Pelancongan Pasca Covid-19

Geotapak Puncak Machinchang, Langkawi UGGp

1. Keadaan tidak akan kembali seperti sedia kala. Normal lama sudah berakhir. Walaupun rantaian jangkitan sudah boleh diputuskan untuk beberapa bulan lagi, keadaan masih tidak stabil sekiranya belum ada penawar yang mujarab.

2. Banyak negara akan berhati-hati untuk membuka pintu masuk kepada warga asing, sementara masyarakat dunia pula akan sentiasa curiga apabila merancang perjalanan ke luar negara. Industri pelancongan perlu bersedia dengan normal baharu ini.

3. Dalam masa terdekat mungkin penerbangan dalam negara akan mula beroperasi. Penerbangan antarabangsa akan mengambil masa lebih lama untuk menyambung perkhidmatannya.

4. Kalaupun, perjalanan keluar negara sudah mula dibenarkan, masyarakat akan memilih hanya perjalanan untuk tugas rasmi sahaja. Perjalanan untuk melancong mungkin aktiviti terakhir dilakukan.

5. Saya menduga tahun 2020-2021 bukan tahun pelancongan antarabangsa. Jika ada pelancong pun, jumlahnya sangat terhad. Dua tahun tanpa kedatangan pelancong bukan satu masa yang singkat. 

6. Pemain industri pelancongan yang mengharapkan kedatangan pelancong antarabangsa seperti keadaan sebelum Covid-19, akan kecewa dan besar kemungkinan akan tutup kedai.

7. Mengambil contoh industri pelancongan di Langkawi UNESCO Global Geopark, sejak beberapa tahun terakhir telah, ia menerima lebih 3.5 juta pelancong setahun, dan lebih daripada 50% adalah pelancong antarabangsa. 

8. Saya difahamkan, pada bulan Mac 2020 ketika hampir semua negara menutup pintu masuknya dari warga asing, kedatangan pelancong jatuh lebih 135%. Situasi yang sama akan berlaku pada bulan-bulan berikutnya. 

9. Industri pelancongan Langkawi merundum, banyak pemain pelancongan sedang mengalami kerugian, dan kemungkinan besar ramai yang bakal gulung tikar.

10.  Pelancongan di Langkawi perlu segera berinovasi, memikirkan dan melaksanakan normal (kebiasaan) baharu dalam menyediakan perkhidmatan, sementara agensi pelancongan negara perlu membantu mereka mengharungi cabaran gertis ini.

11. Saya teringat ketika dijemput untuk menasihat dan menilai beberapa geopark di Jepun dalam beberapa tahun terakhir ini. Antara UNESCO Global Geopark yang dikunjungi ialah San’in Kaigan, Unzen, Aso, Oki Islands, Itoigawa dan Izu Paninsula. 

12. Beberapa cirian utama ialah mereka membina strategi bagi ‘pelancongan domestik’. Tumpuan diberikan kepada kelainan landskap berpandangan indah (geologi), budaya dan makanan khas setempat.

13. Semua geopark ini bergantung kepada kedatangan lebih 90% pelancong dari negeri sendiri. Strategi untuk menjadi geopark global ialah untuk meningkatkan kedatangan pelancong asing sehingga 20%.

14. Mereka sedar, kelestarian pelancongan, khususnya geopelancongan terletak kepada kedatangan pelancong domestik.

15. Industri pelancongan di Eropah pula telah berkembang lama dan mereka amat menyedari isu kesensitifan kedatangan pelancongan.

16. Pelancongan wilayah luar bandar banyak bergantung kepada keunikan landskap (geologi), monumen tinggalan sejarah dan kawasan rekreasi khas.

17. Mereka lebih mengharapkan pelancong dari daerahnya, diikuti pelancong domestik (negara) dan akhirnya pelancong antarabangsa.

