Krisis Air Kedah dan Pulau Pinang

Sungai Melayu, Johor

1. Sempadan politik berbeza dengan sempadan alam. Jika sempadan negeri dan negara ditentukan oleh sejarah penguasaan dan kekuatan pemerintah terdahulu, sempadan alam ditentukan oleh evolusi landskap berasaskan pembentukan gunung ganang, lembah dan sungai. 

2. Menarik jika diperhatikan sempadan negeri Kelantan, Pahang dan Perak banyak dipengaruhi oleh evolusi alam seperti pembentukan lembangan Sg. Kelantan, Sg. Pahang dan Sg. Perak. Pastikan pergerakan masyarakat dahulu banyak dipengaruhi oleh sungai dan keterbatasan topografi. 

3. Berbeza dengan Kedah dan Pulau Pinang, apabila kerajaan Inggeris mengambil Pulau Pinang dan Seberang Perai, mereka membuat sempadan yang lurus tanpa mengambil kira sempadan alam. Maka bermulalah konflik sumber air antara Kedah dan Pulau Pinang.

4. Lembangan Sungai Muda terletak di Kedah seharusnya mentakrifkan sempadan negeri Kedah dan menjadi komponen sumber air penting bagi wilayah selatan Kedah. 

5. Apabila muara sungai dijadikan sempadan antara dua negeri, maka isu sumber air dan bahan bumi yang berada dalam sungai pasti menjadi konflik antara sempadan jika tidak ditangani secara berhemah bagi kedua-dua negeri berjiran.

6. Kita sudah terbiasa, khususnya dalam pemikiran ekonomi, sumber asli pemberian Ilahi tidak mempunyai harga. Perkiraan harga sumber air, lazimnya didasarkan kepada kos penerokaan, pembangunan dan pengurusan sumber.

7. Kos perkhidmatan ekosistem dan penyelenggaraan alam sekitar jarang diberikan perhatian. Sekiranya sumber itu datang dari negeri sendiri, mungkin ia tidak menimbulkan masalah. 

8. Bagaimana pula jika sumber tersebut datang dari negeri lain? Ini adalah sumber atau hak negara lain, atau sekurang-kurangnya, kos mentadbir prasarana bekalan air dan pemuliharaan hutan perlu dikongsi bersama.

9. Kerajaan Persekutuan perlu campur tangan bagi menyediakan dasar payung mengenai isu perkongsian sumber alam pada negeri bersempadan. Komponen perkhidmatan alam sekitar untuk menyediakan udara bersih, air bersih dan sungai sebagai sistem penyelenggaran tersendiri perlu mempunyai peraturan dan etika yang dihormati bersama.

 10. Dalam keadaan khusus, sumber bumi seperti bijih, petroleum dan binaan yang diterokai pada negeri bersempadan juga perlu mempunyai peraturan yang khusus. 

11. Meskipun pada masa ini, ada ‘cess fund/ tax dan royalty’, konsep ini hanya sekadar pembayaran untuk menggantikan sumber yang telah hilang/ pupus atau sebagai pendapatan negeri. 

12. Nilai sumber asli meliputi usaha pengurusan dan penyelenggaraan bagi membolehkan perkhidmatan alam sekitar masih pada ruang keupayaan tampungan dan sumber terus kekal untuk generasi akan datang.

13. Negeri yang terhormat dan bertanggungjawab perlu membayar harga sumber asli yang diperolehi dari negeri jiran. Tidak timbul isu air itu diambil dari sumber sungai yang mengalir di dalam negerinya, air tersebut datangnya dari kawasan pergunungan berhutan di negeri jiran. 

14. Tanpa kawalan dan penyelenggaraan di kawasan hulu sungai, keadaan aliran dan kualiti air di bahagian hilir akan terjejas. Kos bayaran perlu ditentukan secara bersama berpandukan kepada penyelenggaran ekosistem dan dinilai berasaskan setiap meter padu penggunaan.

15. Isu bekalan air bersih akan menjadi lebih terdesak apabila penduduk semakin bertambah dan kemerosotan kualiti alam sekitar meningkat. Keadaan menjadi lebih rumit apabila negeri pembekal sumber air juga mulai berhadapan dengan isu kekurangan sumber air.

16.  Oleh itu, penyelesaian jangka panjang ialah dengan mempelbagaikan bekalan air. Pada masa sama, dasar air negara perlu memberikan perhatian kepada keperluan bekalan air bagi negeri berjiran. 

17. Asas utama ialah sumber air adalah hak negeri, dan pengunaan air dari negeri jiran perlu dibayar. Zaman air percuma sudah berakhir, dan pengguna perlu menghormati nilai atau kos sebenar sumber asli.

18. Saya pernah utarakan beberapa pendekatan berstrategi bagi negara dan negeri berhadapan dengan isu sumber air bersih. 

19. Pendekatan pertama ialah dengan menambah baik sistem pengurusan bekalan air permukaan dan hampir permukaan. Usaha mewujudkan Pengurusan Lembangan Sungai Terintegrasi untuk beberapa sungai yang membekalkan sumber air utama diperlukan. 

20. Sistem pengurusan bersama oleh pelbagai pihak berkepentingan dapat menyelesaikan pelbagai isu sepunya, terutamanya berkaitan negeri berjiran. Maklumat mengenai keupayaan bekalan dan limitasi setiap sungai utama boleh menjadi asas kesepakatan dan kepentingan bersama.

21. Air batuan iaitu air yang berada lebih 100m di bawah permukaan bumi, tersimpan dalam rongga dan rekahan di batuan. Sumber ini mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik dan masih belum diterokai kerana melibatkan pengetahuan hidrogeologi dan kos tinggi.

22.  Negara maju telah banyak menggunakan sumber ini. Kawasan yang berhadapan dengan kekurangan bekalan air, khususnya di wilayah luar bandar boleh meneroka sumber ini. 

23. Jika mahu diterokai, dasar dan strategi pembangunan baharu perlu diperkenalkan.

24. Negara yang kurang bekalan air seperti Singapura dan beberapa negara Arab telah meneroka sumber air berinovasi untuk keperluan hariannya. 

25. Antaranya ialah menapis garam dari air laut, menjadikan air kumbahan sebagai air minuman atau menyediakan sistem menuai air hujan berpusat. 

26. Jika konflik bekalan air dari negeri jiran berterusan, Pulau Pinang mungkin sudah perlu membangunkan teknologi air inovasi untuk mengatasi bekalan air secara jangka panjang. Jika ini dilaksanakan, kos bekalan air pasti menjadi lebih tinggi dan rakyat negeri perlu menanggungnya.

27. Malaysia berada di rantau tropika lembab dan bekalan air melimpah ruah. Begitupun, kita sering mendengar isu kekurangan bekalan air, pencemaran air dan konflik sumber air negeri berjiran. Ini hanya merupakan isu berkaitan dasar, pengurusan dan ketelusan menyediakan bekalan air untuk kepentingan rakyat. 

28. Konflik sumber air Kedah dan Pulau Pinang memberikan gambaran betapa rapuhnya kita mengurus sumber asas untuk kehidupan.


IBK@12 Disember 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s