Covid-19 dan Modal Insan


1. Ketika dunia diserang Covid-19 dan kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan, banyak yang boleh kita pelajari mengenai kekuatan dan kepincangan pentadbiran negara.

2. Modal insan yang dianggap kurang penting dalam pengurusan impak Covid-19, diminta duduk dan bekerja dari rumah. Ini meliputi pegawai kerajaan, pekerja swasta, pekerja kontrak dan pekerja sendiri.

3. Respons mereka pelbagai, ada yang boleh menyesuaikan diri dengan pantas dan bekerja seperti biasa, ada yang perlu memikirkan apa yang boleh dilakukan dari rumah, dan ramai juga yang hanya duduk berehat kerana tiada apa yang dapat dilakukan dari rumah.

4. Satu ketika dahulu terdapat gerakan untuk memperkenalkan pendekatan bekerja dari rumah bagi mengatasi beberapa isu sosial, khususnya bagi wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak kecil. 

5. Bagi sebahagian daripada pekerjaan dan perniagaan usaha begini berjaya dan disambut dengan baik. Begitupun, bagi kebanyakan sektor lain bekerja dari rumah tidak produktif dan kurang sesuai.

6. Serangan Covid-19 membolehkan kita menilai kembali idea ini, dan jika perlu diperkenalkan semula cara manusia bekerja daripada perspektif yang lebih berstrategi.

7. Saya melihat konsep modal insan dalam pembangunan negara boleh dibahagikan kepada empat golongan iaitu: a) modal pemikir aras tinggi (pakar); b) modal kemahiran aras tinggi (spesialis); c) gabungan pemikiran dan kemahiran (pentadbiran dan pengurusan); dan d) berkemahiran rendah dan menggunakan tenaga fizikal (buruh). 

8. Konsep ini perlu dikembangkan dalam pelbagai sektor, sama ada sebagai pekerja awam atau swasta, sekitaran pekerjaan pelbagai dan situasi pembangunan berbeza.

9. Golongan pemikir aras tinggi iaitu pakar bidang ilmu (ilmuwan), sarjana, intelek dan lazimnya bekerja di institusi pengajian tinggi atau pusat penyelidikan.

10. Kelompok ini bukan sahaja ahli Sains atau Sains Kemasyarakat, tetapi meliputi pelbagai bidang ilmu seperti Kejuruteraan, Perubatan,dan semua bidang teknikal lain yang diperlukan dalam pembangunan ilmu. 

11. Mereka pada prinsipnya adalah guru kepada bakal modal insan kemahiran aras tinggi dan kelompok gabungan pemikiran dan kemahiran.

12. Mereka juga adalah penyelidik yang menjana ilmu baharu dan mempengaruhi pemikiran dalam menentukan halatuju pembangunan negara. Kelompok ini perlu bekerja di makmal khas, pusat pengajian (ketika berinteraksi dengan pelajar), dan di perpustakaan.

13. Golongan berkemahiran aras tinggi pula adalah modal insan yang telah mengasah bakat dalam sesuatu kerja khas sehingga kemahiran melakukan atau menghasilkan sesuatu pada tahap cemerlang atau terbaik.

14. Kumpulan ini berkait rapat dengan urusan doktor pakar, jurutera pencipta (inventor), ahli seni tersohor, ahli sukan dan pelbagai sektor penghasilan berinovasi.

15. Selain daripada kemahiran tersendiri, kelompok ini perlu mempunyai ruang dan peralatan khas bagi menjalankan urusan masing-masing.

16. Sebahagian besar inovasi melibatkan ruang khas dengan peralatan canggih, tetapi sebahagian yang lain pula melibatkan ruang bekerja yang sederhana dan boleh disediakan di rumah. 

17. Modal insan gabungan melibatkan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya sebagai pentadbir dan pengurus dalam pelbagai sektor pembangunan negara lazimnya perlu bekerja di pejabat, tapak industri dan perladangan.

18. Bagi mereka, tanpa ke tempat kerja sebahagian besar daripada tugasnya tidak dapat dijalankan.

19. Sekiranya mereka diminta duduk di rumah, hanya sebahagian kerja sahaja dapat dilakukan di rumah menyebabkan keberkesanan hasilan terhad.

20. Kelompok keempat ialah mereka yang bekerja dengan kudrat dan hanya memerlukan kemahiran rendah, khususnya pekerja kilang dan ladang pertanian. Duduk di rumah bererti  mereka tidak mampu menjalankan tugasnya.

21. Tujuan saya menghuraikan kepelbagaian cirian modal insan, daripada mereka yang sepenuhnya menggunakan kepakaran, bekerja dengan berkemahiran tinggi atau menggunakan khudrat, semuanya adalah modal insan penting bagi membangun negara.

22. Kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan memberi implikasi berbeza antara satu golongan dan golongan yang lain.

23.  Kerajaan perlu melihat fenomena ini secara serius dan membuat intervensi dasar secara berbeza bagi memanfaatkan kepelbagaian keupayaan.

24.  Dengan memberikan perhatian kepada isu keselamatan awam, negara masih boleh mengurus modal insan secara lebih berkesan walaupun dalam situasi mencabar atau sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

25. Pemikiran pembangunan skim modal insan negara selama ini berpandukan kepada kelulusan akademik. Walaupan ia bersesuaian untuk golongan pentadbiran dan pengurusan, ia tidak dapat mengatasi kepelbagaian tinggi daripada perspektif kepakaran, kemahiran dan risiko. 

26. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan beberapa sektor pekerjaan yang dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan, ia masih berkisar kepada keperluan terdesak atau kritikal. Dalam satu sektor kritikal sekalipun, ada yang boleh bekerja dari rumah dan ada yang perlu ke kilang!

27. Saya syorkan Jabatan Perkhidmatan Awam, Pengurus Sumber Manusia agensi swasta, serta institusi pendidikan dan kemahiran melihat kembali kelainan skim pekerjaan daripada pelbagai perspektif. 

28. Kepelbagaian modal insan juga perlu dilihat dalam konteks cabaran sekitaran bekerja, kepakaran dan kemahiran yang diperlukan, serta kepentingan fungsinya. Isu bencana, pandemik dan risiko semasa bekerja juga perlu diberikan perhatian tinggi.


IBK, 10 April 2030.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s