Geopark dan Pasca Covid-19

Kilim Kars Geoforest Park, Langkawi UGGp

1. Malaysia mempunyai sebuah UNESCO Global Geopark, dua buah Geopark Kebangsaan, empat buah geopark yang sedang menunggu kelulusan/ penilaian menjadi geopark kebangsaan, dan beberapa lagi dalam proses pembangunan.

2. Di peringkat global, 25 wilayah diikhtiraf sebagai global geopark bermula pada tahun 2004, sementara Langkawi menjadi Global Geopark pada tahun 2007. Kini dunia memiliki 147 geopark global dan lebih 500 geopark bertaraf kebangsaan.

3. Walaupun, program global geopark ini telah di pelopori oleh UNESCO sejak 20 tahun lalu, masih belum ramai yang tidak  mengetahui  mengenai program ini. Di Malaysia masih ramai yang bertanya, apa itu Geopark?

4. Ringkasnya, geopark ialah sebuah wilayah, umumnya di daerah luar bandar yang memiliki warisan alam istimewa, perlu diurus secara holistik bagi memastikan sumber warisan unggul terpulihara, komuniti setempat disejahterakan, dan peluang pembangunan ekonomi ditingkatkan.

5. Luas wilayah geopark boleh pelbagai, bergantung kepada interaksi manusia dan alam. Ia bokeh bersaiz dari ratusan hingga puluhan ribu kilometer persegi.

6. Usaha membangun wilayah sebagai sebuah geopark dan komitmen komuniti setempat menjayakan aktiviti geopark ialah maksud sebenar tindakan pembangunan lestari wilayah.

7. Keseluruhan Langkawi ialah UNESCO Global Geopark. Ia meliputi 99 gugusan pulau, kawasan pembangunan, pertempatan dan pertanian. Penduduk tetapnya dikenali sebagai ‘geoparkian’, nama yang diperkenalkan oleh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Padang Matsirat. 

8. Penamaan ini membawa maksud, mereka adalah khalifah yang bertanggungjawab menjaga warisan alam dan memperoleh peluang ekonomi daripada pembangunan warisan ini. 

9. Di Langkawi, batu-batan dan landskap Gunung Machinchang, Kilim dan Dayang Bunting merupakan warisan alam bernilai antarabangsa. Landskap, kepelbagaian biologi dan budaya komuniti setempat adalah warisan terintegrasi lambang keunggulan Langkawi dan menjadi daya tarikan utama pelancong.

10. Sebelum pandemik Covid-19 menyerang Malaysia dan masyarakat dunia, Langkawi telah menjadi destinasi pelancong antarabangsa utama negara.

11. Sebaik sahaja Langkawi diisytihar sebagai UNESCO Global Geopark iaitu jenama pelancongan berkualiti antarabangsa, kedatangan pelancong ke pulau ini meningkat dengan ketara. Sejak lima tahun terakhir ini, Langkawi menerima lebih 3.5 juta pelancong, dan sekitar 50% daripadanya adalah pelancong antarabangsa.

12. Sebaik sahaja Covid-19 melanda dunia, kedatangan pelancong antarabangsa merundum, resort dan hotel lengang, pelabur, pemain industri pelancongan terkesan dengan teruk, ekonomi penduduk tempatan berkurangan. 

13. Apakan ini fenomena bersifat sementara atau bakal berlarutan pada suatu jangka masa panjang?

14. Serangan pandemik Covid-19 bakal meninggalkan kesan yang mendalam. Sukar bagi Langkawi kembali kepada ‘perniagaan seperti biasa’, telah mula muncul pelbagai normal baharu daripada kalangan masyarakat dan pelancong.

15. Mereka akan lebih berhati-hati dalam merancang destinasi pelancongan pasca Covid-19. Dua perkara penting yang bakal menjadi amalan asas pelancong ialah mengutamakan kebersihan dan penjarakan sosial. 

16. Tempat penginapan, tapak lawatan dan sistem perkhidmatan perlu mengutamakan kebersihan dan menunjukkan kebersihan diutamakan.

17. Sementara produk pelancongan massa, di mana pengunjung bersesak-sesak dan menunggu lama, mungkin tidak lagi digemari.

