Benarkah Banjir Besar Akibat Pembersihan Tanah?

Banjir Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan

1. Banjir besar 2021 mengundang pelbagai polimik, satu daripadanya ialah tanggapan awam bahawa banjir besar ini berpunca daripada kegiatan pembersihan dan pembalakan hutan secara meluas. 

2. Apakah kenyataan ini ada kebenarannya? Bagaimana boleh wujud tanggapan seperti ini? Banjir sebenarnya adalah fenomena alam yang kompleks dan perlu difahami melalui pengetahuan sains proses tabii yang mengukir rupabumi, serta interaksi manusia dengan alam.

3. Secara ringkas, sistem sungai terbentuk di dalam sebuah lembangan yang dibatasi oleh perbukitan dan pergunungan. Air hujan yang turun dalam sebuah lembangan akan masuk ke dalam tanah, dan sebahagiannya mengalir di permukaan alur sungai. 

4. Dengan banguan graviti, aliran pada alur akan bergabung antara satu sama lain membentuk anak sungai, anak sungai juga akan bercantum membentuk sungai lebih besar, dan seterusnya membentuk sungai utama. 

5. Sungai Kelantan, Sungai Pahang dan Sungai Perak umpamanya ialah sungai utama di mana lembangan sungai bersaiz hampir setiap negeri. Fungsi sungai ialah menghakis tanah dari kawasan perbukitan, mengangkut sedimen (bongkah, kerikil, lodak dan lumpur), dan akhirnya mengenap sedimen ini di hilir sehingga di lautan.

6. Sungai menghakis atau merendahkan pergunungan, dan membina dataran rendah atau dataran banjir di muaranya.

7. Banjir ialah fenomena alam yang biasa, di Malaysia peristiwa banjir berlaku hampir setiap tahun, terutamanya ketika musim tengkujuh. Banjir mudah diramal, jika air yang masuk ke sungai mengatasi keupayaan alur untuk mengalirkan, paras air sungai akan meningkat hingga melimpahi tebing, maka berlakulah banjir. 

8. Banjir ialah fenomena tempatan, hanya bahagian tertentu sahaja yang boleh banjir. Pengalaman banjir lepas boleh memberi banyak pengajaran, terutamanya kawasan yang sering dilanda banjir, ketinggian banjir, kelajuan arus dan masa yang diperlukan untuk surut. Maklumat ini penting untuk mengurus banjir.

9. Dua faktor asas menentukan besaran banjir dan impaknya kepada manusia. Pertama curahan hujan dan kedua sifat lembangan. 

10. Banjir bukan fenomena serantau tetapi berkait rapat dengan sistem sungai dalam sebuah lembangan. Curahan hujan yang lebat boleh merentas lembangan, tetapi kuantiti air berbeza antara satu lembangan dengan lembangan yang lain. 

11. Oleh itu, penyelesaian tuntas mengenai banjir bergantung kepada sejauh mana kita mengenali sifat dan kelakuan lembangan di mana kita berada. Masalah banjir di lembangan Sungai Kelantan berbeza dengan di lembangan Sungai Kelang.

12. Lembangan menentukan sistem sungai, ada lembangan bersaiz besar, yang lain bersaiz sederhana dan kecil. Lembangan Sungai Amazon umpamanya, bersaiz lebih 100 kali lebih besar daripada Sungai Kelantan atau Pahang.

13. Ada juga lembangan berada pada peringkat muda atau dewasa. Lembangan muda, kawasan pergunungan lebih meluas berbanding lembangan dewasa. 

14. Sungai Kelantan dan Pahang berada dalam kategori lembangan dewasa, oleh itu kawasan dataran banjirnya sangat meluas. Bandar Kota Bahru dan Pekan masing-masing dibangunkan di dataran banjir. Komuniti setempat menyedari mereka sentiasa berhadapan dengan fenomena banjir.

15. Sebahagian air hujan dipintas oleh hutan atau meresap ke dalam tanah, ia mengambil masa berminggu atau bulan untuk sampai ke sungai.

16. Hanya sebahagian sahaja yang mengalir masuk terus ke alur dan anak sungai. Jika hutan telah dibersihkan maka lebih banyak air hujan akan terus mengalir masuk ke sungai dan lebih mudah paras air sungai naik dan banjir berlaku. Begitu juga, jika permukaan tanah diturap untuk pembangunan, air hujan tidak boleh meresap terus ke dalam tanah, sebaliknya mengalir terus ke longkang dan akhirnya ke sungai. 

