Khazanah Biologi Ulu Muda, Kedah

Hutan Simpan Ulu Muda (Foto: mada.gov.my)

1. Malaysia terletak di khatulistiwa mempunyai iklim tropika lembab yang asalnya diliputi oleh hutan belantara. Pembangunan pesat sejak penjajahan Inggeris dan rancangan luar bandar selepas merdeka menyebabkan hampir 50% kawasan hutan tropika telah bertukar wajah menjadi bandar, pekan, kawasan insustri dan pertanian.

2. Kita masih mempunyai sekitar 50% kawasan hutan diurus di bawah naungan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan dikenali sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Dalam konteks ini, Malaysia merupakan antara negara terkehadapan memulihara kawasan hutan berbanding kebanyakan negara maju di dunia.

3. Kajian saintifik mendapati Malaysia adalah satu daripada 17 negara mega-kepelbagaian biologi dunia. Pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan menjadikan hutan habitat mereka.

4. Dianggarkan kita mempunyai 15,000 spesies tumbuhan; 372 spesies mamalia; 833 spesies burung; 267 spesies amfibia; 397 spesies reptilia; lebih dari 449 spesies ikan air tawar; sekurang-kurangnya 1,619 spesies ikan laut; dan sekitar 150,000 spesies invertebrata.

5. Sistem pengurusan hutan di Malaysia adalah mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SPM) yang diperkenalkan pada tahun 1978 bagi menggantikan sistem yang diperkenalkan oleh Inggeris iaitu Malayan Uniform System (1949-1977).

6. SPM memberikan tumpuan kepada prinsip pembangunan lestari dalam mencapai keseimbangan antara aspek ekologi, ekonomi dan sosio-budaya. Malaysia telah beriltizam untuk melindungi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanahnya di bawah litupan hutan semasa Persidangan Rio pada tahun 1992.

7. Ramai yang kurang memahami, dasar perhutanan negara memberikan perhatian kepada ‘penggunaan lestari kawasan hutan’ dan bukannya perlindungan kepelbagaian biologi.

8. Meskipun terdapat kawasan hutan dikelaskan sebagai hutan perlindungan dan pemuliharaan, sebahagian besar daripada kawasan hutan ialah jenis hutan pengeluaran iaitu hutan yang boleh dibalak bagi mendapatkan sumber ekonomi.

9. Kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengeluarkan hasil hutan dan mendapat faedah ekonomi bagi membiaya peruntukan kewangan bagi mentadbir negeri.

10. Konfliks berlarutan antara pencinta alam, masyarakat madani dan kerajaan negeri ialah apabila tiada maklumat jelas antara kawasan hutan perlindungan dan pengeluaran.

11. Begitu juga erosakan dan pencemaran alam sekitar disebabkan aktiviti pembalakan; pembalakan haram di kawasan hutan perlindungan; pembalakan di kawasan pertempatan orang asli; dan kemusnahan serta kepupusan habitat penting kepelbagaian biologi.

12. Isu kerajaan negeri boleh menukar status atau kelas kawasan hutan juga menimbulkan rasa curiga di kalangan masyarakat awam.

13. Kini timbul lagi konflik antara pelbagai pihak dan pentadbir negeri mengenai rancangan pembalakan di Hutan Simpanan Kekal Ulu Muda, Kedah.

14. Isu ini telah ditimbulkan beberapa kali sejak beberapa tahun terakhir ini. Bagi kerajaan negeri, peruntukan perundangan membenarkan mereka mengeluarkan hasil balak kerana hutan ini dikategorikan sebagai ‘hutan pengeluaran’.

15. Begitupun, semua sedia maklum, Hutan Ulu Muda ialah kawasan tadahan hujan penting bagi membekalkan sumber air kepada jelapang padi terbesar di Malaysia.

16. Banyak usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengenalpasti keistimewaan Hutan Ulu Muda. Jabatan Perhutanan Kedah telah menganjurkan beberapa siri ekspedisi dan menghasilkan penerbitan kepelbagaian biologi Ulu Muda bersama ahli akademia.

