Sumber Asli dalam Pembangunan Negara

1. Penjelasan pendekatan pengurusan sumber asli negara oleh YB Dato’ Dr Shamsul Anuar, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam TV1 beberapa hari lepas boleh dianggap sebagai dasar baharu kerajaan.

2. Kesedaran mengenai pentingnya keseimbangan antara pemuliharaan dan penggunaan secara lestari sumber asli amat terserlah dan sesuatu yang memberangsangkan.

3. Pemikiran ke arah kelestarian ialah satu tindakan positif dan perlu disusuli oleh dasar, strategi dan tindakan yang mantap.

4. Saya tertarik dengan kenyataan beliau untuk meminda beberapa akta bagi membolehkan usaha menterjemah dasar kepada tindakan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Untuk tujuan ini, beberapa kenyataan dasar perlu menunjukkan objektif yang mantap dan dihuraikan dengan jelas.

5. Saya yakin dasar sedia ada masih relevan dan menenuhi tuntutan pembangunan lestari, tetapi kebanyakan isu dan hambatan semasa tidak dapat di atasi kerana tindakan perlaksanaan yang kurang berkesan.

6. Dalam konteks dasar, sama ada berkaitan sumber hayati (kepelbagaian biologi) atau bukan hayati (batu-batan, mineral dan air), isu asas ialah mengenalpasti nilai, kelimpahan dan kepentingan dalam pembangunan negara.

7. Dalam konteks nilai umpamanya, terdapat sumber asli yang unit (hanya dijumpai di Malaysia sahaja), langka (dijumpai di beberapa negara) atau biasa.

8. Konsep Warisan Sumber Asli (WSA) dan kepentingan memelihara sumber yang unik dan langka perlu diberikan perhatian tinggi, sementara sumber yang rendah nilai warisannya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan. Aspek ini masih belum diberikan perhatian sewajarnya.

9. Kelimpahan pula ialah banyaknya sumber yang boleh dimanfaatkan. Ia berkaitan dengan sumber tidak boleh diperbaharui seperti batu-batan, mineral dan sumber tenaga fosil. Jika taburannya melimpah, dasar penggunaan lestari boleh mengambilkira kegunaan dalam negara dan untuk dieksport.

10. Sebaliknya jika taburannya terhad, mungkin KeTSA perlu menyediakan dasar kawalan hanya untuk kegunaan dalam negara. Begitu juga dalam soal kepentingan sumber. Isu kesesuaian dan kualiti perlu diberikan perhatian tinggi.

11. Bahan bumi perlu digunakan mengikut kesesuaian dan kepentingan, jika tidak kita mungkin membazir sumber, iaitu menggunakan sumber berkualiti untuk keperluan yang remeh.

12. Konsep kedua dalam pengurusan sumber asli ialah hirarki nilai sumber asli. Dalam konteks ini, saya membahagikan kepada tiga kepentingan iaitu bernilai khazanah (warisan budaya dan tamadun bangsa), sumber asas kehidupan (khidmat ekologi) dan kegunaan dalam industri pembinaan atau sebagai sumber ekonomi.

13. Daripada perspektif khazanah, kita perlu mengenalpasti sumber bernilai Warisan Tabii (bertaraf antarabangsa, kebangsaan atau negeri). Pendekatan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan boleh dimandatkan kepada agensi pelaksana bersesuaian, terutama pada keringkat negeri kerana kuasa mentadbir tanah terletak pada mereka.

14. Konsep Taman Negara, Taman Negeri, Rezeb Hidupan Liar, Landskap Berpandangan Indah, Biotapak, Geotapak dan Monumen Tabii perlu dimantapkan dan dilaksanakan secara berstrategi.

15. Sumber Biologi sebagai sumber boleh diperbaharui pada masa ini diurus di bawah gagasan Hutan Simpan Kekal (HSK). Ini adalah idea pemerintahan Inggeris untuk memastikan kawasan hutan dikekalkan dan sumber hutan boleh digunakan untuk pembinaan dan sumber ekonomi (komoditi).

16. Pendekatan ini masih relevan daripada perspektif penggunaan lestari, tetapi perlu penambahbaikan dasar berkaitan warisan tabii dan perkhidmatan ekologi.

17. Idea pengeluaran hasil hutan yang lebih berkesan dan mesra alam, seperti hutan pertanian dan hutan komuniti perlu diterokai.

