Ilmuwan Pengerak Komuniti Berbudaya Tinggi


1. Ketika dunia berhadapan dengan serangan makhluk halus iaitu novel virus Corona (mengikut WHO dan CDC dinamakan virus SARS-CoV-2) (penyakitnya dikenali Covid-19), kita dapat perhatikan betapa rapuhnya nilai kemasyarakatan dan pembinaan komuniti berbudaya tinggi negara. 

2. Sejak tercetus dan merebaknya epidemik di Wuhan, China akhir tahun 2019, respons kerajaan dan masyarakat di Malaysia amat terhad, seperti tiada yang perlu dirisaukan atau kita tidak mungkin diserang Covid-19.

3. Apabila Covid-19 mengancam Korea dan Jepun, selepas itu begerak pula ke Iran dan Itali, masyarakat Malaysia masih lagi beranggapan kita masih selamat dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa. 

4. Apabila aktiviti pelancongan mulai terjejas, para pemain industri negara masih memikirkan kita harus benarkan kedatangan pelancong dari China. Kerisauan lebih tertumpu kepada industri pelancongan yang mulai merundum.

5. Ketika negara China, Jepun dan Korea sedang berperang dengan Covid-19, kita juga berperang dengan peralihan kuasa politik. Dengan keadaan yang tidak menentu, kepimpinan kerajaan bertukar tangan.

 6. Sepanjang dua minggu, masyarakat dibuaikan dengan pelbagai agenda politik seolah-olah tidak ada lain yang lebih penting, kecuali kuasa politik. Usaha mencegah serangan Covid-19 terus terabai.

7. Ketika seluruh dunia mulai terancam, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Pandemik Coronavirus, orang ramai masih mengharapkan ia tidak melibatkan negara kita.

8. Hanya selepas perhimpunan 15,000 Ijtimak Tabligh di Selangor disahkan menjadi epipusat gelombang kedua Covid-19, barulah pihak pemerintah mulai bimbang dan mengatur tindakan kawalan yang serius. 

9. YAB Perdana Menteri mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa dari 18 hingga 31 Mac 2020. Maka bermulalah keadaan panik dan suasana bercelaru dalam kalangan masyarakat awam.

10. Anehnya, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan, keadaan agak huru hara. Ramai menyerbu pasaraya membeli keperluan makanan untuk keluarga. Tidak kurang yang berpusu di perhentian bus untuk pulang ke kampung.

11. Dalam keadaan tidak menentu, semua pelajar universiti diminta pulang ke kampung. Konsep ‘penjarakan sosial’ yang disarankan menjadi pergerakan tidak terkawal.

12. Tindakan puluhan ribu pelajar universiti pulang ke kampung tanpa kawalan adalah tindakan bercanggah fungsi penjarakan sosial. Mereka sepatutnya terus tinggal di asrama dengan sokongan berterusan dan garis panduan kawalan yang jelas.

13. Jika universiti perlu mengurus untuk menghantar mereka pulang ke kampung, tindakan berhati-hati perlu diambil. Umpamanya dengan memastikan saringan kesihatan dilakukan terlebih dahulu dan sistem pengangkutan khusus disediakan.

14. Saya huraikan turutan peristiwa dan tindakan sepontan pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat bagi menjelaskan status pemikiran, pertimbangan prioriti dan sistem nilai yang terbina dalam masyarakat kita selama ini.

15. Pemimpin negara, termasuk pemimpin ilmu perlu memikirkan semula kesesuaian dasar sedia ada dan halatuju pembangunan negara yang jelas memberikan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi berbanding isu strategik negara dan kebajikan masyarakat.

16. Dalam kebanyakan hal, kelemahan paling ketara ialah situasi keterbatasan pemimpin agung yang berupaya mempengaruhi pemikiran masyarakat mengenai kepentingan kenegaraan.

17. Kebanyakan tindakan bersifat ad hoc dan bukan keputusan bermaklum hanya akan memburukkan keadaan. Suara ilmuwan juga di pandang sepi, dan maklumat dari media massa maya menjadi sandaran utama masyarakat.

18. Berhadapan dengan serangan Covid-19, beberapa kenyataan pencegahan dibuat oleh pakar perubatan sejak awal wabak kurang diberikan perhatian. Saranan mengenai ‘penjarakan sosial’ bagi meratakan graf jumlah jangkitan tidak diendahkan. 

19. Apabila kerajaan mengambil tindakan Perintah Kawalan Pergerakan, pada hari pertama hanya 60% sahaja yang mematuhi arahan. Masih ramai yang tidak faham apa maksud perintah ini, dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk balik kampung.

20. Jelasnya, negara perlu mengambil pengajaran daripada bencana atau pandemik Covid-19 ini. Pemikiran baharu berkaitan prioriti pembangunan negara perlu diterajui oleh pemimpin ilmuwan yang berada di universiti dan pusat penyelidikan. 

21. Lihat sahaja apabila pandemik ini berlaku, hampir semua institusi awam mengalami tekanan. Sistem kesihatan yang kekurangan katil, peralatan dan doktor bakal menjadi punca kegagalan tindakan kawalan dan penyebab utama kematian. 

22. Mengurangkan peruntukan perkhidmatan awam, khususnya sektor kesihatan, pendidikan awam, penyelidikan dan kebajikan adalah kelemahan paling ketara dalam dasar sedia ada.

23. Mengembalikan sistem nilai murni dan jatidiri kebangsaan memerlukan kepemimpinan ilmuwan yang peka terhadap nasib rakyat dan bersedia berkongsi ilmu dengan pelbagai pihak berkepentingan.

24. Pemimpin universiti, khususnya Universiti Awam perlu berani menongkah arus bagi melaksanakan dasar baharu yang menguntungkan masyarakat awam.

25. Universiti perlu melihat kembali pendekatan program pengajian sedia ada, dan memberikan perhatian kepada kepincangan semasa. Universiti bukan sekadar menghasilkan modal insan mahir, tetapi insan berilmu, pengamal nilai murni dan berfikir untuk kepentingan bermasyarakat.

26. Bagi ahli akademik, tumpuan berlebihan kepada ‘ilmu untuk ilmu’ perlu dicairkan. Pemimpin Ilmuwan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi, bertindak sebagai intelek awam, menyampaikan ilmu dan pengalaman bagi kepentingan awam.

27. Serangan Covid-19 memberi pengajaran berguna kepada warga. Ayuh kita bina negara bermasyarakat madani, dan warga yang cintakan negara serta berjatidiri kebangsaan. 

28. Pemimpin pula perlu berjiwa besar dan sentiasa memikirkan urusan kebajikan rakyat terbanyak. Syabas, bibit begini terserlah dalam YAB Perdana Menteri terkini.


IBK, 26 Mac 2020.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s