Sambutan Jubli Emas UKM

1. Tarikh 18 Mei 1970 merupakan tarikh keramat bagi bangsa majoriti Malaysia. Tarikh tersebut ialah hari pertama 192 pelajar kumpulan pertama, datang dari seluruh ceruk kampung mendaftar di kampus sementara di Jalan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

2. Saat itu, perjuangan bangsa Melayu sejak sebelum merdeka terkabul, Universiti Kebangsaan Malaysia atau ringkasnya UKM dilahirkan. Ini adalah perjuangan murni untuk mendaulatkan budaya dan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi kebangsaan.

3. UKM adalah mimpi menjadi kenyataan dalam meletakkan bahasa Melayu di puncak menara gading. Pada 18 Mei 2020, seluruh warga dan almuni UKM merayakan Jubli Emas, iaitu 50 tahun lahirnya institusi istimewa ini.

4. Saya dijemput bersama-sama beberapa rakan lama Dato’ Sri Syed Arabi (Pendaftar pertama); Dato’ Mohamad Abdul Razak (pelajar Fakulti Perubatan terawal); dan Datin Paduka Jawiah Dakir (pelajar Fakulti Islam pertama mendapat ijazah PhD) untuk menyampaikan pandangan kami dalam Bicara Jubli Emas UKM yang dianjurkan secara maya.

5. Lama juga saya memikirkan apakah yang paling sesuai disampaikan salam suasana gilang gemilang begini. Sejarah dan pencapaian selama ini elok dikongsi bersama, tetapi lebih penting lagi, apa yang dapat dilakukan untuk 50 tahun akan datang.

6. Saya bersama UKM selama 48 tahun iaitu sejak menjadi pelajar hingga kini sebagai Felo Penyelidik Utama di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan.

7. Banyak kenangan manis yang boleh dikongsikan dalam majlis ini, tetapi memilih tiga yang boleh membawa pengajaran. Pertama, ketika belajar bidang Geologi (1972-76), kami diajar oleh sekumpulan pensyarah yang dipinjam dari Indonesia, beberapa pensyarah muda lepasan UM dan Peace Corps dari Amerika.

8. Perkara paling saya kagumi ketika itu ialah walaupun semua rujukan dalam bahasa Inggeris, mereka mengajar 100% dalam bahasa Melayu. Saya merasakan tiada cacat cela bahasa kita untuk pendidikan tinggi.

9. Malahan sejak itu, UKM telah membuktikan bahasa Melayu ialah bahasa ilmu tinggi, sama seperti bahasa besar lain seperti Inggeris, Jerman, Prancis dan Jepun.

10, Malangnya, selepas 50 tahun UKM membuktikan kedudukannya, mengapa masih ada pemimpin politik yang meragui keupayaan bahasa ibundanya sendiri?

11. Kedua ialah ketika saya dihantar ke Strathclyde University di Glasgow untuk pengajian pasca-siswazah. Ini adalah peristiwa amat mendebarkan, apakah seorang pelajar UKM yang belajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu berupaya mengharungi cabaran ini?

12. Saya diselia oleh Devid Jenkins, seorang profesor terkenal dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan dan beliau meminta saya menyelesaikan isu mekanik penggerudian sebagai tajuk penyelidikan. Berdasarkan prestasi awal, saya diminta untuk mengubah pengajian daripada MSc kepada PhD, dan dalam tempoh 30 bulan berjaya memperolehi ijazah PhD.

13. Pengalaman ini membuktikan, semua pelajar UKM boleh menyelesaikan pengajian pasca-siswazah di universiti terkemuka jika mempunyai keyakinan tinggi. Kini telah terbukti, apabila ramai pelajar UKM telah memperolehi ijazah tertinggi dari universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Cambridge dan Harvard.

14. Ketiga, satu peristiwa kecil tetapi amat bermakna ialah ketika menjadi pensyarah muda di UKM, saya dikunjungi oleh Prof Paul Marinos dari Greece, seorang profesor ulung dalam bidang saya iaitu Geologi Kejuruteraan.

