Masa Depan Warisan Negara

Air Terjun Gunung Stong, apakah ia warisan bernilai negeri atau negara?

1. Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) telah membawa perubahan positif terhadap pemikiran masyarakat Malaysia ke arah menghargai warisan tabii dan budaya. Sebelum itu hal-ehwal warisan terletak di bawah Akta Benda Purba 1976 (168) dan diurus oleh Jabatan Muzium Negara.

2. Dalam Akta 645, takrifan warisan telah meliputi warisan kebudayaan (ketara dan tidak ketara), warisan kebudayaan bawah air, warisan kebudayaan penting dan warisan semula jadi (tabii).

3. Tafsiran ini sudah meluas cakupannya apabila komponen warisan tabii diperkenalkan secara jelas. Warisan tabii meliputi nilai kawasan tabii, meliputi aspek fizikal dan biologi (flora dan fauna) atau ciri geologi, fisiografi dan proses pembentukan gunung, sungai, batuan, persisir atau tapak tabii yang mempunyai nilai menonjol, sains, pemuliharaan sejarah dan berpemandangan indah (estetik). 

4. Mungkin inilah sebabnya saya dijemput untuk menjadi ahli pengasas Majlis Warisan Kebangsaan dan pada 2018-2020 dilantik sebagai Pengerusi Majlis ini.

5. Keistimewaan Akta 645 ini terletak kepada perlantikan Pesuruhjaya Warisan oleh Menteri bagi maksud menjalankan kuasa dan fungsi dalam pengurusan warisan seperti yang diamanahkan melalui akta ini. 

6. Pesuruhjaya Warisan ialah seorang individu yang perlu mewujudkan suatu pertubuhan perbadanan yang kekal, mempunyai sokongan guaman dan berfungsi untuk memastikan warisan kebangsaan dalam bentuk tapak atau objek dipelihara dan dipulihara.

7. Banyak kemajuan telah dicapai dalam tempoh akta ini dilaksanakan, antaranya pembentukan Jawatankuasa Pakar pelbagai kategori warisan yang meneliti kesesuaian tapak dan objek bernilai warisan kebangsaan yang perlu didaftar atau diwartakan. 

8. Kumpulan ini menjadi penasihat saintifik kepada Pesuruhjaya Warisan untuk mengambil tindakan susulan.

9. Begitupun, Pesuruhjaya Warisan dan Akta 645 masih mempunyai kekangan dan cabaran yang perlu diatasi. 

10. Pertama, Akta 645 tidak terpakai di wilayah Sabah dan Sarawak. Mereka mempunyai akta tersendiri dengan objektif dan fungsi tersendiri. Dalam konteks ini, Pesuruhjaya Warisan hanya dapat melaksanakan tugasnya di wilayah Semenanjung Tanah Melayu, tetapi tidak untuk keseluruhan negara. 

11. Kedua, jika sesuatu tapak perlu diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan, Menteri hendaklah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri (mendapat persetujuan) sebelum membuat pengisytiharan. 

12. Pengalaman sejak akta ini dikuatkuasakan menunjukkan aspek perlaksanaan adalah perkara yang sangat mencabar kerana lazimnya Pihak Berkuasa Tempatan enggan memberi kelulusan kerana khuatir akan kehilangan kuasa bagi mengurus tapak warisan tersebut.

13. Ketiga, akta kebangsaan yang berkaitan pengurusan tapak atau wilayah perlu diterjemahkan kepada enakmen negeri supaya mudah digunapakai jika mahu perlaksanaan berjalan lancar. 

14. Ini tidak berlaku dan kebanyakan negeri di Semenanjung Tanah Melayu masih tidak mempunyai enakmen yang selari dengan semangatnya Akta 645. 

15. Akibatnya walaupun sudah banyak pencalonan tapak warisan dicadangkan untuk diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan, kebanyakannya tidak berlaku kerana negeri tidak mempunyai mekanisme pengisytiharan berasaskan perundangan negeri.

16. Dalam ucapan pertama mesyuarat Majlis Warisan Kebangsaan pada tahun 2018, saya ada menyebut bahawa pengisytiharan Warisan Kebangsaan adalah isu sangat kritikal kerana kelihatannya hampir tiada tapak disyorkan untuk diangkat menjadi Warisan Kebangsaan berjaya dilaksanakan. 

17. Kebanyakannya sama ada tertangguh atau ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri. Apakah kerajaan negeri tidak peka dan beriltizam untuk mewujudkan tapak warisan penting di negeri masing-masing? 