17. Badan Bukan Kerajaan seperti Tabung Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang juga turut menganjur program kesedaran awam tentang pentingnya Hutan Simpanan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air.

18. Fungsi hutan ini kepada negeri Kedah penting, terutama ketika musim kemarau iaitu daripada Disember hingga Mac setiap tahun. Beberapa agensi bukan kerajaan menjelaskan hampir 4 juta rakyat bergantung kepada Sungai Muda yang berpunca daripada hutan ini.

19. Antara pengguna terpenting ialah Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) yang meliputi kawasan tanaman padi terluas di negara, iaitu lebih daripada 100,000 hektar.

20. Banyak spesies flora dan fauna di Ulu Muda adalah penting dan istimewa. Sebagai contoh, burung Enggang Belantara (Rhyticeros subruficollis) ialah spesies enggang yang ke-10 dicatatkan di Malaysia.

21. Spesies hijrah yang berstatus Lemah Terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN ini hanya direkodkan di kawasan Ulu Muda dan Kompleks Hutan Belum-Temenggor. Penghijrahan Enggang Belantara bermula dari selatan Thailand pada bulan Julai dan balik pada hujung bulan November.

22. Ini bermakna semua 10 spesies enggang Malaysia telah direkodkan di Ulu Muda, lima daripadanya berstatus Hampir Terancam (Enggang Berkedut, Enggang Jambul Putih, Enggang Gatal Birah, Enggang Badak dan Enggang Papan), manakala Enggang Tebang Mentua ialah Terancam Teruk (Critically Endangered).

23. Jumlah keseluruhan spesies burung di situ ialah 305 atau hampir 37 peratus daripada jumlah spesies burung di Malaysia.

24. Ulu Muda juga adalah lokasi penemuan kali pertama spesies katak yang dinamakan Katak Licin (Theloderma licin) pada tahun 2001. Sehingga kini, semakin banyak lokasi penemuan spesies ini seperti di Taman Negara Kuala Tahan; Taman Negara Khao Luang, Nakhon Si Thamarat, Thailand; Pulau Perhentian; Bau, Sarawak dan Sumatera, Indonesia.

25. Penemuan spesies katak daripada genus Chirixalus juga dilaporkan pertama kali di Ulu Muda. Sebelum ini, taburan katak Chirixalus spp. hanya di Cambodia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

26. Bilangan spesies Mamalia pula mencecah 113, dengan beberapa spesies yang juga rentas sempadan seperti Cerpelai Ketam (Herpestes urva). Kebanyakan haiwan Mamalia besar pernah direkodkan di Ulu Muda termasuklah harimau, seladang, kambing gurun, rusa, tapir dan gajah.

27. Menurut Dr. Juliana Senawi, kajian beliau di Ulu Muda mendapati hampir 20 peratus daripada jumlah spesies kelawar hampir terancam seperti Kelawar Lubang Kayu (Mops mops), Kelawar Muka Lekok (Nycteris tragata) dijumpai di kawasan Hutan Ulu Muda.

28. Ulu Muda ialah kawasan hutan yang istimewa disebabkan oleh beberapa faktor: a) satu blok kawasan hutan yang terbesar di utara Semenanjung Malaysia; b) bersempadan dengan Taman Negara Bang-Lang/Rizab Hidupan Liar Hala-Bala di Thailand; c) bertindan wilayah zoogeografi Pentas Sunda dan Indochina; d) memiliki kepelbagaian biologi yang sangat tinggi; dan e) satu-satunya kawasan tadahan air bagi seluruh bahagian utara Semenanjung Malaysia.

29. Hutan Ulu Muda mempunyai kepelbagaian biologi sangat tinggi, mempunyai fungsi perkhidmatan ekosistem penting, dan hutan rentas negara yang strategik. Ia seharusnya diwartakan sebagai hutan perlindungan atau Taman Negeri, bukan hanya sekadar hutan pengeluaran.

Norhayati Ahmad & Ibrahim Komoo
1 Jun 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s