita pernah menjelaskan dengan lantang satu ketika dahulu, ‘negara dan bangsa perlu membangun dengan acuan sendiri’. Mengapa iltizam ini seolah-olah mahu dikuburkan?

Memahami senario begini dan pengalaman melaksanakan PPSMI satu ketika dahulu, pastinya sudah mencukupi bagi kita mengambil ikhtibar daripada peristiwa pahit hasil kesilapan yang tidak sepatutnya. Laporan kajian menunjukkan anak Melayu dan Bumiputra di luar bandar, gagal teruk dalam S&T, dan bahasa Inggerisnya pula entah ke mana. Kita telah menganiaya ratusan ribu anak bangsa hanya kerana ada sekelompok kecil ‘orang Melayu bandar’ merasakan kita tidak harus tertinggal daripada arus globalisasi. Oleh itu, perlu gunakan bahasa Inggeris dalam urusan pendidikan.

Ramai yang kurang menyedari arus globalisasi mempunyai banyak wajah. Dalam konteks S&T, jelas negara maju dan berkuasa berhasrat untuk mempengaruhi dan menggunakan sumber ilmu dari negara membangun untuk kemajuan dan mengukuh penguasaan mereka. Dengan menggunakan platform penerbitan ilmiah berimpak pula, kita digalakkan untuk menulis dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa global, bagi membolehkan ilmu baharu tersalur dengan mudah kepada mereka.

Ramai penyelidik dari negara membangun menjadi hamba kepada negara maju atas dasar perkongsian ilmu. Bagus untuk meningkatkan kesarjanaan kendiri, tetapi belum pasti bermanfaat untuk negara. Dapatan kajian ufuk ilmu sesuai untuk kertas jurnal, tetapi belum mampu diterjemah kepada teknologi tinggi untuk pembangun negara.

Jepun dan Korea cukup sedar mengenai fenomena ini. Beberapa rakan dari sana pernah menjelaskan kepada saya mengenai betapa penting ilmu tersimpan dalam bahasa sendiri. Oleh itu, dasar penerbitan laporan teknikal dan penyelidikan mereka ditetapkan dalam bahasa ibunda supaya tidak mudah mengalir keluar dari negaranya. Hanya sebahagian kecil penerbitan ilmiah diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk perkongsian global.

Walaupun warga Malaysia digalakkan menjadi masyarakat multi-bahasa, khususnya bahasa Melayu dan Inggeris. Hakikatnya kita hanya perlukan segelintir warga menjadi warga global bagi menghubung Malaysia dan dunia luar. Sebahagian besar warga diperlukan untuk kepentingan negara, sebagai pentadbir, pengurus, pendidik, jurutera, pakar perubatan, pengusaha dan pedagang berkualiti dan berjati diri kebangsaan. Rakyat mengharapkan semua urusan mereka dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Satu perkara kritikal yang merugikan pasti berlaku jika agenda PPSMI mahu diteruskan. Dapatan kajian menunjukkan ramai potensi bakat dalam kalangan pelajar di luar bandar akan terhalang hanya kerana kekangan bahasa. Seorang sahabat berhujah, ‘banyak bakat sains akan terhalang hanya kerana kita mahu menggunakan bahasa Inggeris untuk pendidikan S&M’.

Kita sedia maklum, bakat sains biasa-biasa memang banyak, bakat sains luar biasa hanya beberapa, tetapi bakat sains unggul sukar diserlah. Mengenali dan menyegarkan bakat bukan mudah. Kebanyakan masa ia lewat dikenali, atau sudah terlambat untuk dibangunkan. Mengajar S&M anak Melayu dan Bumiputra luar bandar dengan bahasa Inggeris, hanya akan menghalang atau membunuh bakat yang belum sempat bercambah. Kehilangan sumber bakat dalam kalangan golongan miskin dan sederhana hanya akan merugikan bangsa dan membantut kemajuan negara.

Kita perlu membina bangsa Malaysia berasaskan budaya bangsa asal dan membina ketamadunan negara berpandukan nilai sepunya. Bahasa Melayu Ilmu tinggi adalah prasyarat kehormatan, keharmonian dan kewibawaan sebuah negara bangsa tercinta. Kepada pemimpin politik, pemimpin keilmuwan dan masyarakat berjati diri kebangsaan, marilah kita bersama memikul amanah yang ditinggalkan oleh para pejuangan terdahulu dengan iltizam berpandangan jauh.

Ibrahim Komoo, Profesor Emeritus Dato, Alumni UKM dan Felo Utama, LESTARI UKM. 11 Februari 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s