18. Atau masih terdapat isu asas yang perlu diatasi. Saya syorkan supaya gerakan mengistytihar warisan dimulakan di peringkat negeri. 

19. Negara melalui sokongan Akta 645 hanya menggalakkan kerajaan negeri mewujudkan tapak Warisan Negeri dan diurus sepenuhnya oleh institusi di peringkat negeri. Pihak Berkuasa Negeri boleh memohon tapak warisan negeri yang sesuai didaftarkan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan dengan mendapat insentif pengurusan yang berpatutan.

20. Warisan mempunyai dua matra yang saling berkaitan antara satu sama lain. Pertama ialah kepentingan suatu warisan kepada komuniti setempat dan negeri. 

21. Sebuah bangunan, bukit atau sungai yang telah berjasa kepada penduduk sebuah pekan, bandar atau negeri akan sentiasa dihargai oleh mereka yang tinggal di sekitarnya. Walhal, tapak atau objek yang hampir sama boleh dijumpai di mana-mana dalam sebuah negeri atau negara. 

22. Kedua, nilai saintifik atau tamadun sesuatu warisan daripada perspektif manusia sejagat. Objek atau tapak warisan boleh unik iaitu satu-satunya pernah dijumpai di dalam sebuah negeri, negara atau dunia. 

23. Dalam konteks ini ia boleh dikenali sebagai warisan bernilai tempatan, kebangsaan atau global. Istilah Nilai Luar Biasa Sejagat (OUV) yang digunakan semasa menentukan Tapak Warisan Dunia ditentukan berdasarkan konsep keunikan ini.

24. Saya berpendapat Jabatan Warisan Negara melalui Akta 645 perlu memberikan tumpuan kepada warisan yang bertaraf Kebangsaan dan Dunia. Urusan pemilihan, pewartaan, pemuliharaan dan pengurusan perlu diberikan perhatian yang tinggi dengan peruntukan kewangan mencukupi. 

25. Tanggungjawab untuk mewarta atau mengurus warisan bertaraf tempatan dan negeri perlu diserahkan kepada Majlis Daerah dan Kerajaan Negeri. 

26. Keupayaan teknikal dan bantuan kewangan pada peringkat tempatan dan negeri perlu ditingkatkan melalui kerjasama antara Jabatan Warisan Negara, Jabatan Warisan Negeri dan NGO berasaskan warisan.

27. Ahli Majlis Warisan Negara yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang mengenai warisan boleh digerakkan dengan aktif untuk tujuan perlaksanaan, tidak sekadar untuk menasihati Pesuruhjaya Warisan dan Menteri. 

28. Mereka boleh diberikan mandat khusus dan terlibat dalam projek pembangunan tapak warisan bertaraf negara dan dunia. Ahli Majlis bukan sahaja mempunyai kepakaran tinggi mengenai hal-ehwal warisan, tetapi disokong oleh institusi untuk menggerakkan projek pemuliharaan warisan. 

29. Satu daripada tugas yang boleh dimainkan oleh ahli majlis ialah sebagai ambasador warisan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menggalakkan warisan negeri diangkat menjadi warisan kebangsaan atau dunia.

30. Mengurus sumber warisan daripada perspektif industri pelancongan boleh membantu dalam pembangunan prasarana dan pengurusan suatu tapak warisan daripada terbiar dan musnah. 

31. Begitupun, perhatian tinggi perlu diberikan kepada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan secara jangka panjang. Banyak tapak warisan tidak dapat mengekalkan keaslian dan integriti hanya kerana kegairahan membangun pelancongan dan pertimbangan komersial. 32. Pertimbangan pemuliharaan tapak warisan perlu didahulukan berbanding dengan aktiviti yang menjejas nilai warisan hanya untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan. Pastinya tiada pelancongan jika tiada lagi tapak warisan!

33. Ramai yang tidak mempedulikan warisan negara, bagi masyarakat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan keluarga adalah urusan utama mereka. 

34. Ramai juga yang melihat objek atau tapak warisan adalah sumber perniagaan, bukan khazanah yang perlu dipulihara dan diwarisi. Kerajaan negeri dan Pusat perlu mempunyai perancangan yang jitu untuk memulihara warisan negara. 

35. Banyak negara sudah kehilangan banyak warisan hanya kerana kurang menyedari dan menghayati kepentingan sumber sebagai simbol ketamadunan bangsa. Keupayaan memulihara warisan adalah jelmaan utama tamadun bangsa dan kayu pengukur kemajuan sebuah negara.

IBK@17 April 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s