18. Dasar penggunaan Sumber Geologi (batu batan dan mineral) iaitu sumber tidak boleh diperbaharui perlu memerlukan dasar kelestariaan berasaskan kelimpahan, kepentingan dan kegunaan dalam negara.

19. Sebagai contoh, Semenanjung Tanah Melayu mempunyai kelimpahan batuan granit yang sangat tinggi. Granit juga batuan yang keras, tahan lama dan sangat sesuai sebagai sumber utama pelbagai jenis bahan binaan.

20. Negara bernasib baik kerana kelimpahan granit membolehkan ia digunakan secara tanpa batas. Pengkuarian granit boleh digalakkan sebagai asas penyediaan bahan agregat dan batu dimensi dalam industri pembinaan.

21. Batu kapur pula, khususnya perbukitan kars tidak sahaja mempunyai kelimpahan terbatas, tetapi mempunyai nilai warisan yang tinggi. Pada masa yang sama, Jabatan Mineral dan Geosains boleh mengesahkan, taburan batu kapur bawah tanah boleh mencapai lebih 90% berbanding dengan kuantiti yang membentuk Bukit Batu Kapur.

22. Oleh itu, dasar pengambilan batu kapur sebagai bahan industri perlu dihadkan kepada pengkuarian bawah tanah. Keindahan landskap kars di Ipoh umpamanya, telah terjejas teruk akibat pengkuarian, dan ini tentunya sudah tidak dapat dikembalikan kepada keadaan asal.

23. Dasar perlombongan mineral bijih, terutamanya timah, besi, bauksit, tembaga, emas dan pelbagai mineral industri lain pada masa ini tertumpu kepada bekalan sumber komoditi atau eksport.

24. Saya bersetuju dengan pandangan YB Menteri, dasar baharu perlu digubal bagi memastikan, aktiviti perlombongan ini menggalakkan pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral.

25. Ia bukan sahaja dapat menambah nilai, tetapi berupaya menggalakkan pertumbuhan industri termaju watan dan mengurangkan aliran keluar wang negara.

26. Pada masa ini negara mengimport pelbagai produk teknologi berasaskan sumber mineral dari luar negara dan dianggarkan bernilai ribuan juta ringgit.

27. Sumber Petroleum (minyak bumi dan gas asli) negara diurus melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974, dan tugas melaksanakan diserahkan kepada Petroliam National Berhad (PETRONAS).

28. Saya tidak perlu ulas pencapaiannya, kerana ia telah membuktikan keupayaan cemerlang dan menghasilkan sumber petroleum yang membawa banyak manfaat kepada kesejahteraan dan ekonomi negara.

29. Oleh kerana petroleum ialah sumber tidak boleh diperbaharui dan boleh pupus sedikit masa lagi, idea ‘Cess Fund’ diperkenalkan bagi menggantikan sumber yang dihabiskan bagi kegunaan generasi akan datang. Saya mengharapkan, wujud dasar jelas mengageh dana ini kepada institusi penyelidikan awam bagi membangun teknologi tenaga keterbaharuan.

30. Dasar pembangunan sumber tenaga keterbaharuan, khususnya solar, hidro, angin dan ombak masih perlu diperkemaskan bagi menggalakkan penggunaan secara meluas.

31. Pada masa ini kebergantungan tinggi kepada perkhidmatan bermonopoli Tenaga National Berhad (TNB) kurang menggalakkan pembangunan tenaga solar secara kecilan dan luwes.

32. Penghasilan sumber solar domestik berlebihan pada waktu siang umpamanya, tidak digalakkan di simpan dalam sistem grid kebangsaan untuk digunakan pada waktu malam. Dan pelbagai lagi kerinah birokrasi dikenakan bagi warga yang ingin membangun sistem solarnya tersendiri.

33. Saya gembira mengikuti ulasan YB Menteri KeTSA yang menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki sistem penyampaian kepada masyarakat. Beliau perlu didampingi oleh kumpulan pakar bebas yang boleh menasihati dalam hal ehwal dasar dan strategi perlaksanaan untuk bertindak dengan lebih berkesan.

34. Agensi dan pegawai kanan yang berada di KeTSA pasti akan memberikan input berasaskan dasar sedia ada dan pengalaman pengurusan semasa. Gabungan kepakaran bersama pasti akan membuahkan hasil lebih bijaksana.

IBK@26 Jun 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s