Pelan Transformasi Industri Mineral Negara

Relau Peleburan Besi berusia lebih 1,500 tahun lalu, Kedah Tua

1. Tahniah kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di bawah pimpinan menterinya Dr Shamsul Anuar Nasarah kerana berjaya membawa Perdana Menteri untuk melancarkan pelan jangka panjang Transformasi Industri Mineral Negara. 

2. Pelan ini bermatlamat memajukan industri mineral berasaskan Revolusi Industri 4.0 untuk memberikan sumbangan berkesan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam konteks ini tumpuan akan diberikan kepada penciptaan nilai tambah, perlombongan secara lestari dan membangun industri sokongan berasas mineral.

3. Pelan ini dibangunkan berasaskan 5 Teras Utama iaitu memantapkan tadbir urus dan perundangan mineral; membangun rantaian nilai industri mineral; memperkasa semula pemetaan dan inventori sumber mineral; penerokaan berasaskan aplikasi teknolog dan inovasi; dan pembangunan modal insan. 

4. Transformasi begini pastikan dapat mengembalikan zaman kegembilangan sumbangan ekonomi Bijih Timah Negara dan meredakan imej industri mineral yang tercemar kerana dikatakan ‘tidak mesra alam sekitar’. Kita semua berharap pelan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan perlaksanaan yang mantap dan bijaksana.

5. Isu kelestarian utama dalam pembangunan sumber geologi dan industri mineral ialah kita menggunakan sumber alam yang tidak boleh diperbaharui. 

6. Maksud sumber tidak boleh diperbaharui ialah apabila habis digunakan, negara sudah tidak memiliki sumber berkenaan. Benar jika kita mempunyai teknologi canggih dan kepakaran tinggi, jumpaan longgokan baharu boleh berlaku dan kuantiti simpanan bertambah. 

7. Oleh itu, dasar pembangunan industri mineral perlu mengambilkira beberapa isu strategik, kelestarian sumber dan penggunaan masa hadapan.

8. Limpahan sumber berkait rapat dengan fenomena geologi di suatu wilayah. Sebagai contoh ada negeri mempunyai bukit batu kapur, tetapi beberapa negeri lain tiada. 

9. Bijih timah banyak dijumpai di Perak dan Selangor, tetapi tiada di Sabah dan Sarawak. Setengah sumber geologi amat melimpah, tiada masalah untuk dilombong atau dikuari sama ada digunakan dalam negara dan untuk dieksport. 

10. Begitupun, banyak sumber geologi kita tertabur secara terhad dan hanya sesuai untuk kegunaan dalam negara. Analisis keberadaan, khususnya terhad, mencukupi, banyak dan melimpah luas perlu dijadikan dasar utama dalam aktiviti perlombongan dan pengeksportan sumber mineral.

11. Sumber geologi ini juga mempunyai banyak kegunaan. Jenis mineral dan batuan yang sama boleh digunakan untuk bahan binaan, bahan industri dan mineral/ logam berharga. 

12. Dalam konteks ini, analisis penggunaan perlu dipertimbangkan berasaskan kesesuaian, kelimpahan, nilai ekonomi dan nilai tambah. 

13. Sebagai contoh, batuan granit yang melimpah luas di Malaysia adalah batu agregat bahan binaan terbaik dan perlu diperluaskan kegunaannya. Pada masa ini, atas dasar dekat dengan tapak pembinaan, banyak kuari batu kapur digunakan untuk bahan binaan. Walhal, ia tidak sebaik batuan granit, tetapi mempunyai banyak kegunaan lain yang lebih memerlukan sumber agak terhad ini. 

14. Pertimbangan berkaitan kesesuaian penggunaan perlu diutamakan semasa memberikan kelulusan kerja pengkuarian.

15. Benar, negara telah membuat kerja pemetaan sumber mineral sejak penjajahan Inggeris lagi. Mereka memeta untuk mencari sumber ekonomi dan teknologi bagi keperluan pembangunan mereka. 