18. Musim juga memainkan peranan dalam industri pelancongan. Ada kawasan yang bergantung kepada pelancongan musim panas, ada pula yang bergantung kepada pelancongan musim sejuk.

19. Dalam konteks ini, mereka amat bersedia untuk beroperasi selama 6 bulan bagi meraih pendapatan tahunan.

20. Pelancongan pasca Covid-19 di Malaysia perlu mengambil pengajaran mengenai ketidaktentuan kedatangan pelancong antarabangsa dan kawalan pergerakan pasca Covid-19. 

21. Isu mengenai keselamatan dan kesihatan awam, kebersihan dan penjarakan sosial akan bertahan lama.

22. Pengajaran dari Jepun dan Eropah elok dihayati. Lebih cepat kita berubah, lebih berupaya kita menyelamatkan industri pelancongan daripada runtuh.

23. Pada masa sama, kita mampu mewujudkan peluang baharu yang lebih berdaya saing dan lestari.

24. Anjakan pertama, beri tumpuan kepada pelancongan domestik atau pelancongan negara jiran berbahasa serumpun. Anggap kelompok ini setaraf dengan pelancong antarabangsa. 

25. Berikan layanan, kemudahan dan perkhidmatan sama seperti kita melayan Mat Salleh atau Pak Arab.

26. Pengalaman saya berkecimpung dengan industri pelancongan di Langkawi menunjukkan, perkhidmatan pelancongan kita membezakan antara pelancong domestik dan antarabangan. 

27. Ini diburukkan lagi dengan kecenderungan berlebihan memikirkan soal keuntungan jangka pendek berbanding memberi perkhidmatan berkualiti.

28. Pelancongan domestik kurang dipengaruhi oleh faktor luaran, lebih lestari, dan boleh dijadikan asas penilaian kestabilan ekonomi perniagaan.

29. Anjakan kedua ialah membangun produk pelancongan yang mantap, mempunyai kelainan tersendiri dan lazimnya dikaitkan dengan landskap budaya atau tabii setempat.

30. Produk perlu mempunyai daya tarikan utama, dan disokong oleh rantaian nilai seperti rekreasi, budaya, tradisi, kulinari dan produk pertanian tempatan.

31. Pendekatan perlu bersifat rekreasi, berpengalaman dan pendidikan awam. Pembangunan kemudahan pelancongan perlu mengambilkira kepentingan komuniti tempatan dan kepuasan para pelancong. 

32. Daya tarikan pelancong seeloknya berkait rapat dengan kepercayaan, tradisi dan amalan yang masih aktif di sesuatu daerah. Pelancongan keluarga mempunyai potensi yang besar, tetapi masih kurang dimanfaatkan.

33. Sejak 2015, kami telah membantu pembangunan beberapa wilayah istimewa berasaskan wawasan Geopark Kebangsaan. Geopark memperkenalkan warisan landskap tabii dan budaya secara bersepadu, serta mengerakkan komuniti tempatan untuk mengurus dan meraih pendapatan.

34. Pada tahun 2017, dua Geopark Kebangsaan telah diisytihar iaitu Gunung Jerai dan Lembah Kinta. Tahun ini kami mengharapkan Mersing dan Kinabalu direstui oleh kerajaan negeri.

35. Untuk beberapa tahun akan datang, wilayah seperti Sarawak Delta, Miri, Labuan, Sempurna, Gunung Stong, Utara Perlis, Lenggong dan Merapuh mampu dibangunkan sebagai geopark.

36. Pelancongan domestik, pelancongan keluarga, pelancongan ilmu, aktiviti rekreasi sambil berpengalaman dan belajar, menyerlah keindahan dan keunikan landskap tempatan adalah halatuju baharu pelancongan pasca Covid-19.

37. Tumpuan perlu diberikan kepada prasarana dan perkhidmatan berkualiti, serta amalan yang mengutamakan kelestarian, kebersihan dan penjarakan sosial.

IBK:1 Mei 2020.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s