Hari Malaysia dan Kelestarian

Mikro-morfologi Hakisan Pantai, Labuan

1. Setiap tahun negara menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, masing-masing pada 31 Ogos dan 16 September. Jika sambutan kemerdekaan melambangkan bebasnya Semenanjung Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris. 

2. Hari Malaysia pula ialah peristiwa penting memperingati persetujuan tiga wilayah iaitu Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung menjadi sebuah negara berdaulat Malaysia. 

3. Sejak tahun 1963, walaupun wujud pelbagai isu ‘identiti kendiri’, kita dapat menyaksikan bagaimana Sabah dan Sarawak telah berkembang maju daripada perspektif ekonomi dan pendidikan dalam kesatuan kenegaraan yang dikenali sebagai Malaysia.

4. Pada tahun 2020 ini negara berhadapan dengan pelbagai cabaran getis yang perlu diberikan perhatian tinggi. Antaranya ancaman Pandemik Covid-19, kelembapan ekonomi, pengangguran, ketakstabilan politik, perpaduan kaum, kes rasuah melibatkan 1MDB, pencemaran air minuman dan bencana seperti banjir kilat di Kuala Lumpur. 

5. Mujurlah isu ketakstabilan politik mulai reda dan kerajaan berupaya mengambil pelbagai langkah intervensi untuk mengatasi beberapa isu luar biasa, terutamakan mengekang jangkitan Covid-19 dan kestabilan ekonomi masyarakat. Pilihan Raya Negeri Sabah diharapkan dapat meredakan sedikit suhu politik semasa dan kestabilan kepimpinan negara.

6. Sejak lebih 25 tahun lalu, saya telah berkecimpung dengan penyelidikan dan latihan mengenai kelestarian, apabila dilantik sebagai Pengarah Bersekutu, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM. Sehingga hari ini, kami masih mencari formula terbaik untuk digunapakai dalam Pembangunan Lestari di Malaysia. 

7. Sememangnya kita sering disogokkan dengan formula ilmuwan barat iaitu ‘keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesihatan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat’, dan terkini mereka memperkenalkan Agenda 2030 iaitu 17 Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) untuk dilaksanakan. 

8. Memang benar mimpi begini yang diharapkan oleh setiap negara dunia, begitupun, cirian asas negara seperti sejarah, kepelbagaian kaum, tahap pembangunan ekonomi, keupayaan teknologi, kepercayaan dan pengaruh luaran adalah realiti yang perlu dihadapi.

9. Jika kita dapat senaraikan isu utama negara bagi mencapai Pembangunan Lestari dan mengambil tindakan sewajarnya, negara akan lebih hampir kepada amalan kelestarian. 

10. Dalam konteks ekonomi umpamanya, negara boleh berbangga dengan pertumbuhan tahunan ekonomi negara, tetapi apakah kekayaan bumi Malaysia ini dikongsi dengan majoriti penduduk watannya? 

11. Perbezaan antara golongan kaya dan miskin amat ketara, dan jumlah mereka yang berpendapatan rendah dan kurang keupayaan memajukan diri masih sangat tinggi? 

12. Apakah ada usaha yang jelas untuk mengatasi cabaran ini? Malaysia perlu berganjak daripada paradigma ‘ekonomi negara kepada ekonomi rakyat’. Slogan rakyat perlu didahulukan perlu disusuli dengan tindakan yang tepat.

13. Dalam isu kesejahteraan masyarakat pula, perkara paling getis ialah perpaduan kaum. Saya lebih selesa menggunakan istilah ‘keharmonian kaum’ kerana mereka tidak mempunyai pilihan, kecuali hidup berharmoni, hormat menghormati dan memahami hak masing-masing. 

14. Dalam hidup berharmoni, kita perlu bangkitkan ‘semangat kenegaraan dan nilai kebersamaan’. Semangat kenegaraan meliputi kecintaan kepada negara dan kepercayaan kepada Perlembagaan, sementara nilai kebersamaan perlu diasaskan kepada nilai murni seperti kebenaran, keadilan, integriti dan berhati mulia. 

15. Saya masih ternanti-nanti proses pembinaan ‘negara bangsa’ berasaskan tamadun dan budaya kebangsaan. Konsep ‘bahasa jiwa bangsa’ apakah sudah diterima oleh semua warga? 

16. Atau Malaysia sedang dihanyutkan oleh arus globalisasi, untung sabut timbul dan untung batu tenggelam.

17. Sejak negara mencapai kemerdekaan, isu alam sekitar kurang mendapat perhatian oleh kerajaan negeri dan Persekutuan. Sebab utama ialah kesedaran dan penghayatan mengenai fungsi alam sekitar terhadap kesejahteraan masyarakat sangat rendah. 

18. Dua perkara asas yang mencetus keadaan begini, pertama alam sekitar dianggap sebagai ‘sumber untuk manusia dan boleh digunakan secara percuma’. 