16. Dalam dasar yang diperkenalkan satu ketika dahulu, mereka menyatakan ‘pengeluaran sumber mineral perlu diutamakan berbanding dengan semua bentuk pembangunan lain’. Ini jelas menunjukkan mereka hanya inginkan sumber kita untuk kepentingan mereka. 

17. Pemetaan dengan pendekatan hampir sama masih diteruskan selepas merdeka. Dalam Pelan Transformasi Mineral Negara ini, diharapkan pertimbangan keperluan mineral dalam negara diutamakan, selain penerokaan secara mesra alam sekitar dan komuniti setempat.

18. Sumber mineral sebagai sumber tidak boleh diperbaharui, sebahagianya hanya dijumpai secara terhad perlu mempunyai strategi jelas berkaitan dengan kepentingan masa depan negara. 

19. Terdapat mineral canggih seperti nadir bumi umpamanya, ia bakal menjadi sumber penting untuk teknologi masa hadapan. 

20. Walaupun negara masih belum mempunyai keupayaan untuk membangun teknologi tinggi, sekurang-kurangnya sumber ini perlu diproses dalam negara dan dijadikan bahan mentah sedia digunakan. 

21. Dengan cara ini, negara sentiasa dalam kawalan untuk mengeksport sumber penting ini. Tindakan mengeksport bijih mentah ke luar negara bukan satu tindakan yang bijak.

22. Saya pasti pelan ini telah memberikan perhatian tinggi kepada pembangunan ekonomi negara. Begitupun, pembangunan dan pengeluaran sumber bumi mempunyai beberapa implikasi keselamatan negara, isu kesihatan awam dan pencemaran alam sekitar. 

23. Mengapa industri perlombongan dikatakan ‘industri senja’ kerana banyak negara sedang terimpak dengan kesan negatifnya, dan ada yang masih berhadapan dengan kerosakan jangka panjang. 

24. Untuk perlaksanaan, saya syorkan beberapa panduan berikut diberikan perhatian tinggi:

25. Banyak sumber mineral hadir di negara kita amat terhad. Pengeluar sumber begini perlu dipastikan untuk kegunaan dalam negara, bukan untuk dieksport. 

26. Jika negara masih belum berupaya untuk membangunkan pada masa ini, simpan sehingga kita mempunyai teknologi untuk menggunakannya. Isu kelimpahan sumber mineral perlu dijadikan asas pertimbangan asas bagi memastikan sumber sesuai dieksport atau tidak;

27. Sumber mineral ialah sumber asli yang hanya dijumpai di sesuatu kawasan tertentu. Pengeluaran sumber ini bererti kita akan menghabiskan sumber yang tidak boleh diganti. Oleh itu, sebahagian daripada hasil jualan perlu ditabung untuk kegunaan penyelidikan sumber ganti dan kerja baikpulih kawasan lombong yang telah mengalami kerosakan kekal;

28. Masyarakat tempatan yang berada di sekitar longgokan bijih akan mengalami impak terbesar sekiranya perlombongan dilaksanakan. Mereka mempunyai hubungan rapat dengan sumber dan perlu mendapatkan ganjaran setimpal. Perkongsian menang-menang antara pengusaha lombong dan komuniti tempatan perlu diutamakan bagi membolehkan mereka mendapat faedah bersama; dan

29. Tidak ada kerja perlombongan yang tidak akan merosakkan alam sekitar. Oleh itu, penilaian kesan alam sekitar (EIA) perlu dilakukan secara bebas, bukan oleh pengusaha lombong bagi memastikan impak paling minimum dan tidak akan menyebabkan ‘bencana alam sekitar’.

30. Negara boleh meneroka dan melombong sumber mineral untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan negara. Industri perlombongan jika tidak diurus dan dikawal dengan baik bakal menimbulkan pelbagai konflik sosial dan alam sekitar. 

31. Dasar dan garis panduan penerokaan sumber mineral perlu mesra masyarakat dan mesra alam sekitar.

IBK@ 26 April 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s