Alam Sekitar dan Kelestarian

1. Sila berikan perhatian, ‘alam sekitar tidak memerlukan kita, sebaliknya manusia bergantung hidup kepada perkhidmatan alam sekitar’. 

2. Sejak beberapa dekad terakhir ini, kadar pencemaran alam sekitar, terutamanya udara, air dan tanah subur amat membimbangkan. 

3. Suhu dunia yang terus meningkat pada kadar luar biasa akibat pencemaran ‘gas rumah hijau’ telah menghampiri ke tahap puncak (tipping point), satu situasi yang sukar dibendung dan tidak boleh kembali kepada keadaan asal. 

4. Warga dunia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif, bermula dengan Kyoto Protokol dan kini Pelan Tindakan Perubahan Iklim, begitupun, keadaan pencemaran udara dan pemanasan global masih di luar kawalan.

5. Lihat sahaja keadaan pencemaran sungai yang membekalkan air bersih. Hampir semua sungai di kawasan bandar di Malaysia telah mengalami pencemaran yang teruk akibat buangan sisi domestik, industri dan air kumbahan. 

6. Rakyat Malaysia sebenarnya minum bekalan air tercemar yang dibersihkan semula di Loji Rawatan Air. Dari masa ke semasa, Loji Rawatan Air terganggu kerana kadar pencemaran melampaui kemampuannya untuk membersih dengan selamat, akibatnya bekalan air terputus.

7. Pencemaran atau perubahan guna tanah pula menyebabkan kawasan tanah subur mengecil dan tidak mampu menyediakan sumber bekalan makanan asas mencukupi.

8. Para pencinta alam amat bimbang dengan situasi alam sekitar semasa. Kawasan hutan semakin mengecil, kepelbagaian biologi merosot, banyak hidupan liar sudah pupus atau menuju kepupusan.

9. Hutan sebagai komponen utama alam sekitar semakin mengecil dan terganggu, akibatnya ia sudah tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan penting kepada manusia.

10. Mereka memperjuangkan kelestarian alam sekitar, tetapi agensi kerajaan dan masyarakat umum mempersoalkan bagaimana pula dengan sumber alam sebagai keperluan kehidupan harian dan sumber bumi bagi menjana kekayaan negara.

11. Dalam keadaan begini, konflik berterusan antara alam sekitar sebagai pembekal perkhidmatan untuk kesihatan manusia, dan sumber pembinaan dan ekonomi terus berlarutan.

12. Keadaan tarik tali terus berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Akhirnya, atas alasan tukar ganti (trade-off), komponen alam sekitar yang memberi perkhidmatan ekosistem terpaksa digadai bagi memberi laluan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kekayaan segelintir masyarakat.

13. Apakah negara mahu membiarkan keadaan begini berlarutan sehingga kesihatan seluruh warga terjejas, atau bolehkah kita berbuat sesuatu yang menghasilkan situasi menang-menang.

14. Perubahan drastik memerlukan pemikiran di luar kotak dan iltizam politik yang tinggi. Kefahaman mendalam mengenai kepentingan alam sekitar boleh membantu negara mengatasi konflik ini.

15. Berikut adalah beberapa perkara asas yang perlu diberikan perhatian bagi membolehkan negara mengurus alam sekitar dengan cemerlang, dan pada masa yang sama tidak kehilangan kelebihan bersaing dalam perniagaan sambil mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang munasabah.

16. Negara mempunyai banyak akta dan enakmen yang terlibat secara terus dan tidak terus berkaitan alam sekitar. Hampir semua perundangan ini mempunyai tafsiran tersendiri ‘maksud alam sekitar’, dan tindakan melaksanakan dilakukan secara sektoral. 

17. Mengambil contoh dua kementerian yang terlibat terus dengan alam sekitar iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), mereka mempunyai objektif utama yang berbeza. KASA memberikan tumpuan kepada kawalan pencemaran dan bekalan air bersih, sementara KeTSA memberikan tumpuan kepada penyediaan sumber Tenaga dan Sumber Asli untuk pembangunan negara. 

