Cabaran Membangun Geopark Kebangsaan

Wawasan geopark global diperkenalkan oleh warga dunia pada tahun 2004 apabila 25 buah geopark dari Eropah dan China bergabung dan membentuk Jaringan Geopark Global (GGN). Pada tahun 2007, Langkawi menjadi Global Geopark pertama di Malaysia, dan pertama di Asia Pacifik selepas China. Sejak 2007, beberapa negara di rantau ini, terutama Jepun, Korea, Vietnam, Indonesia dan Thailand, Filipina dan Myanmar telah datang melawat ke Langkawi belajar dan berkursus untuk membangunkan geopark masing-masing.

Geopark ialah tindakan pembangunan lestari wilayah berteraskan kehendak pemimpin dan komuniti setempat. Geopark memberikan perhatian kepada cara mengintegrasi keperluan pembangunan ekonomi, pembangunan masyarakat dan kepentingan memulihara warisan alam. Inilah agenda abad ke-21, agenda yang sedang dipelopori oleh Bangsa-bangsa Bersatu, disokong oleh Malaysia dan seluruh negara dunia melalui Agenda 2030, dan dipantau melalui mekanisme 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Keistimewaan geopark terletak pada usaha memperkenalkan sumber warisan baharu yang selama ini kurang dikenali, dipinggirkan dan sebahagiannya telah musnah kerana kejahilan kita. Singkapan batuan dan landskap geologi menyimpan rekod sejarah bumi dan hidupan kuno, menunjukkan keunikan bentuk dan keindahan tabii – ini adalah warisan geologi atau geotapak, mempunyai nilai saintifik, budaya dan rekreasi yang tinggi, perlu dipulihara dan dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu. Geotapak boleh menjadi asas pembangunan produk baharu iaitu pelancongan alam atau ilmu, dan menjadi sumber ekonomi kepada komuniti di sekitarnya.

Geotapak ialah binaan asas untuk warisan biologi dan budaya. Ekosistem dan habitat terhasil daripada gabungan landskap, kepelbagaian batuan dan iklim. Di iklim tropika lembab seperti Malaysia umpamanya, ekosistem pergunungan hingga persisiran terbuntuk melalui evolusi landskap, sementara kelainan habitat banyak bergantung kepada jenis batuan dasar. Pergunungan granit, batu pasir dan batu kapur menghasilkan habitat berbeza. Budaya dan tradisi kehidupan manusia pula dipengaruhi oleh topografi (landskap), sumber asli (geologi dan biologi) dan kelainan habitat di daerah tertentu.

Oleh itu, geotapak terutamanya landskap geologi berpandangan indah adalah sumber baharu produk geopelancongan untuk masa depan industri pelancongan. Pada masa ini, ia digunakan secara terhad dan integritinya kurang diberikan perhatian. Landskap geologi hanya digunakan sebagai sumber inspirasi, rekreasi lasak seperti memanjat tebing curam, mendaki gunung dan menghilir jeram, serta berkelah di kawasan air terjun dan pantai. Misteri landskap geologi, kurang diketahui dan tidak pernah diserlahkan. Geopelancongan memperkenalkan entiti geotapak secara holistik, menceritakan sejarah Bumi sejak ratusan juta tahun lampau, menyajikan nilai warisan alami dan budaya secara terintegrasi, menjadi sumber pendidikan mengenai intigriti alam sekitar dan bencana alam, dan menjelaskan kebergantungan manusia dengan perkhidmatan ekosistem.

Pada tahun 2015, atas permintaan negara ahli, UNESCO telah mengangkat agenda geopark menjadi sebuah program penuh dan dikenali UNESCO Global Geoparks (UGGp). Pada tahun 2020, dunia telah memiliki 161 UGGp di 43 negara, dan banyak negara sedang menunggu giliran untuk menjadi keluarga geopark global ini. Sedihnya, negara jiran yang satu ketika dahulu belajar mengenai geopark dari Langkawi telah berlari jauh meninggalkan kita. Jepun sudah mempunyai 9 global geopark, Indonesia memiliki 5, Korea dan Vietnam masing-masing 3 dan Thailand baharu sahaja meraikan global geopark sulungnya. Malaysia masih satu, Langkawi UGGp dan belum ada tanda-tanda kelahiran global geopark kedua.

Tiga kekangan utama yang menyebabkan kita mulai ditinggalkan ke belakang oleh negara jiran adalah seperti berikut.

Pertama, nama geopark atau taman bumi membawa bersamanya fahaman tradisi, taman bermaksud ‘kawasan pemuliharaan’. Kerajaan negeri pada umumnya kurang mengemari idea kawasan permuliharaan sumber asli kerana beranggapan, sudah kehilangan keupayaan untuk dibangunkan jika diperlukan. Geopark bukan kawasan pemuliharaan, sebaliknya ialah kawasan pembangunan untuk meraikan warisan dan meningkatkan peluang ekonomi komuniti setempat. Geopark menghormati semua perundangan dan peraturan pembangunan sesebuah negeri atau negara, apa yang diharapkan ialah perlaksanaan yang mengambilkira ‘pembangunan wilayah secara lestari’.

Kedua, oleh kerana agenda geopark diterajui oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan berasaskan respons kepada gerakan global anjuran UNESCO, kerajaan negeri lazimnya curiga, apakah ada udang di sebalik batu? Apakah ini satu lagi strategi kawalan pembangunan sumber asli oleh kerajaan Persekutuan? Geopark ialah agenda ‘bawah – atas’. Semua pembangunan geopark, didorong atas kehendak komuniti dan pemimpin komuniti yang mahukan daerahnya dibangunkan dan masyarakat mendapat manfaatnya. Tidak mungkin wujud geopark, jika bukan atas kehendak komuniti tempatan. Sekumpulan ahli sains melalui kumpulan Warisan Geologi Malaysia, hanya memberikan bantuan teknikal untuk menjayakan program berpotensi tinggi ini, sementara kerajaan Persekutuan hanya menjadi pemudah cara dan penjaring bagi mendapatkan status berkualiti UNESCO.

Ketiga, berbeza dengan banyak negara jiran seperti Jepun, Korea dan Indonesia, pemimpin daerah di Malaysia adalah lantikan oleh kerajaan negeri. Oleh itu, mereka lebih memberikan tumpuan kepada usaha melaksana agenda pembangunan negeri yang diamanahkan untuk sesuatu daerah. Di Indonesia umpamanya, hampir semua Governor (ketua Provinsi) dan Bupati (ketua Kabupatin) bersungguh-sungguh mahukan geopark di provinsi atau kabupatin mereka. Ini adalah desakan komuniti yang mahukan pembangunan, dan peluang pemimpin untuk mengekalkan kedudukan mereka. Di Malaysia, tanpa mendapat restu dari kerajaan negeri, wawasan pembangunan lestari wilayah melalui geopark sukar dilaksanakan.

Malaysia menerajui wawasan geopark di Asia Pasifik, sementara Langkawi UNESCO Global Geopark menjadi pusat rujukan kebanyakan negara yang berhasrat membangun geopark. Kini kita ketinggalan, sementara semua negara jiran telah maju ke hadapan. Saya merayu kepada pemimpin negeri, berilah pertimbangan yang seksama kepada wawasan berinovasi ini, demi memajukan ekonomi komuniti miskin di luar bandar.

Ibrahim Komoo, Prof Emeritus Dato Dr Felo Utama, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), UKM; merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan; Penasihat, Langkawi UNESCO Global Geopark; dan Naib Presiden, Jaringan Geopark Global (GGN). 19 Feb 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s