15. Beliau mencadangkan supaya saya membentuk cawangan International Association for Engineering Geology di Malaysia, beliau adalah Presidennya ketika itu. Saya menyahut cabaran ini dan mengadakan beberapa program di peringkat serantau.

16. Tiga tahun berikutnya saya dilantik menjadi Naib Presiden (Asia) dalam pertubuhan akademik yang berprestij ini. Sejak itu, saya yakin, kefasihan bahasa Inggeris bukan ukuran penting dalam dunia akademik.

17. Ahli akademik yang dihormati ialah mereka yang cemerlang mindanya, beretika akademik tinggi dan menyintai ilmu. Bahasa hanya media menyampaikan ilmu dan pemikiran secara berkesan.

18. UKM tidak harus terbelenggu dengan pencapaian semasa iaitu sebuah universiti berwibawa dan dikenali di rantau ini. UKM perlu menuju kecemerlangan dan keunggulan dalam tempuh 50 tahun akan datang.

19. Prasyarat untuk wawasan ini ialah Pemimpin Tertinggi yang berwibawa dan berjatidiri kebangsaan, serta amalan tradisi akademik cemerlang.

20. Dalam era globalisasi ini, membangun seperti kebanyakan universiti lain bukan opsyen yang bijak. UKM perlu menerajui dan bukan mengikuti, oleh ini penting untuk mencari dan memperkasa kelainan.

21. Satu daripada kelainan yang sedia ada dan menjadi falsafah pembangunan ialah Sistem Pendidikan Tinggi Kebangsaan. Isunya, bagaimana ia boleh diangkat menjadi kelainan luar biasa?

22. Bolehkah UKM melahirkan berjatidiri kebangsaan, tetapi berkeupayaan multi-bahasa.

23. Persoalan global dan tempatan bersifat kompleks dan memerlukan penyelesaian multi-disiplin, kebanyakan universiti masih mempertahankan tradisi, mendidik dan menyelidik dalam sekitaran ilmu bersifat mono-disiplin atau penyelesaian berasas sektor.

24. Mengambil contoh bencana tanah runtuh, pengetahuan sains geologi diperlukan untuk memahami mekanisme kegagalan; kestabilan cerum memerlukan ilmu kejuruteraan; impak kepada ekonomi dan masyaraskat memerlukan pengetahuan sains sosial.

25. Oleh itu, UKM perlu berani menongkah arus menerajui pemikiran ke hadapan dengan memperkenalkan program pengajian bersifat multi-disiplin dan penyelidikan secara terintegrasi yang mampu menyelesaikan masalah negara dan sejagat.

26. Idea universiti untuk masyarakat sudah lama diperkenalkan. Konsep peranan ketiga universiti, perkhidmatan akademik dan intelek awam telah dilaksanakan, tetapi kurang mendapat sambutan.

27. Universiti masih memberikan tumpuan kepada penyampaian ilmu kepada pelajar melalui pengajaran dan penyeliaan, dan berkongsi ilmu sesama rakan kesepakaran melalui penyelidikan terfokus dan penerbitan ilmiah.

28. Akibatnya, tanggungjawab sosial kepada pihak berkepentingan utama pada umum terabai. Universiti semakin terasing dengan masyarakat, menjadi ‘institusi elit’ yang hanya membandingkan keunggulan mereka bagi mempromosi diri dan memperkasa perniagaan akademik.

29. Jika UKM mampu memperkenalkan ekosistem baharu bagi mengimbangi fungsi penjanaan ilmu dan sumbangan kepada masyarakat, ia bakal dilihat lebih relevan kepada pembangunan negara.

30. UKM ialah sebuah universiti istimewa, terbentuk hasil desakan rakyat yang ingin melihat bangsanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa besar lain dunia.

31. Jika kebanyakan universiti mempunya satu objektif utama iaitu meneroka ufuk ilmu dan berkongsi dengan pelajar dan rakan kesepakaran.

32. UKM mempunyai tugas tambahan kepada warga Malaysia iaitu memperkasa bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu tinggi dan mengangkat budaya watan sebagai asas pembinaan negara bangsa. Selamat Meraikan Jubli Emas UKM.

IBK, 6 Jun 2030.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s