Ekosistem Penyelidikan Universiti

Meneliti Fosil Kambria di Pulau Anak Tikus di Langkawi

1. Ramai yang mempersoalkan universiti tempatan kurang menyumbang kepada pembangunan produk dan teknologi bagi pembangunan negara. 

2. Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini, malah berpendapat usaha ke arah penyelidikan bersifat gunaan dan pembangunan produk sudah berlebihan. Boleh dikatakan pembangunan teknologi di Malaysia didorong oleh usaha penyelidikan di sekitaran universiti. 

3. Jika tidak ada produk yang dihasilkan oleh universiti tempatan, hampir semua perniagaan berasaskan teknologi kita dibawa dari luar. 

4. Impak sumbangan penyelidikan kurang ketara hanya kerana aspek promosi masih rendah dan belum muncul teknologi watan yang jelas merubah senario industri berasas teknologi tempatan seperti di Korea dan negara maju lain.

5. Hanya segelintir menyedari, peranan penyelidikan amat luas dan ia sepatutnya berbeza pada ekosistem universiti, institusi penyelidikan awam dan sektor swasta. 

6. Penyelidikan bagi pembangunan produk dan teknologi tinggi sepatutnya berlaku di bawah bumbung syarikat besar berasas teknologi, tetapi ini kurang berlaku di Malaysia kerana hampir semua syarikat seumpama ini menggunakan teknologi luaran dan sokongan pusat penyelidikan di negara masing-masing. 

7. Ini antara sebab utama mengapa dasar negara menghasilkan ramai para saintis dan penyelidik tidak berjaya, kerana industri tempatan tidak memerlukan mereka.

8. Dasar penyelidikan negara yang bermula pada awal tahun 90-an dan diteruskan hingga ke hari ini walaupun berniat baik, tetapi mempunyai kadar keberkesanan yang rendah. 

9. Apabila negara memperkenalkan program ‘Intensification of Research in Priority Areas’ (IRPA), hampir semua dana disalurkan ke universiti. Sepatutnya sebahagian besar dana ini disalurkan kepada institusi penyelidikan yang berada pada ekosistem bukan universiti. 

10. Ini tidak berlaku kerana, kedudukan industri tempatan masih lemah, tidak mempunyai R&D dan hanya bergantung kepada teknologi luar.

11. Ada beberapa perkara berlaku ketika itu, pertama ramai ahli akademik yang pakar dalam ilmu asas terpaksa berubah dan belajar kemahiran baharu berkaitan sains gunaan. 

12. Akibatnya, penyelidikan yang dijalankan kurang menghasilkan teknologi baharu yang boleh terus dipasarkan. Kedua, banyak penyelidikan yang dijalankan atas nama sains gunaan, tetapi pada hakikatnya masih melakukan penyelidikan asas. 

13. Ketiga, hampir semua ahli akademik mempunyai tugas hakiki iaitu pengajaran atau menghasilkan graduan. Mereka bukan penyelidik sepenuh masa untuk menyahut amanah yang berat ini. 

14. Begitupun, saya amat kagum dengan semangat dan iltizam sebahagian besar daripada ahli akademik yang telah memberikan jiwa dan raga untuk menjayakan wawasan besar negara ketika itu.

15. Saya terlibat ketika IRPA mula diperkenalkan pada tahun 1996. Kami mendapat dana untuk tajuk penyelidikan ‘Pembangunan Sumber Geologi untuk Industri Pelancongan’. 

17. Saya tidak menghadapi masalah untuk menjalankan penyelidikan ini kerana berlatarbelakangkan sains gunaan iaitu Geologi Kejuruteraan. 

18. Dalam lima tahun menjalankan penyelidikan ini, kami berjaya membina pasukan penyelidikan bersifat universiti – kerajaan dan membina korpus ilmu baharu yang dikenali sebagai Geologi Pemuliharaan dan Geologi Pelancongan. 