17. Keadaan begini juga menyebabkan air sungai naik dengan pantas dan banjir besar mudah berlaku.

18. Pembersihan dan pembalakan di dalam lembangan juga menyebabkan tanah terdedah terus dengan curahan hujan. Akibatnya permukaan tanah akan terhakis, ratusan atau ribuan kali ganda berbanding jika tanah diliputi oleh hutan. 

19. Ini menyebabkan perlodakan berlaku dengan sangat tinggi. Bongkah, kerikil dan pasir terendap di dasar menyebabkan paras dasar semakin tinggi dan sungai menjadi semakin cetek. Keadaan begini juga menyebabkan banjir mudah berlaku setiap kali musim hujan.

20. Pembersihan hutan juga menyebabkan tanah runtuh dan aliran debris mudah terjadi setiap kali hujan lebat berpanjangan di dalam sebuah lembangan. Bahan debris (bongkah batuan dan kayu kayan) yang jatuh dihanyutkan oleh air besar berupaya menghakis tumbuhan sepanjang tebing sungai. 

21. Akibatnya banjir menjadi aliran debris yang sangat besar dan ganas, berupaya merosak dan memusnah harta benda. Inilah yang berlaku semasa musim banjir di Sungai Kelantan pada 2014.

22. Peristiwa banjir menjadi bencana banjir kerana debris yang mengalir dalam air berupaya memusnahkan apa sahaja sepanjang laluannya. Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai memanggilnya sebagai banjir kuning atau merah, tapi pada hakikatnya kandungan lodak dan debris dalam sungai berpunca daripada ribuan tanah runtuh dan aliran debris yang berlaku di bahagian hulu sungai.

23. Betul banjir adalah fenomena tabii disebabkan hujan lebat berpanjangan setiap kali musim tengkujuh. Masyarakat tradisi telah mengenali banjir dan bersedia hidup bersama banjir. 

24. Mereka membuat rumah di atas tetiang, membuat para-para untuk menyimpan barang, menyediakan perahu untuk berpindah jika perlu dan bercucuk tanam dalam masa yang sesuai. 

25. Mereka bersedia berhadapan dengan musim banjir kerana kenal dengan kelakuan banjir dan telah membuat persediaan untuk berhadapan dengan musim banjir.

26. Selepas Banjir Besar 2014, mereka yang tinggal di tebing Sungai Kelantan dan beberapa sungai besar lain mulai gelisah kerana kelakuan banjir yang dikenali selama ini telah berubah. 

27. Air boleh naik dengan sangat pantas pada ketinggian yang belum pernah dilihatnya, dan kuasa pemusnah air banjir juga sangat tinggi. 

28. Apakah perubahan ini biasa untuk fenomena tabii di Malaysia, atau ada faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa banjir yang ganas ini? 

29. Mudah untuk menyalahkan ‘perubahan iklim’, tetapi pada hakikatnya bencana banjir yang berlaku dalam beberapa dekad terakhir ini banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia yang merosak lembangan sungai.

30. Pemikiran mengenai banjir dan pengurusan untuk mengurangkan risiko banjir perlu berubah. Kita tidak boleh reaktif sekadar menyediakan tempat menyelamat mangsa banjir dan berharap banjir di masa akan datang tidak seteruk keadaan banjir pada masa ini. 

31. Pendekatan terbaik ialah mengurus banjir berasaskan lembangan dan menilai peristiwa banjir lepas daripada perspektif kawasan yang terlibat dengan banjir dan impaknya. 

32. Maklumat begini penting untuk merancang guna tanah baharu dan tindakan mengurangkan risiko banjir. Masyarakat yang terimpak perlu dilibat sama dalam proses perancangan dan pengurusan banjir.

33. Tindakan paling proaktif untuk mengurangkan risiko banjir ialah komuniti yang tinggal di kawasan berisiko tinggi mengambil keputusan sendiri. Mereka ada pilihan untuk tinggal di kawasan tersebut atau merancang untuk berpindah di kawasan yang lebih selamat. 

34. Bagi mereka yang belum membeli atau membuat rumah, pilihan masih ada untuk mencari tempat yang selamat. 

35. Pihak kerajaan tempatan dan negeri pula, perancangan mengurangkan risiko banjir melibatkan penyediaan prasarana mengurangkan risiko banjir, melakukan pembaharuan dalam rancangan guna tanah di kawasan berisiko banjir dan mengawal lesen kerja pembersihan tanah secara lebih lestari. 

36. Usahawan dan hartawan janganlah asyik mengaut keuntungan sahaja, fikirkanlah kesejahteraan masyarakat dan integriti alam sekitar untuk generasi akan datang.

IBK@ 2 Mac 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s