18. Jika tidak ada ‘wawasan bersama’ mengenai alam sekitar, tidak mungkin ada penyelesaian terimbang antara keperluan pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber asli. Pendekatan paling praktikal untuk mengatasi isu ini ialah mewujudkan akta/ enakmen payung yang dihormati oleh semua kementerian terlibat dengan hal-ehwal alam sekitar.

19. Fahaman mengenai maksud alam sekitar perlu diselaraskan dan dihayati oleh semua pihak berkepentingan. Sebagai contoh, agensi pelaksana mentafsir alam sekitar sebagai komponen dalam dokumen Perancangan Guna Tanah iaitu kawasan bandar, kawasan industri, kawasan pertanian, hutan simpan kekal dan tanah untuk kegunaan khusus.

20. Pengusaha akan melihat tanah sebagai sumber menjana ekonomi. Sebagai contoh, hutan boleh menghasilkan sumber kayu balak. 

21. Masyarakat awam hanya peka terhadap alam sekitar apabila kawasan sekitar kediamannya tercemar atau berlaku bencana seperti banjir, jerebu, pencemaran air atau jika kawasan hutan diceroboh. 

22. Ilmuwan pula mempunyai takrifan lebih menyeluruh mengenai alam sekitar. Lazimnya alam sekitar dikaitkan dengan perkhidmatan ekosistem, hutan, kepelbagaian biologi dan landskap berpandangan indah. 

23. Akta Payung seharusnya dapat memberikan takrifan yang menyeluruh berasaskan fungsi penting dan kesensitifan alam sekitar. Masyarakat awam perlu bersepakat dan menghayati maksud alam sekitar ini.

24. Alam Sekitar membekal perkhidmatan ekosistem secara percuma untuk memastikan kesihatan manusia dan hidupan lain perlu dijadikan asas pertimbangan dalam semua sektor pembangunan. 

25. Dalam konteks ini, semua negeri dan daerah perlu melihat kembali perancangan guna tanah, memberikan perhatian yang bijaksana mengenai keseimbangan antara pembangunan alam sekitar (komponen perkhidmatan asas), pembangunan sosial (kesejahteraan dan keselamatan masyarakat), dan pembangunan ekonomi (sumber pendapatan masyarakat dan negara).

26. Perhatian yang tinggi perlu diberikan kepada paradigma ‘perancangan mempelopori pembangunan’ dan bukannya ‘perniagaan mempelopori pembangunan’ seperti yang terserlah pada masa ini.

27. Beberapa tahun terakhir ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memperkenalkan pelan global yang dikenali sebagai Agenda 2030 atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk berhasrat mewujudkan situasi kehidupan masa depan yang lebih baik. 

28. SDG memberikan perhatian kepada komponen pembangunan melampaui kerosakan alam sekitar. Ia meliputi isu kemiskinan, ketaksamarataan, perubahan iklim, keamanan dan keadilan. 

29. Mereka memperkenalkan 17 matlamat, dan 6 daripadanya berkait rapat dengan alam sekitar. Walaupun alam sekitar merupakan asas dalam kesejahteraan hidup, semua pembangunan perlu dirancang berasaskan wawasan kelestarian.

30. Kami memperkenalkan Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian di bawah naungan Akademi Profesor Malaysia (APM) berhasrat memberikan pandangan alternatif, menyampaikan dapatan penyelidikan terbaharu, ulasan pengaruh dasar dan pendidikan awam mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam wawasan pembangunan lestari.

31. Malaysia dan masyarakat global masih belum mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keadaan alam sekitar terkawal dan matlamat pembangunan lestari tercapai. 

32. Jika sudah, mengapa keadaan pencemaran semakin kritikal, keupayaan alam sekitar memberikan perkhidmatan semakin terhad, dan kelestarian pembangunan semakin tergugat? Inilah cabaran getis kelestarian kehidupan sejagat.


IBK 15 Jun 2020.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s