19. Selepas 10 tahun baru kita nampak hasil pertama iaitu pewujudan Langkawi UNESCO Global Geopark yang mempelopori sektor pelancongan berasaskan ilmu iaitu geopelancongan. 

20. Hari ini, idea yang tercetus hampir 25 tahun dahulu telah menjadi jenama berkualiti dalam sektor pelancongan global.

21. Di universiti, penyelidikan yang seharusnya ditumpukan ialah ‘penyelidikan asas’ iaitu meneroka ilmu baharu dan menjawab pelbagai persoalan asas yang dihadapi oleh masyarakat. 

22. Tiada ilmu asas, tidak akan ada ilmu gunaan dan seterusnya penghasilan teknologi tinggi. 

23. Ramai yang mempersoalkan, apa gunanya penyelidik universiti hanya memberikan tumpuan kepada penulisan kertas jurnal berimpak tinggi jika tidak memanfaatkan rakyat. 

24. Jawapan saya ialah penyelidikan berkualiti ialah satu kitaran yang berupaya menghasilkan ilmu baharu, dasar baharu, produk dan teknologi baharu. Ilmu baharu perlu diwasit oleh pakar melalui penerbitan ilmiah.

25. Keseluruhan kitaran memerlukan pelbagai pihak. Pantas atau perlahan bergantung kepada dasar, sistem dan iltizam politik sesebuah negara. 

26. Dalam senario semasa, sepatutnya universiti dan industri perlu bekerjasama bagi melicinkan kitaran penyelidikan untuk menyokong wawasan pembangunan negara.

27. Beberapa pertimbangan baharu perlu diperkenalkan jika kita berhasrat memajukan negara berasaskan hasil penyelidikan. 

28. Pertama, Malaysia sebuah negara kecil dengan sumber kewangan yang terbatas. Kita seharusnya memberikan prioriti kepada beberapa ceruk penyelidikan di mana negara mempunyai keupayaan bersaing.

29. Satu daripada prioriti penting pada hemat saya ialah produk dan teknologi yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan di rantau tropika lembab. 

30. Pada masa yang sama, kerajaan perlu berani membuat pelaburan jangka panjang, khususnya memperbanyakkan institusi penyelidikan awam terfokus dalam sekitaran bebas, bukan universiti atau industri. 

31. Kebanyakan modal insan yang berkelulusan PhD ditempatkan di sini dan diberikan mandat terfokus serta kemudahan yang baik. Pada peringkat awal, anggaplah institusi begini adalah tempat ‘sumber insan mahir’ disemai dan dibangunkan.

32. Kita boleh belajar dari negara yang berjaya seperti Jepun dan Korea bagaimana mereka menghargai sumber berkemahiran tinggi ini.

33. Untuk meningkatkan kecekapan penyelidikan, mekanisme agihan dana selama ini perlu diteliti semula. Selain daripada dana padanan atau mengecualikan cukai yang diberikan kepada industri yang menjalankan penyelidikan, saya syorkan pertimbangan boleh diberikan kepada tiga kategori berikut: 

34. Dana untuk penyelidikan fundamental atau ufuk ilmu diagihkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi atau terus kepada universiti, khususnya universiti berteraskan penyelidikan;

35. Dana diagihkan kepada institusi penyelidikan awam terfokus yang berupaya menterjemah ilmu kepada produk dan teknologi untuk menggalakkan industri kecil dan sederhana;

36. Dana yang diagihkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi projek penyelidikan strategik yang bersifat mempertahankan keupayaan bersaing negara.

37. Universiti, institusi penyelidikan awam dan penyelidikan industri (swasta) mempunyai objektif yang berbeza, dan perlu diperkasa secara berasingan. Pada masa, kerjasama antara mereka perlu digalakkan bagi mengoptimumkan hasil penyelidikan bagi kepentingan negara.

IBK@21 Januari 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s