19. Kedua, ketika merdeka, jumlah penduduk negara masih kecil dan industri belum berkembang pesat. Pada ketika itu, alam sekitar dapat menyediakan perkhidmatan dengan cemerlang, dan isu pencemaran jarang timbul. 

20. Keadaan telah berubah, air dan udara sering dicemar dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh sudah menjadi perkara lumrah. 

21. Pencemaran air di Lembah Kelang yang menyebabkan hampir 5 juta penduduk mengalami gangguan bekalan air bersih bukannya isu yang baru muncul.

22. Ramai yang tidak menyedari alam sekitar adalah sumber asas kehidupan dan menjalankan pelbagai fungsi untuk kestabilan alam dan menyediakan sumber kehidupan. 

23. Salah satu fungsi utama ialah menyediakan perkhidmatan alam sekitar (ekosistem). Alam sekitar membekalkan udara bersih, air bersih dan tanah untuk pertanian. 

24. Tiga fungsi ini perlu diberikan perhatian untuk menampung keperluan warga bagi 100 atau 1000 tahun akan datang. 

25. Dasar pembangunan negara perlu memberikan perhatian serius kepada tiga fungsi asas alam sekitar iaitu kawasan hijau yang mencukupi untuk menapis udara, kawasan hutan tadahan untuk bekalan air bersih, dan kawasan pamah serta dataran rata sesuai untuk pertanian makanan. 

26. Jika negara kekurangan atau kehilangan ‘sumber perkhidmatan alam sekitar ini’, negara perlu berbelanja besar untuk membeli bekalan ini atau tidak berupaya untuk meneruskan kehidupan.

27. Dalam kita menyambut hari Kemerdekaan ke63 dan hari Malaysia ke57, saya amat bimbang dengan status alam sekitar dan kelestarian pembangunan. 

28. Banyak dasar negara adalah legasi daripada penjajahan Inggeris yang memberikan keutamaan kepada ‘eksploitasi sumber asli’ wilayah dijajah. 

29. Governans (tadbir urus) semasa sangat bersifat sektoral. Kementerian dan agensi pelaksana dirancang untuk melaksanakan tindakan bersifat sektor, dan lebih membimbingkan lagi, masing-masing bersaing antara satu sama lain untuk memenuhi indeks pencapaian utama. 

30. Walaupun ada usaha penyelarasan di peringkat kementerian dan agensi, ia lebih bersifat sisipan dan bukannya ‘pengurusan bersama’ dalam erti kata sebenar.

31. Pendekatan paling asas bagi memantapkan hala tuju pembangunan ialah Governan Kelestarian. 

32. Saya tidak bercadang untuk menyaran rombakan sistem governan sedia ada, tetapi mengharapkan beberapa kelamahan asas dapat diperbaiki secara berterusan. 

33. Pertama, beberapa ‘dasar payung’ perlu diwujudkan bagi menggembleng beberapa komponen pembangunan secara terintegrasi. Pada peringkat awal, isu integrasi melibatkan komponen utama seperti kelestarian ekonomi, masyarakat dan alam sekitar boleh diperkenalkan. 

34. Akhirnya, isu saling hubungan antara ketiga-tiga komponen ini perlu ditangani berasaskan kepentingan jangka panjang. Beberapa mekanisma penyelarasaan antara kementerian dan agensi perlu diinstitusikan untuk proses membuat keputusan, sementara aktiviti tindakan bersama perlu digalakkan.

35. Pada masa yang sama, beberapa dasar dan perundangan tinggalan penjajah perlu diteliti dan diperkemaskan berasaskan keperluan sebuah negara yang merdeka. 

36. Sebagai contoh, dasar pengurusan sumber asli yang memberikan penekanan kepada urusan eksploitasi sumber perlu dilihat daripada perspektif ‘perkhidmatan ekosistem dan warisan negara’. 

37. Dasar pertumbuhan ekonomi pula, perlu mengimbangi antara kekayaan negara dan ekonomi masyarakat. Apalah ertinya sebuah negara kaya, jika kebanyakan warga watannya masih berpendapatan rendah atau di bawah paras kemiskinan. 

38. Keseimbangan keupayaan dan kepakaran antara negeri dan Persekutuan juga masih perlu diperkemaskan lagi. Bukankah jentera penggerak pembangunan negara terletak di tangan kerajaan negeri?

39. Negara bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum sedikit masa lagi. Penduduk negeri Sabah akan memilih wakil rakyatnya dalam beberapa hari lagi, pilihlah pemimpin berilmu dan berintegriti, berjiwa rakyat, menunjukkan kematangan berpolitik dan cintakan negara. 

40. Pilihlah wakil anda dengan secara teliti dan bijaksana. Kecemerlangan pemimpin bakal penentu kesejahteraan bangsa dan negara. Selamat hari Malaysia.


IBK@16 Sept 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s