18. Ringkasnya, Langkawi perlu memikirkan dengan serius amalan pelancongan lestari (sustainable tourism).

19. Langkawi dan ratusan UNESCO Global Geopark lain di seluruh dunia perlu melihat kembali wawasan dan hasrat sebenar pewujudan geopark.

20. Geopark sebetulnya bukan tempat ‘pelancongan massa’ atau ukuran kejayaan ialah banyaknya pengunjung setiap tahun atau jumlah pendapatan keseluruhan.

21. Geopark memberikan perhatian kepada tiga unsur utama bagi sesebuah wilayah yang memiliki khazanah alam istimewa: pemuliharaan warisan unggul, pelancongan berasas ilmu, dan manfaat kepada komuniti setempat.

22. Benar, Langkawi mempunyai kawasan Hutan Simpan Kekal yang luas dan dipulihara oleh Jabatan Perhutanan negeri sebagai sumber hutan negara.

23. Di dalam dan di luar kawasan hutan, Langkawi memiliki banyak tapak warisan geologi, biologi dan budaya bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. 

24. Semua warisan unggul ini perlu dipelihara dan pulihara bersesuaian dengan tarafnya. Melalui idea geopark, ahli sains telah mengenalpasti lebih 30 tapak warisan tabii yang perlu dipulihara.

25. Sebahagian daripada tapak ini sesuai dibangunkan sebagai produk pelancongan ilmu.

26. Jika kita prihatin, semua geotapak dan biotapak ini memerlukan pelan pemuliharaan dan pembangunan tersendiri.

27. Berdasarkan pelan pembangunan terintegrasi, pastinya kita berupaya memelihara warisan, menyediakan produk pelancongan ilmu, dan menggerakkan komuniti setempat bagi memulihara dan meraih faedahnya.

28. Pelancongan berasaskan ilmu berbeza dengan pelancongan massa. Kita membangun produk secara berfokus, mengangkat serta menjelaskan fenomena alam yang menghasilkan landskap berpandangan indah, sejarah bumi, keunikan dan kepelbagaian biologi, serta hubungan budaya dan alam.

29. Komuniti setempat dididik untuk menjadi pemandu dan menyampaikan cerita alam kepada para pelancong. Pelancongan ilmu atau geopelancongan ini bukan sahaja boleh diusahakan dengan mengamalkan kebersihan dan penjarakan sosial, tetapi bermatlamat mendidik pelancong menghormati alam dan budaya masyarakat setempat. 

30. Kita tidak memerlukan ramai pelancong untuk mendapatkan faedah ekonomi yang lumayan.

31. Geopark berhasrat meningkatkan sumber pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti geopelancongan. Pembangunan Langkawi sebagai destinasi pelancongan selama ini memberikan perhatian kepada pelaburan dari luar dan penduduk tempatan hanya sekadar sebagai pekerja.

32. Dasar ini perlu dilihat kembali dan disesuaikan dengan wawasan pembangunan lestari wilayah. Penduduk setempat perlu diberikan peluang utama dalam perniagaan pelancongan, sekurang-kurangnya sebagai rakan kongsi aktif. 

33. Lebih penting lagi, kesejahteraan dan keselesaan penduduk tempatan perlu diutamakan. Ini meliputi meningkatkan kualiti kawasan perkampungan, prasarana asas, sistem kesihatan dan perkhidmatan, serta memulihara budaya dan tradisi watan. 

34. Geopark menekankan peri pentingnya kebajikan komuniti tempatan dan budayanya terus diperkasa.

35. Banyak yang telah berubah di Langkawi, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Pelancongan massa membawa lebih banyak keburukan, khususnya kebersihan dan kualiti alam sekitar. 

36. Kebergantungan daripada pelancong luar, khususnya negara China ternyata kurang lestari. Keperluan yang melampau menyebabkan sawah padi bertukar wajah menjadi resort dan kawasan perumahan, aktiviti tradisi seperti nelayan dan petani mulai ditinggalkan, dan lebih buruk lagi ramai anak muda terlibat dengan gejala sosial. 

37. Dasar pelancongan pasca Covid-19 perlu memberikan perhatian kepada normal baharu pelancong, kesejahteraan komuniti setempat dan kelestarian ekonomi.


IBK, 15 April 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s